SEGALANYA serba baru buat penulis yang kini berada di Jakarta, Indonesia. Ditugaskan sebagai wakil baru akhbar ini menggantikan Borhan Abu Samah.
Apa lagi permulaan tugas di sini dibuka dengan kegilaan masyarakat negara ini terhadap sukan bola sepak yang mencetuskan fenomena luar biasa membuatkan penulis menyifatkan suasana ini sebagai satu kelainan dalam kerjaya sebagai wartawan kerana selama ini skop tugasan penulis di Malaysia lebih terjurus kepada lapangan hiburan.
Lalu, Jakarta awal-awal lagi sudah menjanjikan penulis iklim baru dalam kewartawanan. Bukan hanya kisah-kisah unik rakyat Indonesia, bahkan juga tentunya banyak lagi benda-benda yang di luar kotak pemikiran penulis akan dilalui.
Maka benar kata teman-teman serta menerusi pembacaan, warna-warni kehidupan masyarakat Indonesia sebetulnya amat menarik dan berbeza dengan budaya kehidupan masyarakat di negara lain.
Biarpun pola kehidupan rakyatnya dipisahkan oleh dua status - kaya dan miskin, namun seperkara yang harus dicemburui oleh orang asing terhadap rakyat negara ini ialah semangat patriotisme mereka yang cukup kental.
Dengan mengenepikan perbezaan ideologi politik, seluruh 236 juta penduduk negara ini memegang kepada prinsip yang sama mencintai negara sama seperti mencintai diri sendiri.
Kerana itu, semasa kerancakan bola sepak Piala Suzuki AFF 2010 yang berlangsung baru-baru ini, kita dapat melihat bagaimana sukan berkenaan mengakrabkan lagi hubungan sesama mereka.
Selepas lebih sedekad sukan itu tidak diperkatakan dan mencatat pelbagai rekod buruk, kini gelanggang itu mula menarik perhatian rakyat Indonesia.
Semua ini dapat disaksikan melalui sokongan luar biasa bermula daripada Presiden negara ini, Susilo Bambang Yudhoyono, tokoh-tokoh korporat, penjawat awam sehinggalah penjaga parkir kereta semuanya mendokong skuad Garuda.
Tidak ketinggalan, bola sepak juga mencetus fenomena yang menggelikan hati apabila selebriti di negara ini turut memilih untuk melibatkan diri dan sekali gus menempa kemasyhuran sempena musim baru pertandingan itu.
Semasa demam pertandingan bola sepak Piala Suzuki AFF 2010 di sini yang turut dicemari isu insiden pancaran laser, selebriti Indonesia sama naik meluahkan kemarahan.
Menyalahkan penyokong di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur yang kononnya didakwa mereka memulakan isu itu menjadi punca mereka mengemukakan idea 'gila'.
Selebriti Julia Perez menghangatkan laporan media massa di sini dengan berkongsi niatnya mahu 'membalas dendam' pada penyokong skuad Malaysia.
Sama ada dia benar-benar marah atau sengaja mahu mencuri perhatian sukar dipastikan tetapi yang didedahkan artis berusia 30 tahun itu ialah asalnya dia berniat mengenakan coli atau bra laser pada final kedua kejohanan bola sepak itu tempoh hari.
Selebriti
Bayangkan seorang selebriti jelita dan seksi seperti Julia Perez atau lebih mesra dikenali sebagai Jupe memakai hanya bra laser dan muncul di tengah-tengah 95,000 penonton.
Tidakkah bergelora Stadium Bung Karno dibuatnya?
Yang hebatnya, Jupe juga sudah menyiapkan tiga helai bra laser yang rekaannya mirip kepada bra yang pernah dipakai oleh artis terkenal Hollywood, Madonna dan Lady Gaga semasa mengadakan konsert.
Idea 'gila' Jupe itu dikongsinya dengan peminat-peminatnya menerusi lama sosial Twitter peribadi artis berkenaan. Dia juga menamakan bra laser itu sebagai Wonder Bra.
Mujur juga Jupe tidak berkesempatan hadir menyaksikan perlawanan itu kerana dia perlu menemani buah hatinya, Gaston Castano yang juga pemain bola sepak Argentina.
Kalau tidak, mahu kecoh pula Stadium Utama Gelora Bung Karno. Cukup-cukuplah dengan kekecohan semasa peminat berebut untuk mendapatkan tiket untuk menyaksikan perlawanan.
