Selasa, 4 Oktober 2011

Rakyat 'simpan' pengalaman dengan 'sesumpah politik'


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin tampil dengan komennya tentang gelagat penuh muslihat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bila bercakap tentang Anwar, sememangnya semua pihak mengakui ia tidak akan habis.
Acap kali Ketua Pembangkang itu bercakap lain kepada orang Melayu, cakap lain pula kepada orang Cina dan begitu juga apabila berinteraksi dengan kaum India.

Jika di depan orang Melayu, dialah 'paling Melayu' dan habis disilatnya bangsa lain. Di depan orang Cina pula, dialah 'Fong Sai Yuk' Malaysia yang berjuang demi bangsa Cina di Malaysia dan habis dikungfunya bangsa lain, terutamanya Melayu. Apabila tiba di depan bangsa India pula, dialah 'hero Tamil' paling hebat yang memperjuangkan bangsa India di Malaysia dan habis disilambamnya bangsa lain.

Tak habis di situ saja. Apabila ke Sabah dan Sarawak, Anwar meneruskan 'tarian talam bermuka-mukanya.' Banyak pengalaman yang 'disimpan' oleh orang Melayu, Cina dan India tentang tembelang Anwar.
Tidak perlulah pergi jauh. Semasa Pilihan Raya Negeri Sarawak April lalu yang dibuat liputan oleh para petugas media termasuk penulis, gelagat Anwar seperti mana didedahkan Perdana Menteri begitu ketara helahnya.

Di sebuah restoran Cina yang dikelilingi beberapa kedai makan dan kopitiam di bandar Bintulu awal April lalu, Penasihat PKR itu seperti mana biasa dalam ceramahnya akan 'menyeronokkan pendengarnya' dengan seloka 'mengula-gulakan' hadirin. Tambah mengujakan lagi apabila katanya:

"Tuan-tuan, jika pembangkang dapat menguasai Putrajaya dalam masa 24 jam (pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti)...dalam masa 24 jam...dalam masa 24 jam (dengan aksi tangan dan menunduk di atas pentas) kita akan turunkan harga minyak," katanya.

Dalam bercakap isu kematian mendiang Teoh Beng Hock pula, kata Anwar, kononnya dia telah pergi menziarahi upacara pengkebumian mendiang tetapi 'orang UMNO ini tuduh saya rapat dengan orang Buddhist'.

Memang mana-mana orang pun apabila mendengar kenyataan ini pasti akan 'menyirap darah' mereka tetapi sesiapa pun yang mengenali hati budi orang Melayu, tidak akan percaya orang UMNO akan mendakwa sedemikian rupa. Manusia meskipun berlainan agama dan adat resamnya, perasaannya sama sahaja apabila mengulas tentang kematian - pasti berkongsi kesedihan. Tetapi malangnya Anwar terus 'membakar, membakar dan membakar perasaan orang Cina'.

Begitu juga apabila 'membakar' perasaan hadirin di Bintulu, Anwar bercakap lagi isu kematian seorang pegawai kastam. Dia mengutuk-gutuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai salah guna kuasa. Tetapi langsung tidak menyebut soal kewibawaan agensi itu yang membanteras penyalahgunaan dan penyelewengan di kalangan segelintir pegawai kastam sehingga berjaya menyelamatkan berbilion-bilion wang negara.

Itulah sebabnya Perdana Menteri kelmarin sekali lagi terpaksa mengingatkan rakyat termasuk komuniti Cina supaya berhati-hati dengan 'sesumpah politik' sebegini.

Masih ingatkah lagi dengan rancangan hendak menukar kerajaan yang sah pada 16 September 2008?
Pada satu majlis di Jakarta menjelang 16 September tahun berkenaan, Anwar dengan bangganya mencanangkan tarikh berkenaan untuk 'merehatkan' Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Saya tetap pada target saya, 16 September menjadi waktu untuk mengistirehatkan Badawi. Untuk itu, saya rileks sebentar sehari lompat ke Jakarta, berdiskusi dan bertemu dengan sahabat-sahabat saya di Indonesia," kata Anwar yang dipetik oleh wartawan akhbar republik itu. Namun semua maklum itu hanya impian dan pembohongannya sehingga hari ini.

Suatu ketika sebuah blog terkemuka Amerika, The New Ledger telah melondehkan lagi tembelang Anwar di luar negara. Artikel blog pronegara Uncle Sam itu telah menyokong kenyataan bahawa sememangnya
"Anwar adalah sesumpah".

The New Ledger mendedahkan betapa Anwar sebelum ini yang dalam 'pelarian' ke AS telah mewujudkan hubungan baik dengan tokoh-tokoh 'American Jews' (Yahudi Amerika) seperti Paul Wolfowitz dan Al Gore. Anwar benar-benar 'manis mulut' ketika itu. Begitulah akrabnya Anwar dan Yahudi. Tapi itu adalah ketika Anwar di luar negara. Apabila dia kembali ke Malaysia, sikapnya berubah menjadi sebaliknya.

