Ahad, 19 Disember 2010

Diplomasi era 'WikiLeaks'

BANYAK isu kebelakangan ini berkisar tentang sedemikian banyak pendedahan WikiLeaks di dalam internet dan media alternatif. Walaupun pada awalnya ramai yang memuji WikiLeaks kerana begitu berani mendedahkan banyak perkara negatif yang dilakukan oleh tentera Amerika Syarikat di Iraq.
Video 'Collateral Murder adalah antara pendedahan awal WikiLeaks yang mendedahkan bagaimana 'keji dan kejamnya' tindakan tentera Amerika yang menembak sesuka hati sekumpulan lelaki; termasuk dua orang wartawan yang membawa kamera.

Pendedahan WikiLeaks sebenarnya sudah membuka 'pekung' yang selama ini amat dirahsiakan oleh tentera dan kerajaan Amerika. Ini sekali gus memberi makna - WikiLeaks mempunyai pengaruh dan kesan yang positif kepada mekanisme diplomasi di peringkat antarabangsa. Sudah tidak banyak perkara yang boleh dirahsiakan sampai bila-bila.

Oleh kerana kita sudah tidak punya banyak 'rahsia'; maka istilah dan omong kosong 'transparency', keterbukaan dan sebagainya sudah diterjemah dalam bentuknya yang paling ekstrem. Sehinggakan, negara yang begitu berhati-hati dengan 'rahsia kerajaan' akhirnya terpaksa menerima hakikat - semua rahsia itu bakal menjadi 'rahsia yang terbuka'.

Sayangnya, WikiLeaks tidak akan hanya mendedahkan perkara-perkara yang menjurus kepada soal hak asasi dan keganasan perang. Beberapa hari kebelakangan ini, WikiLeaks sudah menjengah menjadi 'medan gosip dan umpat tahap tinggi'.

Ia melibatkan nota, perbualan para diplomat dalam pertemuan mereka dengan rakan-rakan sejawatan yang lain. Sudah banyak rahsia yang semakin terbongkar dan terlerai. Jiran, sahabat yang selama ini dirasakan 'jujur' sudah terbukti mempunyai niat yang sebaliknya.

Memang benar, kita tidak perlu mengambil sikap yang terlalu 'terasa hati' dengan apa yang diperkatakan. Ia mungkin pandangan peribadi. Namun, jika ia menjurus kepada soal mempertikai kewibawaan dan kepimpinan; ia sudah menjadi perkara yang tidak wajar dipandang sepi dan sebelah mata.

Kita perlu menerima kehadiran WikiLeaks sebagai 'sempadan baru' diplomasi. Mungkin ia memperkatakan perkara-perkara yang sudah berlaku atau cerita lama - namun itu tidak sepatutnya membuatkan kita cepat berasa senang hati. Kalau dahulu segala-galanya berlaku dalam suasana yang sangat tinggi kerahsiaan; WikiLeaks sebenarnya sudah membuka 'ruang demokrasi' kepada amalan diplomasi yang kadangkala menjadi senjata utama negara kuasa dunia. Hari ini, masyarakat umum dapat melihat 'hipokrasi' diplomasi dunia dalam bentuknya yang paling terbuka.

Collateral Murder sebenarnya sudah menceritakan segala-galanya tentang amalan diplomasi dan hubungan antarabangsa kuasa dunia. Dalam pada mereka bercakap mengenai amalan demokrasi, keterbukaan, transparensi dan sebagainya; mereka jugalah yang mengamalkan kekejaman pada tahapnya yang paling tinggi. Entah berapa jumlah keseluruhan manusia yang mati dengan amalan double-standard diplomasi yang diamalkan oleh kuasa dunia.

Hari ini, Amerika sendiri semakin cemas dan gelisah dengan pendedahan demi pendedahan WikiLeaks. Banyak lagi video dan bukti yang masih tersimpan. Bradley Manning, seorang perisik tentera Amerika dikatakan mempunyai 260,000 kabel diplomatik dan hampir 90,000 nota risikan telah pun menyerahkan segalanya kepada WikiLeaks.

Amerika nampak semakin cemas kerana ini dengan sendirinya mendedahkan banyak hipokrasi diplomasi yang dilakukan selama ini.

Segala macam undang-undang dicari bagi memastikan Julian Assange dapat dihadapkan ke mahkamah menggunakan kes jenayah. Undang-undang seperti Espionage Act 1917 dan Computer Fraud and Abuse 1986. Undang-undang tahun 1917 pun mahu diguna pakai terhadap Assange!

