Ahad, 17 Oktober 2010

Kisah Anwar dan Azmin

DALAM tempoh tidak sampai dua minggu, ketua pembangkang Anwar Ibrahim berkunjung dua kali ke Indonesia. Ramai yang boleh membaca strategi Anwar. Beliau mahu mendapatkan sokongan sebanyak mungkin daripada pihak luar bagi menyelamatkan dirinya daripada kes liwat kali kedua. Matlamat beliau adalah mahu melihat gelombang campur tangan asing supaya mengenakan tekanan ke atas kerajaan Malaysia.
Setakat ini, apa yang beliau harapkan itu tidak menjadi kenyataan meskipun ada pihak luar yang simpati dan telah termakan dengan muslihatnya. Awang percaya tiada pemimpin di dunia yang terlibat dalam kes mahkamah berkaitan salah laku peribadi, begitu ghairah mengheret masyarakat antarabangsa untuk bersimpati dengannya kecuali Anwar.

Di Indonesia, seperti biasa, Anwar bermain dengan sentimen untuk menagih simpati dan sokongan. Bukan itu sahaja, beliau menabur janji untuk menyelesaikan segera masalah antara kedua-dua negara jika menjadi Perdana Menteri Malaysia. Begitulah liciknya Anwar untuk menangguk di air keruh.

Seperti yang diduga, pemimpin PKR itu menggambarkan beliau tokoh berkarisma, berintegriti, bermoral dan berpegang kepada demokrasi. Beliau memuji media Indonesia kerana mengamalkan kebebasan media yang lebih meluas. Itu juga cara beliau untuk terus disayangi oleh media negara berkenaan.

Pada pandangan Awang, sebahagian media Indonesia belum cukup mengenali Anwar. Di Malaysia, beliau sendiri tidak berpegang kepada janjinya untuk mengamalkan kebebasan media, hak bersuara dan demokrasi sebagaimana manifesto pilihan raya umum lalu. Kalau di Indonesia, kes salah laku pemimpin seperti Anwar ini, pasti dibongkar habis-habisan, belum pun sempat sampai ke muka pengadilan. Lihatlah apa yang terjadi kepada bekas penyanyi kumpulan pop Peterpan, Ariel ekoran skandal seks (bukan sejenis) dan beberapa politikus di negara itu.

Di banyak negara Barat, pemimpin yang terlibat dengan kes gangguan seksual juga tersungkur menerusi pendedahan media. Beberapa skandal seks sejenis melibatkan pemimpin turut berakhir dengan peletakan jawatan mahupun pemecatan, yang penyandangnya tidak mengheret rakyat. Mujur Anwar menjadi pemimpin di Malaysia.

Begitu juga dalam isu kebebasan media. Kalau di Indonesia, pemimpin seperti Anwar yang tidak bersikap terbuka, akan teruk dihentam. Ini kerana beliau diketahui suka memboikot media dan memarahi wartawan yang menanyakan soalan yang tidak digemarinya.

Awang percaya suatu hari nanti, media Indonesia akan lebih mengetahui siapa sebenarnya Anwar. Topeng beliau akan tanggal jua akhirnya. Beliau adalah oportunis dan pelakon terhebat yang pernah dilahirkan oleh pentas politik Malaysia. Indonesia juga pasti akan gawat jika ada pemimpin seperti beliau.

Hipokrasi Anwar mungkin menjadi di luar negara tetapi tidak lagi di negaranya sendiri mahupun dalam parti pimpinan beliau. Puluhan pemimpin PKR telah meninggalkan Anwar kerana hilang kepercayaan kepada beliau. Satu demi satu pendedahan oleh pembantu beliau membuka lagi pekung Anwar. Mesej mereka, perjuangan Anwar hanya untuk kepentingan peribadi - menjadi Perdana Menteri dan menutup masalah moralnya. Maka orang seperti beliau terdorong untuk lakukan apa sahaja biarpun mengkhianati agama, bangsa dan tanah air.

Lalu Awang teringat kisah Perdana Menteri, Umaiyuddin Muhammad al-Aqami ketika pemerintahan Khalifah al-Mustashim Billah (640-656H) di zaman Bani Abbassiyah. Disebabkan kerakusan untuk menjadi khalifah (pemimpin agung), Umaiyuddin sanggup meminta campur tangan asing dan melakukan pengkhianatan, yang akhirnya menyebabkan kejatuhan Bani Abbassiyah.


Sebagaimana Umaiyuddin, Anwar nampak ada ruang dan peluang bagi beliau. Sebab itu, Awang tidak terkejut dengan pelbagai kenyataan beliau yang memburuk-burukkan kerajaan Malaysia di luar negara. Tetapi sedarlah, Malaysia adalah negara demokrasi. Majoriti rakyat masih memilih kerajaan yang ada. Anwar tiada hak untuk bersuara kononnya bagi pihak majoriti rakyat. Itu bermakna beliau menafikan hak rakyat dan melakukan khianat bukan sahaja terhadap negara malah ke atas rakyat. Politik bukan tiket untuk menggugat kedaulatan negara.