Mungkin dia tahu bahawa budaya rakyat Malaysia yang tidak suka pada Israel (Yahudi). Maka Anwar terpaksalah bertukar 'wajah' seakan-akan anti-Yahudi dan Amerika. Ketidakpuasan hati mereka terhadap Anwar itu diterjemahkan oleh The New Ledger sebelum ini.

Ketika Anwar aktif bersama ABIM dahulu, dia dijangka menyertai Pas. Malah Anwar merupakan anak angkat kepada Allahyarham Yusof Rawa, seorang tokoh Pas yang terkenal.

Namun, apabila masuk UMNO atas undangan Tun Dr. Mahathir Mohamad, dia dikatakan 'memujuk' rakan-rakannya dalam ABIM dan Pas dengan mengatakan bahawa kemasukannya ke dalam UMNO adalah untuk 'memutihkan' UMNO.

Pada UMNO pula, Anwar menyatakan bahawa dia memasuki UMNO adalah kerana percaya pada perjuangan UMNO yang memartabatkan Islam, Melayu dan Malaysia.

Gelagat 'sesumpah' Anwar pernah diingatkan oleh bekas Presiden Gerakan, Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik ketika berucap di Jalan Padang Tembak, Air Itam, Pulau Pinang pada 2008.

"Anwar ini macam sesumpah, boleh tukar warna di depan sesiapa juga. Nanti, bila kita bangkit daripada tidur, negara sudah jadi hancur...dia tidak hairan (itu semua), hanya untuk capai dia punya objektif," kata Keng Yaik.

Bercakap tentang Anwar dan muslihatnya, ia memang tidak akan habis, apa lagi ketika ura-ura kemungkinan Pilihan Raya Umum ke-13 dalam tempoh terdekat ini.

Kelmarin, Perdana Menteri mengulanginya sekali lagi - hanya untuk memastikan rakyat terus berwaspada kerana 'sesumpah' seperti mana sifatnya licik 'menangguk di air keruh'.

sumber: Utusan Malaysia

Ahad, 2 Oktober 2011

Krisis Greece ancam dunia


Rakyat Greece membakar salinan notis cukai kecemasan kerana marah dengan keadaaan ekonomi negara itu yang semakin meruncing.