Namun jika usaha yang sama digunakan oleh orang lain - ia akan dituduh sebagai 'tidak terbuka, undang-undang kolot dan tidak berperikemanusiaan'. Hipokrasi lagi?
Dengan tidak semena-mena, WikiLeaks sudah menjadi 'masalah negara' kepada sebuah kerajaan yang menggila dengan takrif demokrasi, keterbukaan dan kebebasan memberi pandangan. Apakah Assange sudah kehilangan kebebasannya sebagai manusia sejagat?

Apakah Assange sudah menjadi sekujur tubuh yang tidak perlu lagi diperjuangkan dalam konteks hak asasi manusia?

Dalam konteks yang lebih terkini, penulis menginginkan semua pembaca membuka lembaran Foreign Affairs (November/December 2010). Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Rodham Clinton menulis artikel yang sangat menarik, bertajuk - Leading Through Civilian Power: Redefining American Diplomacy and Development - sekali gus memperteguh pandangan bahawa Amerika bukan sahaja mengamalkan transformational diplomacy malahan meletakkan amalan diplomasi sebagai smart power' dalam memperkembang ideologi yang diinginkan.

Diplomasi bentuk baru Amerika bukan lagi terlalu bergantung kepada hubungan diplomatik 'formal'; malahan akan diterjemah dalam bentuk yang lebih luas.
Ini termasuklah 'bantuan langsung' yang diberikan pelbagai agensi Amerika Syarikat kepada NGO dan persatuan yang dirasakan boleh membawa bersama 'ideologi' dan 'keterbukaan politik' yang dihajati selama ini. Dengan menggunakan platform 'National Endowment of Democracy'; dana yang diberikan kepada NGO setempat yang membawa ideologi 'demokrasi' mencecah ratusan ribu ringgit.

Jika kita rajin, taip sahaja 'NED + Malaysia'; maka akan keluarlah nama International Republican Institute, Mkini Dotcom Sdn Bhd, National Democratic Institute of International Affairs dan Suara Inisiatif Sdn Bhd (SUARAM). Ini bukan fakta rahsia. Terpampang di dalam laman sesawang.
Apakah ini smart power yang dimaksudkan Hillary? Yang pasti, ia tidak sahaja dilaksanakan di Malaysia - malahan seluruh dunia! Apakah jaminan bahawa tidak ada 'sumbangan' berasaskan 'kuasa bijak' yang cuba menyusun sesuatu.
Apa yang didedahkan oleh WikiLeaks, jangkaan penulis hanyalah sedikit berbanding banyak lagi 'strategi diplomasi' yang diguna pakai oleh kuasa dunia. Sebagai negara kecil, kita mesti juga mengamalkan prinsip hati-hati dan senantiasa berwaspada dengan 'permainan diplomasi' yang boleh dijelmakan dalam pelbagai bentuk.
Tidak mustahil, bahawa instrumen politik juga diguna pakai dalam memastikan matlamat mereka dapat dicapai dengan jayanya.

Justeru, penulis merasakan - cakap-cakap kosong, umpat 'tahap tinggi' anggota kerajaan dan diplomatik negara jiran perlu juga kita santuni dan jadikan iktibar. Dalam senyum, mungkin ada niat yang tidak baik. Orang tua-tua mengingatkan kita, 'telunjuk mungkin lurus; namun kelingking mungkin berkait' bukanlah sesuatu yang kosong dan tidak punya makna.

Wibawa atau tidaknya kepimpinan di Malaysia bukan 'diplomat kiasu' yang perlu menilainya. Rakyat Malaysia sendirilah yang perlu menjadi juri dan meletakkan 'amanah' mereka kepada kerajaan yang mereka mahukan. Oleh yang demikian, mereka sendiri perlu lebih melihat wibawa kepimpinan yang selama ini menjadi 'fobia' dengan keterbukaan dan menutup suara yang bersifat bertentangan.
Tidak ada apa yang perlu kepimpinan Malaysia terlalu risaukan dengan 'permainan bahasa kiasu' seorang dua diplomat dan pemimpin sub-standard negara jiran. Fokus dan tumpuan mesti diarahkan kepada usaha kita membina negara yang lebih makmur buat sekalian rakyat.