"Itu hanyalah cadangan awalnya. Sayangnya idea untuk memakai bra laser tidak kesampaian kerana aku tidak mahu kosentrasi penyokong Indonesia terganggu hanya kerana bra yang aku pakai. Bimbang juga aku andai peminat pula yang bernafsu melihat aku berpakaian sebegitu," kata Jupe dalam tawa manja saat ditanya kenapa dia tidak hadir menonton perlawanan akhir itu.
Selain Jupe yang obses dengan pasukan kebangsaannya, selebriti lain turut secara terbuka memberi sokongan pada perlawanan bola sepak piala berkenaan baru-baru ini.
Di kalangan selebriti-selebriti itu, kehadiran artis kontroversi, Luna Maya juga mendapat perhatian media massa di sini.
Kehadiran Luna untuk memberi sokongan kepada team Garuda diejek sejumlah kecil peminat sebagai bintang porno. Peristiwa ini terjadi ketika kekasih Ariel Peterpan itu hadir pada final kedua AFF di Stadium Gelora Bung Karno, Rabu lalu.
Dia yang didakwa terlibat dalam penerbitan video porno bersama Ariel memasuki pintu kenamaan stadium berkenaan dengan ditemani seorang temannya terpaksa menebalkan muka ketika beberapa penonton berteriak ke arahnya dengan kata-kata kasar bernada menghina.
Mengenakan persalinan putih, Luna dilihat begitu terburu-buru memasuki stadium dan dia langsung tidak mengendahkan permintaan media untuk mewawancaranya.
Selain Luna yang terpaksa berdepan dengan rasa malu itu, penyanyi Syahrini misalnya, mendapat liputan meluas daripada wartawan.
Semasa bekas kekasih Anang itu berkunjung ke Kuala Lumpur untuk menyokong pasukan Garuda beraksi di Stadium Bukit Jalil, salah sebuah stesen televisyen Indonesia menyiarkan sebuah program khusus pengalamannya.
Dalam program itu, Syahrini berkongsi perasaannya mengenai pasukan negaranya, mengkritik sikap penonton Malaysia dan akhirnya terpaksa akur dan menyuarakan rasa sedih kerana Garuda berkesudahan dibaham Harimau Malaya.
Ketika perlawanan final kedua di Jakarta pula yang menyaksikan Indonesia gagal membawa trofi Piala Suzuki AFF 2010, Syahrini memilih untuk pulang lebih awal.
Dia meninggalkan kerusi stadium selepas Malaysia memperoleh jaringan pertama yang dijaringkan oleh striker negara Safee Sali.
"Sepertinya kita (skuad Indonesia) akan kalah," ringkas komen Syahrini ketika ditanya sebab dia meninggalkan stadium sebelum perlawanan tamat.
Artis yang sangat mengagumi pemain pertahanan kiri Garuda, Oktovianus Maniani itu mengakui, dia amat kecewa dengan kekalahan pasukan Indonesia pada kejohanan itu.
Sentimen yang serupa juga dirasakan oleh artis Manohara Odelia Pinot yang menangis apabila menyaksikan trofi Piala Suzuki AFF 2010 dibawa pulang oleh pasukan dari negara bekas suaminya, Tengku Fakhry Petra itu.
Sukan bola sepak ternyata medium terbaik untuk memperkasakan semangat nasionalisme warga di sebuah negara bahkan, ia mampu untuk mengakrabkan hubungan persaudaraan dua buah negara.
sumber: Utusan Malaysia
Ahad, 2 Januari 2011
Bola sepak dan kerakusan politik
Oleh SAHARUDIN MUSTHAFA
SAMA ada saya berada di Jakarta, Indonesia sebagai wakil baru akhbar ini tepat pada waktunya atau tidak, bukanlah idea yang bijaksana untuk dikongsi dalam tulisan ini.
Berkongsi dengan pembaca perkembangan mutakhir sukan bola sepak di negara yang mempunyai populasi penduduk 236 juta ini sebaliknya, menjadi nota yang mahu dimuatkan dalam perenggan seterusnya penulisan ini.
Suasana di Jakarta khususnya menjelang perlawanan akhir pertama dan kedua Piala Suzuki AFF 2010 saling tidak ubah seperti agenda nasional yang cukup besar bagi seluruh rakyat di negara republik ini.
Maka benarlah pandangan yang mengatakan sukan mampu menerobos aliran pemikiran masyarakat. Sukan juga berupaya mencetus polemik, perdebatan dan percaturan idea di kalangan pencinta tegar sama ada yang berpusat di coffe house hotel-hotel waima di warung-warung kecil di tepi jalan.
Penangan sukan bola sepak di Indonesia sendiri misalnya telah mengubah secara total landskap sosio budaya masyarakat dari segenap lapisan.