GREECE terjerumus ke dalam kancah kemelut ekonomi Eropah dan mungkin boleh mengheret dunia ke alam kemelesetan. Bagaimana boleh terjadi sedemikian dan kenapa Kesatuan Eropah (EU) lemah menangani masalah ini? Pilihan yang terbuka kepada Greece tidak banyak dan semuanya ada implikasi serius.
Kalau masalah Greece tidak diselesaikan, ekonomi Eropah boleh merudum dan tentunya Malaysia juga terasa tempiasnya.
Greece terperangkap dalam putaran ganas kemuflisan, daya saing dan kediri rendah serta kemerosotan ekonomi semakin mendalam. Masalah ini berpunca daripada pengurusan ekonomi lemah, rasuah dan perbelanjaan boros sehingga hutang negara mencecah 113 peratus. Defisit perbelanjaan kerajaan pula 13.6 peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2009. Hutang negara ini dijangka naik sehingga 200 peratus dari KDNK tidak lama lagi. Kedudukan kewangan sektor awam menjadi genting sehingga pendapatan kerajaan (dari cukai dan hasil sebagainya) tidak cukup untuk membayar gaji kakitangan awam!
Hutang gergasi Greece sebanyak AS$400 billion telah dibiayai oleh bank-bank Perancis, United Kingdom, Amerika Syarikat (AS), Jerman dan bank-bank tempatannya sendiri melalui terbitan (penjualan) bon kerajaan Greece. Selalunya, bon kerajaan amat dipercayai dan dianggap tidak berisiko tinggi kerana kerajaan mempunyai keupayaan kewangan kukuh untuk membayar hutangnya.
Kebimbangan tentang keutuhan bon kerajaan mula muncul apabila Dubai yang dianggap kaya raya tidak dapat membayar hutangnya dan terpaksa minta pertolongan Abu Dhabi. Oleh kerana jumlah hutang terlalu besar dan pendapatan kerajaan kecil akibat pertumbuhan ekonomi rendah berikutan kelemahan ekonomi Eropah, ramai khuatir bahawa Greece akan default dan gagal membayar hutang bonnya. Jika ini berlaku, maka sistem kewangan dunia yang sudah lemah kerana baru sahaja dilanda teruk krisis kewangan global 2008/09, akan runtuh kerana bank-bank mengalami kerugian besar dan masyarakat umum hilang keyakinan yang boleh membawa kepada bank run. Jika bank muflis, kerajaan terpaksa mengambil alih dan dana besar diperlukan untuk memulihkan bank berkenaan.
Jika Greece tidak dapat membayar hutangnya, terdapat kebimbangan bahawa Itali, Portugal, Ireland dan Sepanyol yang juga mempunyai beban hutang besar mungkin akan gagal membayar hutang. Akhirnya, bank-bank utama Eropah yang memegang bon Greece dan negara-negara ini akan jadi muflis dan seterusnya membawa kepada kemusnahan sistem perbankan Eropah dan boleh jadi dunia juga. Oleh itu, Greece mesti diselamatkan bagi kebaikan semua pihak.
Cara EU dan IMF menyelamatkan Greece adalah dengan memberi pinjaman bagi membiayai operasi sektor awam dan untuk membayar hutang kerajaan Greece. Justeru, pada Mei 2010 EU dan IMF bersetuju menyediakan pakej penyelamat sebanyak €110 billion. Walaupun komitmen pinjaman diberi, keyakinan terhadap ekonomi dan sistem kewangan EU terus diragui. Pada Februari 2011 Menteri Kewangan EU telah menubuhkan Tabung Stabiliti Eropah bernilai €400 billion. Pinjaman pertama kepada Greece ternyata tidak cukup. EU terpaksa memberi talian hayat kepada Greece dengan pakej penyelamat kedua sebanyak €109 bilion pada Julai 2011.
Jimat cermat
Pinjaman ini diberi dengan syarat Greece melaksanakan langkah jimat cermat dan meningkatkan pendapatan kerajaan. Gaji dan pencen kakitangan awam dipotong, cukai dinaikkan, cukai baru diperkenalkan dan banyak projek diswastakan. Rakyat Greece menganggap langkah mengikat tali perut ini keterlaluan sehingga menyebabkan kesusahan amat sangat. Pekerja pengangkutan awam, pemandu teksi, kakitangan awam, guru dan pengawal trafik udara bertindak mogok. Ramai merusuh dan menunjukkan kemarahan dengan merosakkan harta awam.
Pinjaman yang diterima dan langkah jimat cermat ini tidak membuahkan sepenuhnya hasil yang dijangkakan. Pihak memberi pinjam iaitu EU dan IMF berpendapat program penjimatan tidak dilaksanakan dengan berkesan dan tidak mengikut jadual. Mereka mendesak wang pinjaman akan hanya diberi jika langkah penjimatan dan peningkatan pendapatan dijalankan dengan tegas dan cepat. Kerajaan Perdana Menteri George Papandreou tentunya sukar mematuhi desakan ini kerana program penjimatan menerima tentangan hebat daripada rakyat.
Akibatnya, ekonomi Greece terus meleset kerana pasaran tidak yakin bahawa ekonomi akan pulih. Bank-bank yang memegang bon kerajaan Greece mahukan bayaran dibuat segera. Rakyat negara yang memberi pinjaman terutamanya Jerman juga menentang kerana tidak mahu kerajaan mereka menggunakan dana awam untuk membantu negara lain walaupun ia ahli EU. Rakyat Jerman marah kerana wang dari titik peluh mereka digunakan untuk menyelamatkan negara lain yang boros berbelanja. Dana pinjaman Jerman untuk Greece perlu diluluskan oleh Parlimen negara itu. Canselor Angela Merkel terpaksa bertungkus lumus memujuk Parlimen Jerman untuk meluluskan usul tersebut.
Suasana di Greece memang muram. KDNK tahun ini dijangka menguncup sebanyak 6.3 peratus dan tahun depan (2012) akan terus menurun sebanyak 5.9 peratus. Kadar pengangguran akan melonjak kepada 17 peratus.