Secara keseluruhannya, WikiLeaks sememangnya pendedahan yang membuka mata. WikiLeaks juga mempamerkan sifat 'hipokrasi' kalangan mereka yang kononnya menjadi pejuang dan pelopor demokrasi. Mereka sendiri tidak gentar menggunakan undang-undang keras; bagi memastikan 'permainan' mereka tidak terus didedahkan secara terbuka - dan akhirnya menanggalkan hormat umat dunia.
WikiLeaks sudah secara tidak sengaja - menyusun semula 'jalur diplomasi' yang ada di sekitar kita pada hari ini. Dengan istilah 'dunia tanpa sempadan', WikiLeaks juga sudah merobohkan sempadan rahsia dengan caranya tersendiri.

KHAIRUDDIN MOHD. ZAIN
Penulis Bebas

sumber: Utusan Malaysia

Jumaat, 17 Disember 2010

Falsafah tersirat ketuanan, hak istimewa Melayu

Persoalan hak keistimewaan dan ketuanan Melayu kini menjadi isu yang tak berkesudahan. Ini paling jelas dan semakin ketara seepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 pada 8 Mac 2008 diumumkan keputusannya. Persoalan ini seolah-olah mempunyai hubungan yang rapat dengan kekuatan politik di antara pakatan pembangkang dan Barisan Nasional (BN).
Bilangan wakil rakyat yang ramai dalam Parlimen daripada pakatan pembangkang seakan-akan mempunyai hubungan dengan isu ketuanan dan hak keistimewaan Melayu. Apakah hanya BN (khususnya UMNO) yang sepatutnya menjaga dan melindungi hak ketuanan dan keistimewaan Melayu?
Adakah pakatan pembangkang tidak mempunyai hak bagi melindungi ketuanan dan hak keistimewaan Melayu? Atau persoalan ini sengaja diputar-belit oleh pihak tertentu bagi melabelkan bahawa pakatan pembangkang adalah sebuah pakatan yang tidak akan mempertahankan hak istimewa Melayu dan ketuanan Melayu?
Jadi apabila pakatan pembangkang berkuasa maka ketuanan Melayu akan berakhir dan hak keistimewaan Melayu juga tidak akan dilindungi.
Setiap negara bangsa yang dibentuk mesti mempunyai prinsip-prinsip dan matlamat tertentu ke arah membentuk kestabilan negara bangsa dalam jangka panjang. Memang proses pembentukan negara bangsa memerlukan masa yang lama bagi mencapai matlamat yang dituju dan darjah kematangan yang tinggi.
Walaupun begitu matlamat yang dituju mestilah jelas agar matlamat tidak tersasul.
Perjuangan semua pihak tidak boleh lari daripada dasar asas yang dibentuk yang biasanya dinyatakan dengan jelas dalam Perlembagaan Negara atau falsafah tersirat yang tidak bertulis (seperti Great Britain).
Dalam konteks pembinaan negara bangsa Malaysia, ia dinyatakan dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan. Ia tidak boleh diganggu dan digugat oleh mana-mana pihak. Meminjam kata-kata Datuk Seri Najib Tun Razak "Ia terkunci mati dalam Perlembagaan Persekutuan" (merujuk kepada hak keistimewaan orang Melayu dalam ucapan Perhimpunan Agung UMNO Oktober 2010).
Jadi mana-mana pihak tidak boleh menyentuh, mengubah atau meminda perkara ini lagi atas apa-apa sebab. Persoalan ini telah 'disimpul mati' dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Perkara mengenai hak keistimewaan orang Melayu ini tidak dapat diubah oleh mana-mana parti politik yang mengusai Kerajaan Malaysia walaupun sekiranya ia dapat menguasai Parlimen dengan majoriti dua pertiga.
Perkara 153 mengenai hak keistimewaan Melayu hanya dapat dipinda sekiranya mendapat persetujuan Majlis Raja-raja Melayu yang terdiri daripada sembilan orang Sultan/Raja Melayu. Adakah Raja-raja Melayu akan bersetuju meminda perkara yang penting bagi orang Melayu ini yang telah diperjuang oleh bapa kemerdekaan dan pejuang bangsa terdahulu?
Saya melihat bahawa Raja-raja Melayu tidak akan mengubah perkara ini. Jika sekali pun perkara ini berlaku maka bangsa Melayu yang 'sedar diri' akan bangkit bangun menentang dan bersatu melindungi hak bangsa.
Jadi penulis melihat bahawa persoalan hak Melayu dan ketuanan Melayu bukanlah isu remeh yang boleh dipermainkan oleh golongan politik tertentu yang sudah lupa matlamat jangka panjang pembinaan negara bangsa.