Kerana mahu mendapatkan sekeping tiket untuk menyaksikan perlawanan akhir Piala Suzuki AFF 2010 yang berlangsung di Stadium Utama Gelora Bung Karno sahaja hampir-hampir meragut nyawa mereka yang berpusu-pusu di pintu masuk stadium.
Itu belum lagi ditambah dengan permainan media tempatan yang cukup ghairah memberikan liputan kepada skuad Garuda yang dari kaca mata mereka harus diangkat ke taraf yang paling tinggi biarpun sebelum memasuki gelanggang.
Liputan meluas media-media tempatan terhadap sukan bola sepak di negara ini amat luar biasa sekali dan tidak pernah dilakukan di Malaysia.
Sepanjang demam Piala Suzuki AFF 2010 lebih-lebih lagi selepas Garuda dibaham oleh Harimau Malaya 0 - 3 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur di peringkat final pertama, liputan berbentuk provokasi menghiasi dada-dada akhbar serta dikupas dalam pelbagai bentuk perdebatan.
Pasukan bola sepak Indonesia kepada rakyat negara itu tidak boleh tunduk pada pasukan tetangga. Kesilapan itu bagaikan satu 'dosa besar' dan wajar ditebus semula meskipun secara relatifnya sukan bola sepak sewajarnya dijadikan senjata untuk mengakrabkan hubungan dua buah negara.
Rasa kasih dan sayang media tempatan terhadap para pemainnya dalam satu perspektif lain barangkali wajar diberi kepujian. Pemain-pemain skuad kebangsaan diangkat pada kedudukan yang paling tinggi biarpun sebelum waktunya kerana didorong oleh semangat nasionalisme yang tinggi.
Prestasi pasukan merah putih itu dianalisis dari pelbagai sudut pandang. Sehingga ke hari ini, satu Indonesia bercakap mengenai bola sepak meskipun kejuaraan Piala Suzuki AFF 2010 musim ini sudah berada dalam genggaman Malaysia.
Emosi rakyat negara ini terhadap pembangunan sukan bola sepak juga sangat mengagumkan berbanding perkembangannya sekitar lebih sedekad lalu.
Generasi skuad Garuda hari ini barangkali boleh disifatkan amat beruntung kerana di tengah-tengah sebahagian besar rakyat Indonesia terhimpit dengan kesulitan hidup, mereka seperti memberi 'nyawa' dan harapan baru.
Masakan tidak, di bumi negara ini masih ramai yang merasakan masa depan mereka semakin gelap kerana kadar inflasi yang meningkat. Itu belum lagi mengambil kira cabaran besar kepimpinan negara untuk menguruskan masalah rakyat dan rasuah yang bukan kecil jumlahnya.
Alternatif
Ketika ini, pasukan kebangsaan memberi alternatif membawa rakyat Indonesia untuk keluar daripada kedukaan.
Sukan bola sepak Indonesia merentangi segala sempadan permasalahan dan sekali gus mencuri perhatian segenap lapisan rakyat negara ini.
Piala Suzuki AFF 2010 mencetuskan kebangkitan masyarakat di negara ini untuk kembali menghijaukan padang yang sudah semakin pudar warnanya.
Biarpun skuad Garuda yang di bawah bimbingan jurulatih, Alfred Riedl itu tidak ditabalkan sebagai juara AFF Rabu lalu, ia bukanlah isu yang harus dipanjangkan lagi.
Sebaliknya, apa yang perlu diberi perhatian oleh seluruh pemerhati sukan ialah, bola sepak di negara ini telah membangkitkan gelombang nasionalisme yang lebih kental dalam jiwa rakyat Indonesia.
Namun, kecintaan yang semakin menebal itu, sayang sekali dicemari dengan kerakusan segelintir pihak yang menjadikan bola sepak sebagai agenda kepentingan politik mereka.
Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) yang dipimpin Nurdin Halid dilihat saling tidak ubah mencari ruang dan kesempatan meraih keuntungan agenda peribadi sehingga mengenepikan keharmonian semangat kesukanan.
Pelbagai kerapuhan dalam struktur pengurusan penganjuran AFF di Indonesia tidak diendahkan oleh Nurdin. Kesudahannya, penganjuran AFF di Jakarta khususnya pada peringkat akhir kedua di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta menyaksikan kacau bilau di kalangan penyokong tegar sukan bola sepak.
Kerana prestasi pasukan bola sepak itu yang kurang menyenangkan menyebabkan Nurdin didesak supaya meletakkan jawatan dan memberi ruang memimpin skuad itu kepada pemimpin yang lebih muda dan dinamik.