Apakah opsyen yang ada bagi Kerajaan Greece? Jawabnya tidak banyak. Menteri Kewangan Greece Evangelos Venizelos merungut bahawa negaranya telah “diugut dan dihina” serta menjadi “korban” ketidakcekapan EU. Manakala rakyat Greece pula menuduh kerajaan mereka menyerahkan kuasa mentadbir dan maruah negara kepada EU. IMF dan bank-bank mengenakan syarat-syarat yang tidak boleh diterima. Contohnya, sekarang ini rakyat Greece yang berpendapatan hanya RM20,000 setahun atau RM1,700 sebulan terpaksa membayar cukai pendapatan.
Opsyen pertama adalah bagi Greece melaksanakan langkah penjimatan lebih berkesan dan menerima syarat pinjaman tambahan yang perit terutamanya menaikkan cukai. Dengan ini, Greece boleh terus mendapat pinjaman dan boleh membayar hutangnya. Tetapi, opsyen ini boleh menyebabkan ekonomi Greece meleset lebih teruk kerana tidak ada program untuk mengembangkan ekonomi seperti pakej rangsangan melalui perbelanjaan sektor awam. Jika ini berlaku, pemulihan mengambil masa lama. Yang selamat adalah bank-bank memegang bon kerajaan Greece.
Opsyen kedua adalah Greece tidak membayar hutangnya iaitu default dan keluar dari EU. Setengah ahli ekonomi seperti Prof. Nouriel Roubini mencadangkan ini sebagai opsyen terbaik. Jika begitu, Greece dapat menurun kadar mata wangnya yang boleh meningkatkan eksport, menjalankan program rangsangan ekonomi dan meningkatkan daya saing. Apabila ekonomi berkembang, pendapatan kerajaan akan pulih dan hutang dapat dikurangkan.
Jika pilihan ini diambil, keyakinan terhadap ekonomi dan bank EU akan hancur sepenuhnya dan bank yang terdedah kepada hutang di EU akan muflis. Mata wang Euro juga mungkin akan berpecah kerana pasaran tidak mahu lagi memegang Euro. Ekonomi seluruh EU akan meleset, kecuali negara yang kukuh seperti Jerman.
Hutang
Opsyen ketiga ialah pengeluaran bon baru oleh kumpulan institusi kewangan antarabangsa untuk menggantikan bon kerajaan Greece. Opsyen ini telah diambil untuk menyelesaikan masalah hutang Argentina pada tahun 1990-an. Bon baru yang dinamakan “Brady Bond” dikeluarkan oleh Amerika Syarikat untuk menggantikan bon Argentina. “Brady Bond” adalah sempena nama Setiausaha Kewangan AS masa itu. Tetapi opsyen ini tidak boleh dibuat kerana ekonomi Greece lemah dan tidak boleh berkembang untuk membayar bon baru ini.
Penyelesaian masalah hutang Greece bukan hanya terletak di bahu negara itu sahaja. Ia memerlukan penyelesaian serantau (EU) dan masyarakat antarabangsa kerana dana yang diperlukan adalah amat besar. Menurut Pengarah Urusan IMF yang baru, Christine Lagarde, walaupun implementasi pakej penjimatan penting, pemulihan ekonomi hanya boleh dicapai jika hutang dikurangkan. Memang, punca masalah ini adalah keborosan kerajaan Greece tetapi bank-bank juga tidak boleh terlepas tanggungjawabnya. Mereka begitu ghairah memberi pinjaman tanpa meneliti risiko yang terlibat. Oleh itu, bank-bank perlu berkongsi kerugian dan mesti menerima jumlah pembayaran balik pinjaman yang lebih kecil.
Satu pengajaran penting dari pengalaman Greece ialah menyelesaikan hutang melalui pinjaman dari punca luar bukanlah satu penyelesaian kekal. Ekonomi sesebuah negara hanya boleh pulih dan terus maju jika ia ada daya saing dan asas mantap. Tanpa pertumbuhan ekonomi, masalah hutang negara akan datang semula. Dayang saing yang berasaskan produktiviti dan kadar mata wang yang realistik serta fleksibel penting untuk pertumbuhan ekonomi.
EU pula tidak boleh berlengah dan perlu menjalankan langkah pemulihan dengan segera dan tegas. Perbalahan dan ketidaktentuan akan membuatkan pasaran gusar dan hilang keyakinan. Progam baru untuk membantu bagi ahli-ahli EU yang bermasalah perlu diwujudkan dengan segera dan jumlah bantuan yang diperlukan mesti dibuat secara betul berasaskan maklumat tepat. Langkah pantas perlu diambil kerana jika tidak pelabur akan mengalihkan dana mereka keluar kepada pelaburan di tempat lain yang dianggap lebih selamat. EU juga perlu ada sumber secukupnya jika bank-bank mereka memerlukan suntikan dana dan penambahan modal terutamanya bagi kerajaan Itali dan Sepanyol yang kedudukannya tidak begitu mantap.
Krisis di Eropah ini menampakkan satu perubahan baru yang penting. Kali ini AS tidak mampu mengambil peranan sebagai penyelamat kerana ekonominya sendiri bermasalah. Sebaliknya, dunia beralih kepada kuasa baru iaitu Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan (BRICS) sebagai penyelamat baru. Setakat ini, BRICS masih lihat dan tunggu. Jika mereka menjadi penyelamat, ini merupakan fenomena unik kerana negara sedang membangun membantu negara maju. Yang jelas BRICS semakin berpengaruh di persada dunia. BRICS ada dana yang besar, pertumbuhan ekonomi tinggi, daya saing yang kuat, sumber yang banyak dan pasaran besar. BRICS juga berjaya mengharungi krisis global dengan baik dan ekonomi mereka pulih dengan cepat.
Secara kesimpulan, krisis hutang Greece bukan masalah negara itu sahaja. Dunia akan terjejas secara langsung dan tidak langsung apabila krisis di Greece menular ke negara lain dan kemelesetan merebak ke seluruh dunia.