Ia bukan persoalan mendapat kuasa dan berkuasa atau mendapat sokongan daripada golongan atau kaum tertentu bagi memenangi pilihan raya akan datang, tetapi lebih jauh ia adalah isu yang meruntuhkan kestabilan bangsa dan meranapkan keupayaan dan kekuatan bangsa dengan jalan yang tidak begitu harmoni.
Isu-isu begini amat berbahaya bagi sebuah negara bangsa yang terdiri daripada pelbagai bangsa seperti Malaysia. Persoalan hak keistimewaan bangsa Melayu ini boleh menjadi isu sensitif terhadap kestabilan.
Ia boleh digunakan bagi memancing undi bagi golongan bukan Melayu dengan janji- janji seperti jika menyokong parti tertentu hingga dapat berkuasa nanti, maka hak sama rata akan diamalkan dan tiada lagi keistimewaan terhadap Melayu. Tetapi hal ini tidak boleh berlaku kerana negara bangsa Malaysia telah dibentuk berasaskan matlamat jangka panjang menjadi negara 'Melayu' (Malaysia) seperti yang dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Struktur yang dibentuk adalah seperti yang telah digariskan dalam Perlembagaan seperti kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara yang berkuasa melantik Perdana Menteri dan kemudiannya Perdana Menteri melantik anggota Kabinet dengan pengesahan Yang di-Pertuan Agong.
Prinsip dan struktur ini (begitu juga kuasa sultan/raja setiap negeri Melayu serta peraturan melantik menteri besar di setiap negeri Melayu) adalah perlu jelas bagi setiap warga negara Malaysia.
Tanpa pengetahuan ini rakyat massa akan keliru dalam membuat keputusan dan akan digunakan oleh sesetengah ahli politik yang kurang 'jujur' dalam berpolitik. Ini semua sebenarnya mempunyai falsafah besar bagi pembinaan negara bangsa yang stabil dan kuat dalam jangka panjang.
Dalam hal ini pakatan pembangkang tidak perlu menekankan pengubahan struktur kuasa bagi menarik sokongan masyarakat khususnya Cina. Ia lebih baik difokuskan kepada perkara-perkara pembersihan unsur-unsur negatif seperti rasuah dan penyalahgunaan peraturan dan undang-undang yang berlaku dalam kerajaan sekarang. Ini boleh diterima oleh semua rakyat massa tanpa mengira sesiapa.
Semua rakyat mahukan sebuah kerajaan yang bersih daripada segala jenis rasuah dan salah guna kuasa.
Perjalanan dan penyusunan ekonomi dan sosial yang benar-benar mantap dan telus adalah lebih diterima oleh rakyat.
Pakatan pembangkang dan juga BN (khususnya UMNO) juga harus sedar bahawa dalam PRU 2008, sebahagian besar kawasan majoriti pengundi Cina di seluruh negara (termasuk Sabah dan Sarawak) telah dimenangi oleh DAP atau calon PKR keturunan Cina.
Calon BN keturunan Cina daripada MCA dan Gerakan telah kalah teruk. Walaupun berlaku perubahan 100 peratus pengundi Cina kepada calon pakatan pembangkang (DAP khususnya), bilangan Ahli Parlimen tidak akan bertambah banyak lagi.
Dalam hal ini dapat dirumuskan bahawa pengundi Melayu mempunyai pengaruh dan kuasa yang besar. Kedua-dua pihak sama ada BN atau pakatan pembangkang, jangan melihat hanya pengundi Cina (atau bukan Melayu lain) menjadi penentu kepada keputusan PRU akan datang. Polisi yang dibentuk mesti mengambil kira akan perasaan hati pengundi Melayu.
Ini kerana tanpa sokongan padu pengundi Melayu, mana-mana pihak akan gagal membentuk sebuah Kerajaan Pusat yang kuat. Ini adalah wajar dan logik yang besar kerana bangsa Melayu adalah penduduk majoriti Malaysia. Semua pihak harus akur pada garis kasar dan prinsip pembinaan negara bangsa Malaysia yang stabil sebagaimana yang dimaktubkan dalam Perlembagaan.
Semua pihak mesti sedar bahawa setiap apa yang dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan itu mempunyai maksud tersirat dan mempunyai falsafah serta makna yang besar di sebaliknya. Semua itu adalah mempunyai matlamat besar bagi pembentukan sebuah negara yang maju, mantap dan stabil.

Prof. Madya Dr. Mohd. Noor Yazid,
Sekolah Sains Sosial, Universiti Malaysia Sabah

sumber: Utusan Malaysia

WikiLeaks-mania, RPK, nasib Anwar Ibrahim

TIBA-TIBA satu dunia kecoh tentang WikiLeaks, sebuah laman web yang mendedahkan pelbagai rahsia kerajaan, dari Amerika Syarikat hingga ke Eropah dan Asia. Malah Malaysia serta negara-negara jiran ASEAN tidak terkecuali.