Di tengah-tengah keghairahan rakyat Indonesia berusaha mengembalikan semula maruah bola sepak negara juga, muncul pula politikus-politikus yang sengaja mahu menumpang perhatian dengan menawarkan habuan-habuan yang lumayan untuk para pemain skuad kebangsaan negara ini.
Andai benar janji-janji manis yang ditaburkan oleh penggiat-penggiat politik menjelang perlawanan akhir tempoh hari, Bambang Pamungkas, Christian Gonzales, Irfan Bachdim dan pemain-pemain lain tentunya boleh menggantung but dan hidup senang lenang tanpa perlu beraksi di padang lagi.
Undangan politik buat pasukan kebangsaan negara itu menjelang detik penting perlawanan akhir benar-benar meresahkan banyak pihak terutamanya Reidhl yang menyuarakan rasa kurang senangnya dengan tindakan-tindakan itu.
Bahkan, Reidhl juga dalam satu temubual dengan media menyifatkan, keghairahan media Indonesia mengangkat pemain kebangsaan serta kaum keluarga mereka sebagai bintang yang hebat merupakan percaturan yang kurang bijaksana.
Faktor-faktor inilah yang memberikan tekanan dan bebanan psikologi yang bukan kecil kepada pemain-pemain bola sepak negara itu.
Masakan tidak, harapan masyarakat yang digalas amat tinggi sedangkan menjelang hari perlawanan skuad lebih banyak menghabiskan masa menghadiri acara sosial anjuran ahli politik.
Laporan lidah pengarang beberapa media tempatan turut merumuskan kegagalan pasukan Garuda di gelanggang Piala Suzuki AFF 2010 baru-baru ini bukanlah menandakan ia kekalahan pemain-pemainnya.
Pemain-pemain skuad kebangsaan itu tidak wajar dipersalahkan kerana mereka sudah melaksanakan tugas masing-masing.
Garuda sudah mula berani untuk terbang tinggi. Para pemainnya serta jutaan penyokong sukan itu di negara ini sebetulnya juga sudah berada beberapa langkah ke hadapan daripada pemimpinnya menyorak kebanggaan terhadap pasukan itu.
Sebaliknya, yang tewas dan paling kecewa ialah para pemimpin, oportunis politik dan mereka yang gemar mengeksploitasi maruah bangsa. Harus diingatkan, politik dan sukan merupakan dua agenda yang berasingan dan seharusnya dipisahkan secara total.
Bukan saja buat Indonesia, bahkan Malaysia juga sewajarnya menjadikan hal ini sebagai panduan untuk membangunkan sukan bola sepak pada masa depan.
Kita tentunya tidak mahu melihat Safee Sali, Norshahrul Idlan Talaha, Khairul Fahmi dan lain-lain menjadi mangsa eksploitasi politik di Malaysia.
Lebih baik serahkan saja mereka yang bijak pandai menguruskan pasukan bola sepak. Orang politik kerjanya membela nasib rakyat.
sumber: Utusan Malaysia
Sabtu, 1 Januari 2011
Jabatan terpanjang dunia siap dibina
JAMBATAN Qingdao Haiwan di China yang terpanjang di dunia siap pada Isnin lalu.
QINGDAO - Jambatan terpanjang di dunia sepanjang 41.5 kilometer (km) akhirnya siap dibina di China pada Isnin lalu, lapor sebuah akhbar semalam.
Ia yang dinamakan Jambatan Qingdao Haiwan, memakan masa empat tahun untuk dibina dan menghubungkan bandar raya ini, di wilayah Shandong, timur China dengan daerah Huangdao.
Kerja-kerja pembinaan jambatan itu dimulakan oleh dua kumpulan pembinaan masing-masing di Qingdao dan Huangdao, sejak 2006.
"Model komputer dan semua pengiraan berjalan lancar tetapi kami hanya berasa lega selepas kedua-dua sisinya dicantumkan," kata seorang jurutera projek itu.
Selepas siap pada Isnin lepas, struktur berkenaan menghubungkan tiga bandar pesisir di wilayah Shandong.
Sebelum ini, gelaran jambatan terpanjang di dunia dipegang oleh Laluan Tasik Pontchartrain sepanjang 38.42km di selatan negeri Louisiana, Amerika Syarikat (AS). - Agensi
sumber: Kosmo
Senamrobik boleh dalam masjid
Oleh Norliza Wasilan
norlizawasilan@bharian.com.my
2011/01/01
Seseorang perlu jaga aurat, kehormatan ketika di tempat ibadat: Nik Aziz
KOTA BHARU: “Usah luar masjid, dalam masjid pun tak apa,” kata Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat, ketika mengulas mengenai tindakan Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching yang melakukan senamrobik bersama-sama jemaah Masjid Taman Cheras Jaya, Balakong, sempena Karnival Maal Hijrah, baru-baru ini.
Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan, bagaimanapun menegaskan seseorang itu perlu menjaga aurat dan kehormatan dirinya ketika berada di dalam masjid.
Mengulas lanjut, katanya, pihak masjid perlu membuat teguran kepada ADUN Serdang supaya sentiasa menjaga aurat dengan memakai pakaian bersesuaian ketika berada di dalam masjid.
“Kenalah jaga (aurat), usahkan Cina, orang Melayu pun kena jaga aurat... orang Cina nak masuk masjid boleh, tetapi kena jaga aurat, jaga kehormatan dan semua sekali, orang Melayu perempuan tak tutup kepala (bertudung) masuk dalam masjid pula macam mana,” katanya.
Sebelum ini, akhbar melaporkan Teo yang memakai baju ketat bersama-sama jemaah masjid termasuk lelaki bersenamrobik pada Karnival Maal Hijrah di Masjid Taman Cheras Jaya, Balakong, baru-baru ini.
Ahli Parlimen Serdang itu juga sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi apabila menyampaikan ‘tazkirah’ di ruang solat Surau Al-Huda Kajang Sentral tanpa menutup aurat.
Teo dalam blognya di www.wretch.cc/blog/teonieching pula mempertahankan tindakannya dengan menyatakan adakah menjadi satu kesalahan kepadanya untuk bersenam di tempat letak kereta masjid bersama orang ramai.
Mengenai pakaian Teo yang memakai baju ketat ketika bersenamrobik di perkarangan masjid berkenaan, Nik Aziz berkata, itu adalah masalah kedua.
“Itu masalah yang kedua... (yang penting) aurat ini kena jaga usahkan Cina, Melayu pun kena jaga aurat, sepatutnya (pihak masjid) tegurlah dia (Teo), dia tak nak tahu sebab dia bukan Islam, jadi perlu ajar (bahawa) aurat kena jaga,” katanya.
Sumber: Berita Harian
Kenyataan Teresa Kok berbau hasutan: PERKASA
2011/01/01
SHAH ALAM: Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) mengingatkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok supaya tidak menjadikan isu agama dan perkauman sebagai senjata untuk meruntuhkan perpaduan rakyat.Yang Dipertua PERKASA Selangor, Abdullah Mansor, berkata kenyataan Teresa mendakwa Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan arahan supaya tiada elemen Kristian dalam majlis sambutan Krismas yang dihadiri Datuk Seri Najib Razak pada 25 Disember lalu sebagai perkara serius yang membabitkan sensitiviti agama.
“Sebagai seorang wakil rakyat dan Exco kerajaan negeri, beliau seharusnya menjaga setiap patah perkataan dan berbicara secara rasional. Dakwaan dalam keadaan emosi hanya boleh memberi kesan negatif terhadap negara.
“Saya hormati beliau sebagai ahli politik tetapi janganlah semua perkara hendak dipolitikkan sehingga menjadi ahli politik yang tidak bertanggungjawab. Apa yang dilakukannya langsung tidak mendatangkan manfaat kepada negara,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Teresa Kok yang disiarkan portal berita Malaysiakini.com mengenai wujudnya arahan Pejabat Perdana Menteri untuk membuang elemen keagamaan dalam majlis sambutan Krismas anjuran Persekutuan Kristian Malaysia (CFM), baru baru ini.
Teresa yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Selangor mendakwa arahan itu turut mensyaratkan tiada lambang salib dalam majlis berkenaan yang diadakan di kediaman Ketua Biskop Gereja Katolik di ibu negara selain mendakwa turut melarang upacara sembahyang dan nyanyian lagu pemujaan.
Exco Selangor itu menyifatkan arahan terbabit sebagai satu pengkhianatan terhadap slogan 1Malaysia selain menggesa Perdana Menteri memohon maaf kepada CFM.
Abdullah berkata, pihaknya memberi amaran kepada Teresa Kok serta ahli politik lain supaya berhenti membuat kenyataan berbentuk hasutan serta mendesak pihak berkuasa menyiasat kenyataan yang dikeluarkan Ahli Parlimen Seputeh itu yang jelas sengaja bermain api.
Sumber: Berita Harian
Langgan:
Catatan (Atom)