Datuk Dr. Mahani Zainal Abidin
ialah Ketua Eksekutif
Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia
.

sumber: Utusan Malaysia

Ahad, 7 Ogos 2011

'Saya rela dipecat'





KUALA LUMPUR 6 Ogos - Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Istiadat Melayu dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr. Hasan Mohd. Ali, yang tidak disenangi oleh anggota Exco yang lain atas ketegasannya mengenai soal Islam, menegaskan beliau sanggup dipecat demi kepentingan akidah ummah.
Katanya: "Saya sanggup melakukan apa sahaja termasuk menerima kenyataan jika saya diminta melepaskan jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri dan apa-apa jawatan sekali pun demi memperjuangkan apa yang saya yakin dapat membantu umat Islam, khususnya di negeri Selangor."
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas entri terbaru blog Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin (http://zul4kulim.blogspot.com) bertajuk Genggam Bara Api!
Zulkifli dalam tulisannya yakin Dr. Hasan akan digugurkan daripada jawatan Exco Kerajaan Selangor ekoran tindakannya menyokong Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu sebuah gereja Methodist yang dikatakan menjalankan kegiatan dakwah terhadap orang Islam di Damansara Utama baru-baru ini.
Beberapa pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas sebelum ini turut membid as Dr.Hasan yang mempertahankan tindakan JAIS itu.
Malahan seorang pemimpin Pas menganggap kenyataan Dr.Hasan dalam isu berkenaan tidak mewakili parti itu.
Mengulas lanjut, Dr. Hasan menegaskan, beliau telah memperjuangkan isu mengenai umat Islam di Selangor sejak dulu lagi, terutamanya berhubung isu penjualan arak di Shah Alam.
"Saya tidak mahu menyentuh isu gereja itu kerana mematuhi arahan tutup mulut (gag order) oleh Menteri Besar. Tapi saya hanya menjawab mengenai soalan saudara berhubung persoalan yang ditimbulkan oleh YB Zul mengenai nasib saya itu.
"Jika sesiapa pun yang percayakan kepada soal keharmonian beragama, maka soal kesucian agama Islam tidak boleh diganggu-gugat sama sekali dan itulah yang saya perjuangkan, adakah itu salah?" katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mengikut rekod terdahulu, Dr. Hasan pernah diberi amaran oleh Jawatankuasa Disiplin Pas kerana membangkitkan mengenai soal penjualan arak di Shah Alam.
Tindakan itu diambil kerana Pas tidak mahu hubungannya dengan parti-parti dalam pakatan pembangkang, terutamanya DAP, terjejas ekoran pendedahan Dr. Hasan itu.
Dalam Muktamar Pas baru-baru ini Dr. Hasan gagal mempertahankan jawatannya sebagai Naib Presiden kerana tidak mendapat sokongan daripada puak-puak Erdogan yang didokong oleh Anwar Ibrahim.
Ekoran kekalahan itu, Dr. Hasan turut digugurkan sebagai Pesuruhjaya Pas Selangor.
Mingguan Malaysia difahamkan Pas Pusat dijangka bermesyuarat esok dan soal mengenai tindakan terbaru Dr. Hasan dalam soal gereja itu dijangka turut dibincangkan.
Difahamkan Dr. Hasan sering menerima tekanan daripada anggota-anggota Exco bukan Islam DAP dan PKR, jika soal-soal mengenai Islam disentuh.
Sebagai rekod selain Dr.Hasan terdapat sembilan lagi yang menduduki jawatan Exco Kerajaan Selangor iaitu Teresa Kok (DAP), Yaakob Sapari (PKR), Rodziah Ismail (PKR), Dr. Xavier Jayakumar (PKR), Dr. Halimah Ali (Pas), Iskandar Abdul Samad (Pas), Ronnie Liu (DAP), Elizabeth Wong (PKR) dan Ean Yong Hian Wah (DAP).
Dalam semua Exco itu, dikatakan Teresa Kok, Dr. Xavier, Ronnie Liu dan Elizabeth Wong adalah antara mereka yang sering menentang Dr. Hasan.
Dalam pilihan raya umum 2008, pakatan pembangkang merampas Selangor daripada Barisan Nasional setelah memenangi 36 daripada 56 kerusi. DAP mendapat 13 kerusi, PKR 15 dan Pas lapan kerusi.

sumber: Utusan Malaysia

Ahad, 19 Jun 2011

Kambing-kambing betina yang bingung

WAHAI orang-orang yang beriman, renungilah maksud hadis ini. Dari Ibnu Umar RA, dari Nabi Muhammad SAW, sabdanya: Perumpamaan orang munafik, seperti seekor kambing betina yang bingung mengikuti dua ekor kambing jantan. Sekali dia hendak mengikut yang ini, kali yang lain hendak mengikuti yang satu lagi. - SAHIH MUSLIM

Siapakah orang-orang yang bersifat kambing betina yang bingung ini? Jawapannya jelas, tanpa perlu banyak berfikir dan merujuk kepada banyak pihak.