Pelbagai "pendedahan" tentang isu dalam negara mahukan hubungan antarabangsa "dilondehkan" satu persatu.
Bagaimanapun, Dr. Mohd Khir Toyo dalam blognya, drkhir.com berkata, semua pihak tidak seharusnya begitu ghairah dengan pelbagai pendedahan WikiLeaks terutama membabitkan nama Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana ia hanya bersifat "gosip diplomatik" yang dibuat oleh negara-negara yang bersaing dengan Malaysia.
"Apa yang dicatat dalam nota diplomatik terbabit merupakan perbincangan dan gosip umum di Malaysia sejak beberapa tahun lalu. Hanya kerana ia diucap semula oleh pemimpin negara Singapura kepada diplomat negara lain dan kemudiannya dijadikan laporan perisikan dan diplomatik oleh Amerika Syarikat tidak bermakna ia satu kebenaran, apatah lagi satu fakta.
"Nota-nota diplomatik yang didedahkan dalam beberapa isu membabitkan negara ini lebih merupakan catatan persepsi dan pandangan diplomat, duta dan pemimpin negara tertentu yang belum tentu sah dan benar. Apatah lagi kenyataan-kenyataan daripada pemimpin Singapura tersebut langsung tidak disertakan bukti dan fakta," katanya.
Beliau khuatir akan ada rakyat yang keliru dengan WikiLeaks dan menganggap ia satu kebenaran sehingga mempengaruhi mereka membuat keputusan dalam sesuatu isu.
"Satu-satunya kebaikan WikiLeaks ialah ia membolehkan kita memahami bagaimana Amerika Syarikat dan sekutunya merangka polisi dan dasar luar mereka berdasarkan maklumat-maklumat daripada negara dan pemimpin tertentu," kata beliau.

Blog Apa Nama (apanama2020.blogspot. com) berkata, kita tidak memerlukan maklumat dari Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew atau WikiLeaks untuk memberitahu sifat Anwar yang cenderung terhadap hubungan sejenis kerana mahkamah di Malaysia sendiri sudah mengesahkannya pada 2004 lalu ketika perbicaraan kes liwat pertamanya.
Katanya, pada masa itu Mahkamah Persekutuan menolak keputusan Mahkamah Tinggi bahawa Anwar melakukan aktiviti homoseksual di Tivoli Villa Bangsar antara 1993 dan 1995 berdasarkan teknikal seperti percanggahan tarikh dan masa berlaku penetrasi.
"Jadi, persoalan utama kenapa para pemimpin AS, Britain atau negara jiran Singapura mendedahkan apa yang semua orang sudah ketahui sebelum ini? Apakah kerana mereka mengharapkan Anwar menjadi Perdana Menteri dan mudah bagi mereka memegang "telur" dan menukar Malaysia seperti acuan yang mereka mahu?" kata blog ini.

Blog Ruang Bicara Faisal (ruangbicarafaisal.blogspot.com) pula berkata, kalau dia berada di tempat Anwar, dia tidak akan membuat penafian dengan berceramah sehingga berbelit lidah di seluruh ceruk kampung dan tempat tetapi mengambil jalan mudah dan cepat.
"Iaitu bersumpah mengikut cara Islam seperti mana yang dilakukan oleh Saiful (Bukhari Azlan). Dua minit selesai segala masalah. Kalau Anwar boleh lakukan yang itu, pasti kerajaan Najib akan hilang sokongan. Berbondong-bondong rakyat akan mengalihkan sokongan mereka terhadap Anwar.
"Pada saya perkara ini tidak boleh dibuat main-main. Ini soal maruah, soal integriti dan soal masa depan.
Kita tak buat sedangkan orang tuduh kita buat. Nak tunggu keputusan mahkamah lambat lagi. Saban hari ada saja orang memperkatakan tentang kita.
"Kenapa nak pilih jalan sukar sedangkan jalan mudah terbentang depan mata. Yang kita duduk pening dengan Anwar sampai hari ini adalah kenapa dia tak nak bersumpah. Orang tuduh dia meliwat, dia kata tak buat dan itu semua fitnah.
"Orang suruh bersumpah menafikan tuduhan, dia tak nak. Prosiding mahkamah asyik ditangguh-tangguh.
Habis, macamana nak bersihkan maruah? Mengaku tak nak, bersumpah pun tak nak, mahkamah ditangguh-tangguh," kata blog tersebut.

Sementara itu, Zakhir Mohamed (bigdogdotcom.wordpress.com) yang menyentuh mengenai tindakan rakan Anwar, Raja Petra Kamaruddin yang kini semakin lantang mengkritik pakatan pembangkang, sedangkan sebelum ini semua tahu bahawa beliau merupakan sekutu kuat Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.
Bagaimanapun, katanya, ia bukan kali pertama Raja Petra membuat serangan terbuka terhadap Anwar dan sebab utama dia berbuat sedemikian ialah kerana wang seperti mana yang dilakukan pada Pilihan Negeri Sarawak 2006 lalu.
"(Pada masa itu) Raja Petra menyerang Anwar dan 'Kepimpinan Ketat' PKR (Wan Azizah, Azmin Ali, Ezam Md. Noor) kerana duit yang diperuntukan untuk pilihan raya tersebut bagi operasi PKR di Sarawak didapati 'tidak turun'. Beliau mengambil langkah untuk menyerang Anwar secara terbuka melalui laman blog Malaysia Today.
"Kebarangkalian blogger ini (Raja Petra) mengambil kedudukan ini terhadap Anwar dan kroni adalah sebab duit adalah amat besar. Ini kerana ia pernah berlaku dan beliau sendiri mungkin dalam keadaan kesempitan wang kerana kos tinggi tinggal di United Kingdom dan kemungkinan berhadapan dengan masalah peribadi yang rumit," katanya.
Bagaimanapun, katanya, serangan ke atas Anwar dan kroni itu berkemungkinan besar sebagai satu sandiwara memandangkan PKR kini berada dalam keadaan tertekan akibat masalah dalaman yang terdedah satu persatu, termasuk pendedahan yang dibuat oleh WikiLeaks.

Blog Gelagat Anwar (gelagatanwar.wordpress. com) pula berkata, Raja Petra kini marahkan Anwar dan pakatan pembangkang yang terlalu manja dan tidak mampu untuk berpolitik secara jantan sebaliknya lebih mengharapkan orang lain.

"RPK (Raja Petra) mungkin dah terbaca kenyataan penuh Anwar mengenai WikiLeaks. Bukan sahaja Anwar tidak  menangani isu WikiLeaks secara intelektual, malahan merepek kepada soal ugutan bunuh dan bagaimana dia mendapat layanan istimewa di Kedutaan Turki.
"Inilah masalah dengan Anwar, dia tidak boleh orang lain sentuh dia. Dia tahap dewa. Ini yang RPK kata Anwar ni tidak boleh kena, waima satu 'pelempang' pun. Manja. Main politik 'ayu' dan kononnya innocent (tidak melakukan kesalahan). Tapi kalau cakap berdegar-degar," kata blog ini.
Kata blog ini, Raja Petra menyatakan perkara yang perlu Anwar dan pakatan pembangkang lakukan dan bukannya hanya memburuk-burukkan orang lain dan untuk pastikan Putrajaya menjadi milik mereka dengan politik dendam manakala Pas pula sekadar menjadi pak turut.