Dulu puak kambing betina ini mengekori dengan penuh taksub kambing-kambing jantan yang berbulu putih lebat di kepala dan berjanggut juga putih. Mengekori dengan penuh taksub. Setiap gerak dan suara yang keluar daripada kambing berserban dan berjanggut ini akan diterima bulat-bulat.

Disuruh makan mereka makan, disuruh duduk mereka duduk, disuruh berdiri mereka berdiri, disuruh mengembik mereka mengembik, disuruh menanduk mereka menanduk, bahkan disuruh apa sahaja mereka akan lakukan.

Tiba-tiba lalu di depan mereka seekor kambing jantan yang berbulu hitam lebat di kepala. Maka kambing-kambing betina melihat suatu kelainan. Suara kambing jantan berkepala hitam itu juga lebih merdu dan enak didengar daripada suara kambing-kambing jantan yang berkepala putih.

Kambing jantan berkepala hitam itu juga kelihatan lebih berketrampilan. Pandai bermadah dan berkata-kata. Pandai juga bercakap seperti kambing-kambing di negara empat musim.

Lalu mereka pun mengekori pula kambing jantan berkepala hitam itu. Bukan sahaja mereka, malah kambing-kambing jantan yang berkepala putih turut mengekori kambing jantan berkepala hitam. Rupa-rupanya kambing-kambing jantan berkepala putih itu tidak mahu ditinggalkan oleh kambing-kambing betina yang mengekori kambing jantan berkepala hitam.

Bukan main seronok si kambing jantan berkepala hitam. Bukan sahaja banyak kambing betina yang sekarang mengekorinya, bahkan kambing-kambing jantan berkepala putih juga berduyun di belakangnya. Disuruh apa sahaja, mereka akan patuh. Malah mereka mengembek lebih kuat daripada kambing jantan berkepala hitam yang sekarang menjadi ketua mereka. Mereka juga sangat garang dan bersedia menanduk sesiapa sahaja atas arahan kambing jantan berkepala hitam.

Memang sudah lama si kambing jantan berkepala hitam ini mengidam untuk menjadi ketua, bukan sahaja ketua kambing, tetapi ketua kepada segala haiwan. Dia percaya kononnya Tuhan telah menjelmakannya di dunia untuk menjadi ketua kepada semua haiwan.

Anugerah

Sekarang semakin banyak kambing yang turut mempercayai kononnya dia adalah anugerah Tuhan untuk memimpin mereka ke padang ragut yang lebih hijau. Keyakinan mereka bertambah apabila melihat seekor singa tua dan beberapa ekor serigala turut mengekori dan berkawan rapat dengan kambing jantan berkepala hitam itu.

Dulu kambing jantan berkepala hitam itu pernah hampir-hampir menjadi ketua haiwan, tetapi perangainya yang buruk telah menyebabkan dia disingkir oleh ketua haiwan pada masa itu.

Oleh kerana dia percaya bahawa jawatan ketua haiwan itu adalah hak mutlaknya,maka dia sungguh marah dan tidak puas hati. Dia berdendam, terus merancang dan merancang bagaimana untuk menduduki kerusi jawatan ketua segala haiwan.

Sudah pelbagai muslihat digunakan, tetapi jawatan ketua haiwan itu masih belum berada dalam genggamannya. Dia tidak mengaku kalah dan akan terus berusaha sedaya upaya dengan apa cara jua sekalipun. Apatah lagi hampir semua kambing sudah seia sekata dengannya sekarang. Mereka sudah berikrar untuk sehidup semati bersamanya.

Disebabkan terlalu taksub dengan si kambing jantan berkepala hitam, mereka terlupa bahawa dalam kumpulan mereka ada singa dan serigala yang zahirnya berbaik-baik dengan mereka. Pada hal, si singa jantan tua dan gerombolan serigala itu hanya menunggu masa sahaja untuk membaham dan meratah kumpulan kambing yang bingung.

Para pembaca budiman. Kita tinggalkan kisah kambing ini. Kita kembali ke realiti kehidupan manusia di bumi Malaysia ini.

Tidak lama lagi, kalau tidak silap pada 9 Julai depan, akan berlangsunglah satu perhimpunan membantah sistem dan cara pelaksanaan pilihan raya di Malaysia.

Khabarnya perhimpunan itu dikepalai oleh seorang wanita bukan Islam. Yang ramai mahu menyertainya ialah lelaki-lelaki Islam, termasuk mereka yang berserban dan berkopiah putih. Mereka ini diperdaya dengan andaian kononnya mereka akan memperoleh kuasa memerintah negara jika pilihan raya umum benar-benar 'bersih.'

Antara mereka yang percaya ialah puak yang telah lama memegang kuasa memerintah negeri Kelantan. Tidakkah mereka terfikir, bolehkah puak mereka memerintah Kelantan begitu lama jika pilihan raya di negara ini sangat kotor dan mudah diputarbelit.

Kalangan yang menentang puak yang mahu berhimpun dan berarak ini juga berhujah, jika pilihan raya negara ini boleh diputarbelitkan, kenapa pembangkang boleh menang di lima negeri dalam pilihan raya umum 2008?
Kemudian diadakan beberapa pilihan raya kecil yang juga silih berganti dimenangi oleh pembangkang. Hanya pada kebelakangan ini arus pengundian tidak memihak kepada mereka kerana rakyat mulai sedar tentang siapa yang benar. Namun dalam pilihan raya negeri Sarawak 2011, pembangkang masih berjaya menambah kerusi.

Sebenarnya kumpulan ini hanya mahu mengambil kesempatan untuk mengapi-apikan rakyat Malaysia supaya turun ke jalan raya seperti yang berlaku di Mesir, Yemen, Libya dan Syria. Padahal keadaan di Malaysia amat berbeza daripada negara-negara itu sama ada dari segi pengagihan pendapatan dan kebebasan yang dirungutkan.

Sebenarnya puak yang mahu berhimpun itu sudah hilang kepercayaan terhadap sistem demokrasi berpilihan raya kerana mereka tahu bahawa peluang mereka untuk menang dan memerintah negara tidak akan tercapai melalui kotak undi.

Soal keamanan tidak penting lagi bagi mereka. Yang penting hanyalah merampas kuasa dan memartabatkan ketua mereka menjadi Perdana Menteri Malaysia dengan apa jua cara sekalipun. Musuh-musuh Islam dari kalangan manusia dan syaitan-syaitan juga sedang bekerja untuk membantu mereka. Wahai pihak berkuasa, jangan sesekali tunduk kepada tekanan mereka.

Wahai orang-orang beriman. Berwaspadalah dan jangan biarkan mereka beraja di hati dan di mata. Marilah kita menadah tangan kepada Illahi.

Ya Allah Yang Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana. Kepada-Mu kami berserah diri terhadap musuh-musuh-Mu yang juga musuh-musuh kami. Bantulah kami dalam menghadapi kegawatan ini. Selamatkanlah negara kami daripada segala angkara manusia durjana dan syaitan-syaitan yang mahu menyesatkan umat manusia daripada jalan yang benar. Perkenankanlah permintaan kami.

sumber: Utusan Malaysia

PAS patut tukar nama jadi PKS

Oleh Mior Kamarul Shahid
mkamarul@bharian.com.my
2011/06/12


AKHIRNYA, PAS terpaksa menolak sendiri matlamat perjuangannya untuk menubuhkan sebuah negara Islam.

Hala tuju baru parti itu ditegaskan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang dalam ucapan dasarnya pada muktamar tahunan parti itu, baru-baru ini. Kini, sudah tercatat dalam dokumen sejarah Malaysia bahawa Muktamar Tahunan PAS ke-57, menerima matlamat baru parti.

Sama ada perwakilan setuju atau tidak dengan matlamat baru itu akan diketahui kemudian sama ada melalui protes senyap daripada dalam parti atau secara terbuka pada pilihan raya umum nanti. Penerimaan perwakilan ketika berada di dalam atau di luar dewan, adalah berbeza.

Dalam dewan semua setuju kerana mahu mahu menjaga ‘air muka’ presiden, tetapi di luar dewan mereka mengatakan inilah akibatnya pimpinan yang tidak mempunyai daya intelek yang tinggi. Jika dulu mereka menyertai PAS kerana begitu yakin parti itu bergerak atas landasan untuk menegakkan negara Islam, kali ini mereka terperanjat besar kerana diberitahu bahawa negara Islam tidak ada dalam al-Quran.

Ini bermakna hujah-hujah pemimpin PAS mengenai negara Islam dan tuduhan mereka kepada UMNO selama ini adalah khayalan dan rekaan sendiri.

Jika dulu mereka mengatakan landasan UMNO adalah berteraskan semangat nasionalisme manakala PAS pula Islam, ia sudah tidak boleh diterima-pakai lagi. Fatwa yang mereka cipta sebelum ini juga adalah mengelirukan, semata-mata untuk menjadi keuntungan politik.