KELOLAAN LUKMAN ISMAIL

Pandangan Menteri Pula

Natijah seleweng fakta


R. Sivarasa bersama Karpal Singh


PENGGANTUNGAN empat wakil rakyat pakatan pembangkang termasuk ketuanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai kononnya untuk membolehkan Barisan Nasional (BN) meraih majoriti dua pertiga adalah sangkaan berbau pendirian yang samar-samar.
Realitinya, ia tiada kaitan langsung dengan hujah itu. Sebaliknya, tindakan Dewan Rakyat itu terangsang semata-mata atas fakta laporan hansard berdasarkan hujah-hujah yang dikeluarkan oleh Anwar berkaitan peranan Apco Worldwide yang didakwa mengilhamkan gagasan 1Malaysia. Sedangkan hakikatnya ia tidak benar sama sekali dan mengelirukan rakyat.
“Apco tidak mencetuskan 1Malaysia sebaliknya gagasan ini hasil idea pelbagai pihak dan pelbagai pemikiran malah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerima idea ini setelah beliau sendiri mewujudkan asas fikiran untuk 1Malaysia.
“Jadi, apabila Anwar mengatakan dalam Dewan Rakyat ia adalah pencetus daripada Apco, maka ini sekali gus memberi gambaran bahawa Perdana Menteri digalas oleh pihak lain, justeru ia tidak tepat,” kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim ringkas kepada Utusan Malaysia di Putrajaya semalam.
Realitinya, salah satu prinsip demokrasi Berparlimen adalah setiap Ahli Parlimennya mesti bercakap benar dan tidak menyelewengkan fakta. Malah, mereka tidak harus berselindung di belakang kenyataan politik yang memudaratkan fakta.
Perkara dan perkembangan ini jika tidak dibanteras oleh sistem perbahasan dan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat, risikonya rakyat mungkin akan merasakan pandangan Ketua Pembangkang adalah benar belaka.
Sebab itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz setelah meminta pandangan Jemaah Menteri – yang bermakna beliau bukannya mengusulkan penggantungan keempat-empat mereka secara bersendirian – telah berbuat demikian semalam.
Jemaah Menteri menyetujuinya setelah berpuas hati apabila Ketua Pembangkang mencetuskan ‘peranan’ Apco berkenaan dalam gagasan 1Malaysia.
Malah, Rais sendiri sebagai menteri yang mengetuai Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan menjadi entiti yang berhempas pulas untuk memastikan 1Malaysia menjadi satu konsep gagasan demi kesatuan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dengan mengejar kemajuan sebagai objektif nasional tidak ‘bisa’ menerima tuduhan Anwar itu.
Realitinya, penggantungan Anwar daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan ekoran tuduhan Apco tersebut, yang kemudian disertai Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor), R. Sivarasa (PKR-Subang) dan Azmin Ali (PKR-Gombak) berikutan pendedahan mereka kepada umum mengenai prosiding mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen bukanlah kali pertama berlaku dalam sejarah Parlimen Malaysia.
Lebih-lebih lagi buat Anwar kerana ia juga bukan kali pertama Ketua Pembangkang ‘dicutikan’. Ini kerana Lim Kit Siang pernah menerima nasib sama. Demikian juga dengan Datuk S.Sothinathan dari MIC, Ahli Parlimen Batu Gajah, Fong Po Kuan dan Ahli Parlimen Bandar Kuching, Chong Chien Jen.
Tindakan penggantungan yang diputuskan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia itu bukanlah sesuatu yang bermatlamat buruk sangka. Sebaliknya, ia susulan daripada prinsip Parlimen yang demokratik – siapa yang tidak bercakap benar, maka terimalah natijahnya.
Dalam hal ini, Rais memberitahu akhbar ini bahawa beliau sebelumnya menduga bahawa Anwar dan rakan-rakannya pasti akan menyangkal dengan jelas keputusan penggantungan terhadapnya. Namun jangkaanya meleset. Sebaliknya lain pula cara mereka dengan meninggalkan Dewan.
“Anwar dan kawan-kawannya tidak mengambil tindakan mengundi dan tidak pula mengemukakan hujah berasaskan fakta (untuk membuktikan bahawa 1Malaysia diolahkan oleh Apco Worldwide) tetapi keluar beramai-ramai meninggalkan Dewan.
“Protes seperti itu tidak sesekali akan ‘mencairkan’ dakwaan Dewan Rakyat.
“Sebab itu dia kena buktikan kerana kalau tidak, itu namanya penyelewengan fakta dan Ahli Parlimen berkenaan berhak dirujuk ke Jawatankuasa tersebut. Sebab itu dia harus ‘dicutikan’,” kata Rais.
Apa pun, penghargaan harus diberi kepada Pandikar Amin yang tegas menjalankan tanggungjawabnya mengendalikan Dewan Rakyat semalam.
Bagi Pandikar Amin, beliau hanyalah seorang Speaker Dewan Rakyat yang tidak mempunyai sebarang kepentingan kerana tidak mempunyai hak untuk mengundi. Keputusan yang dibuatnya itu adalah semata-mata berdasarkan peraturan mesyuarat dan jika tidak dipersetujui, maka boleh mengemukakan usul di bawah Peraturan Mesyuarat 43.
“Pelantikan saya di bawah Peraturan Mesyuarat 80, Yang Berhormat boleh semak. Maka, secara automatik dalam Peraturan Mesyuarat 40 saya adalah pengerusi jawatankuasa. Saya tidak mempunyai sebarang kepentingan dan pelantikan ini mengikut Perlembagaan Persekutuan.
“Kalau tidak setuju buat usul persendirian, saya jemput Yang Berhormat buat usul dan rujuk Peraturan Mesyuarat 15 (1)(2). Itulah makanya, jangan perangkap saya dalam persepsi politik kamu semua, saya hanya mengikut peraturan yang dibuat oleh Yang Berhormat semua,” demikian tegas Pandikar Amin semalam.
Cuma selepas ini cabaran kerja-kerja yang dipikul oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat pastinya kian getir kerana lunas-lunas demokrasi yang ‘gentleman’ dan berbudi bahasa barangkali tidak akan kelihatan lagi di Dewan Rakyat.