Jika dulu PAS bergerak menghala ke arah timur, maka mulai 3 Jun 2011, parti itu berpusing kiblat ke arah barat pula. Untuk memudahkan cerita, perkataan Islam dalam parti itu sudah tidak relevan atau secocok lagi dengan PAS. PAS atau Parti Islam SeMalaysia perlu ditukar nama kepada PKS atau Parti Kebajikan SeMalaysia.
Landasan baru parti itu ialah untuk memperjuangkan sebuah negara berkebajikan. PAS menjatuhkan penarafan perjuangannya daripada membina sebuah negara Islam ke negara kelas lebih rendah. Jika pengikut PAS selama ini mempertahankan parti itu kerana perjuangannya terhadap Islam, mungkin mereka menjadi layu kerana matlamat parti sudah tersasar. Mereka tahu kerajaan Barisan Nasional (BN) sudah lama membuat kebajikan.

Untuk menjadi negara kebajikan, negara itu mesti terlebih dulu menjadi kaya. Kalau negara miskin, ramai rakyatnya miskin dan negara miskin tidak boleh membantu rakyat miskin.

Semua orang faham, apa yang dilakukan PAS semata-mata untuk memenuhi desakan rakan-rakan dalam pakatan pembangkang - DAP dan PKR. Ramai yang sudah memberi pandangan mengenai perubahan haluan PAS ini, terutama daripada perspektif politik.

Kenyataan Hadi ini perlu juga dilihat daripada perspektif kewartawanan kerana perkara yang dikatakannya itu mendapat tempat di ruang media, menjadi berita utama dan dianggap ‘berita besar’. Sebenarnya, dari segi ‘makna berita’, apa yang dicakapkan oleh Hadi itu adalah perkara yang kompleks, khasnya dalam masyarakat yang tidak dapat lari daripada lingkaran teori orientasi dan elemen sosial.

Kajian mengenai berita sama dengan melihat hologram berhubung perubahan imej PAS. Ramai faham PAS terpaksa berubah kerana matlamat perjuangan mereka selama ini tidak pernah berganjak dari tempat asalnya.

Terpulanglah kepada ahli PAS atau mereka yang selama ini bersimpati dengan parti itu sama ada masih mahu mendekatkan diri atau keluar dari parti itu.

Membincangkan isu pendirian PAS, memaksa seseorang mengaitkannya dengan politik, sosial, ekonomi dan budaya.

Sebelum melaksanakan negara berkebajikan sepatutnya PAS faham bahawa negara berkebajikan adalah konsep kerajaan yang mana negara memainkan peranan utama melindungi dan meningkatkan kesejahteraan ekonomi dan sosial rakyat.

Negara seperti ini berpegang kepada prinsip persamaan peluang, keadilan sosial, pembahagian kekayaan sama rata dan tanggungjawab awam untuk membantu golongan yang tidak berdaya. Penganggur juga diberi elaun.

Sebenarnya, kebajikan yang dilakukan oleh kerajaan hari ini lebih besar daripada negara-negara berkebajikan di dunia hari ini.

Ini termasuk menyediakan kemudahan pelajaran, kesihatan, pengangkutan, pembangunan bandar dan luar bandar selain keperluan asas lain untuk rakyat. Malah, ia mempunyai sebuah kementerian yang antara lain untuk membantu badan-badan kebajikan dan rakyat.

Badan korporat, badan bukan kerajaan dan sebagainya turut membantu dengan pelbagai program bagi meringankan beban rakyat. Jika ada tragedi yang menyebabkan kerugian nyawa dan harta benda, rakyat yang lebih senang akan sama-sama membantu. Ini sudah lama dilakukan, bukan saja untuk rakyat negara ini, malah rakyat negara asing juga. Apa yang PAS lakukan untuk membantu rakyat dunia yang memerlukan?

Hari ini kerajaan BN berusaha untuk menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi. Lebih tinggi pendapatan rakyat, lebih tinggilah sumbangan mereka kepada rakyat yang memerlukan.

Sepatutnya PAS boleh mulakan negeri berkebajikan di Kelantan dan Kedah sebagai model negeri kebajikan. PAS juga boleh memaksa Selangor dan Pulau Pinang ikut langkah mereka, kalau mereka bersetuju.

Untuk menjadi negeri berkebajikan, pendapatan negeri mesti tinggi. Kalau tidak, bagaimana hendak membantu rakyat. Apa hasil Kerajaan Negeri Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang? Mungkin Selangor mempunyai sedikit kelebihan tetapi jika pelabur berpendapat menanam modal di Selangor akan memaksa mereka membuat sumbangan besar untuk soal kebajikan semata-mata, mereka pun akan lari.

Pelabur yang menanam modal di sesebuah negara mempunyai model perniagaan, misi dan visi sendiri. Mereka serius untuk berniaga
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...