sumber: Utusan Malaysia

Pandangan Dari BEBAS Tentang APCO

Isu Apco pembohongan pembangkang

KUALA LUMPUR 16 Dis. - Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin hari ini mendedahkan isu Apco yang diperjuangkan oleh pakatan pembangkang di Dewan Rakyat selama ini adalah satu pembohongan.
Sehubungan itu, sejak berada di dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) lagi beliau tidak mahu terlibat dengan pakatan pembangkang berhubung isu tersebut kerana jelas ia telah diputarbelitkan dengan memberi gambaran seolah-olah Malaysia dipengaruhi oleh Israel melalui Apco.
Beliau berkata, begitu juga dengan dakwaan pakatan pembangkang kononnya pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah diresapi oleh Israel melalui Apco di Bukit Aman.
''Sebenarnya Apco yang disebut di Bukit Aman itu adalah satu sistem yang dikenali sebagai 'American Protocol Communication Outfit' atau singkatannya APCO.
''Ia merupakan satu sistem komunikasi terutamanya perhubungan walkie-talkie dan langsung tiada kena-mengena dengan Apco Worldwide yang kononnya dikuasai oleh Israel,'' katanya dalam blognya http://zul4kulim.blogspot.com.
Mengenai Apco Worldwide, Zulkifli di dalam blognya berkata, sangat jelas syarikat itu langsung tidak ada kena-mengena dengan penguasaan Israel atau Yahudi.
Beliau berkata, Apco Worldwide adalah syarikat perunding dimiliki oleh sebuah firma guaman Arnold & Porter Company iaitu sebuah syarikat guaman yang sangat terkenal di Washington.
''Firma guaman tersebut telah menubuhkan sebuah syarikat perunding untuk kesemua pelanggan yang memerlukan khidmat runding cara. Maka tertubuhlah Apco (mengguna pakai singkatan nama firma tersebut).
''Margery Krause telah menjadi Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Apco Worldwide. Syarikat ini merupakan sebuah syarikat yang dikuasai oleh golongan wanita bagi tujuan khidmat runding cara,'' katanya.
Beliau berkata, Apco Worldwide telah melantik beberapa konsultan daripada pelbagai latar belakang dan mereka antaranya bekas presiden, bekas hakim, bekas menteri yang mempunyai kepakaran di dalam bidang ekonomi, kewangan, kenegaraan, agama serta banyak lagi.
Oleh itu, katanya, dakwaan kononnya Apco dikuasai oleh Yahudi dan Israel adalah langsung tidak benar.
''Ini merupakan pembohongan semata-mata. Begitu juga dengan isu Apco yang turut melibatkan Ibu Pejabat PDRM di Bukit Aman.
''Hanya kerana nama serupa maka nama Apco Worlwide dan APCO Communication telah diputar-putar dan dibelit-belitkan,'' katanya lagi.
Zulkifli berkata, begitu juga dengan slogan 1Malaysia dan One Israel yang kelihatan sama, maka terus dituduh Malaysia telah diresapi dan dipengaruhi Yahudi.
''Bagaimana pula dengan slogan 'Pas 4 All' dengan slogan 'Israel 4 All'? Adakah wajar jika ada orang menuduh Pas telah dipengaruhi dan diresapi oleh Yahudi dan Israel hanya kerana persamaan itu? Tidak sepatutnya bukan.
''Bagaimana pula dengan lambang "Satu-Mata" Illuminati Yahudi dengan lambang "Satu-Mata" Parti Keadilan?
''Adakah wajar kalau orang menuduh PKR dipengaruhi dan diresapi oleh unsur Yahudi? Pokok pangkalnya, kalau kita tidak mahu orang putar-belitkan slogan kita, janganlah kita putar belitkan orang lain,'' katanya.
Justeru, beliau berkata, dalam isu itu umat Islam khususnya wajib merujuk kepada satu ayat al-Quran iaitu Surah al-Hujurat ayat enam yang bermaksud:
''Wahai orang beriman sekiranya datang kepada kamu berita daripada seorang yang fasik, janganlah kamu percaya tetapi selidikilah dahulu (untuk tentukan kebenarannya), janganlah kamu mengambil tindakan terhadap sesuatu kaum atas berita itu disebabkan kejahilan kamu, kelak nanti kamu yang menyesal.''

sumber: Utusan Malaysia
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...