Selain Anwar, yang turut memburukkan Malaysia di Indonesia baru-baru ini ialah Naib Presiden PKR, Azmin Ali. Beliau mendakwa rakyat Malaysia menuntut adanya perubahan kononnya untuk kebaikan kedua-dua negara. Sebenarnya perubahan yang diharapkan ialah agar Anwar menjadi Perdana Menteri dan Azmin boleh terselamat daripada segala-galanya termasuk rahsia tertentu yang diperkatakan ramai ahli PKR.
Kepada Anwar dan Azmin, berhentilah daripada bersikap hipokrit. Sehebat mana sekalipun perancangan dan percaturan kita, ingatlah ia tidak akan dapat mengatasi ketentuan Ilahi. Janganlah jadikan rakyat dan negara sebagai taruhan.

Maka Awang tersentuh apabila ada sekumpulan ahli-ahli PKR menghantar memorandum kepada Anwar di pejabatnya semalam memohon agar beliau segera bertaubat. Anwar sepatutnya tahu hakikat mengapa beliau perlu bertaubat.

Kita umat Islam sentiasa dituntut bertaubat selagi ada kesempatan. Sebagai pemimpin, usahlah heret rakyat hanya disebabkan dosa dan perilaku buruk yang sentiasa cuba diselindungi. Janganlah jadi seperti Umaiyuddin, yang akhirnya menyesal atas segala perbuatan tetapi sudah terlambat. Keluarganya sendiri ditimpa musibah. Umaiyuddin menempuh saat-saat terakhir hayatnya dalam penghinaan yang dahsyat. Sejarah sepatutnya mengajar kita, bukan membenarkan kesilapan itu berulang dan terus berulang.

sumber: Utusan Malaysia

Apabila persepsi tentukan keputusan

MANUSIA tidak berupaya untuk mengetahui atau memahami semua perkara secara mendalam dan selengkapnya. Apa yang dapat dilakukan hanyalah mengetahui atau memahami sesuatu perkara tertentu saja yang benar-benar dialami dan ditelitinya sendiri.

Sungguhpun dengan kesedaran tentang kurangnya kemampuan untuk mengetahui semua perkara, manusia tetap mahu memegang sesuatu kepercayaan walaupun ia tidak mempunyai asas yang kuat.

Kecenderungan untuk percaya kepada sesuatu perkara yang kurang berasas mungkin didorong oleh keperluan. Dalam kehidupan seharian, pelbagai keputusan perlu dibuat sedangkan fakta tidak mampu untuk dihimpun atau dikaji kesahihannya. Maka muncullah apa yang disebut sebagai persepsi. Justeru manusia hidup dengan persepsi. Kebetulan jika persepsi lahir daripada keadaan sebenar, maka keputusan yang dibuat daripadanya adalah betul. Tetapi jika sebaliknya, maka persepsi mendatangkan hasil yang tidak tepat.

Semua orang membuat keputusan setiap hari dalam menjalani kehidupannya. Ada keputusan yang besar, dan ada yang kecil. Ada yang penting dan ada yang kurang penting. Masa untuk membuat keputusan pula ada kalanya pendek, dan ada kalanya panjang. Maka banyaklah keputusan itu dibuat atas dasar persepsi. Justeru jika persepsi itu berasaskan fakta dengan rumusan logik yang betul, maka keputusan yang dibuat juga adalah berkualiti, begitulah juga sebaliknya.

Tetapi dalam membuat keputusan untuk diri sendiri, kesannya tidaklah sebesar atau seluas melibatkan orang lebih banyak jika memutuskan sesuatu perkara bagi pihak orang ramai.

Umpamanya, sebagai ketua keluarga, seorang suami dan bapa yang membuat keputusan akan memberi kesan besar dan berjangka panjang kepada keluarganya, untuk isteri dan anak-anaknya. Jika keputusannya itu bermutu, maka bernasib baiklah keluarganya, begitulah sebaliknya. Bagi isteri dan ibu pula, keputusan yang dibuat mengenai urusan rumah tangga juga memberi kesan yang mendalam. Adakah anaknya mendapat makanan yang berzat atau tidak, adalah kesemuanya memberi kesan jangka panjang juga.

Pejabat

Maka begitu juga di tempat kerja. Ketua-ketua pejabat mempunyai tanggungjawab berat dalam membuat keputusan. Sebarang keputusannya pasti akan memberi kesan terhadap syarikatnya, dan juga kepada untung rugi yang ditanggung oleh pemegang sahamnya, dan juga terhadap pendapatan pekerja dan kakitangannya pada masa akan datang.

Hanya para ketua dan pemimpin yang menanggung beban dan mengetahui betapa beratnya tanggungjawabnya dalam membuat keputusan. Sedangkan ada kalanya keputusan yang hendak dibuatnya adalah sukar. Telan mati emak dan luah mati bapa. Sedangkan fakta dan maklumat yang mendasari sesuatu keputusan hanya diperoleh secara terhad, termasuk melalui nasihat daripada pegawai-pegawai yang bekerja di bawahnya. Adakah nasihat dan maklumat itu benar atau bermutu, itu soal lain yang hanya dapat pemimpin itu menilai menurut pengalamannya sendiri.

Justeru, ketua dan pemimpin itu juga terpaksa bergantung kepada persepsi yang diterimanya. Maka para pegawainya pasti cuba mempengaruhi persepsi itu berdasarkan persepsi mereka pula. maka apa yang berlaku adalah persepsi atas persepsi. Sama ada persepsi itu berasaskan pada kebenaran atau tidak, ia hanyalah sesuatu yang kebetulan, dan rangkaiannya terlalu kompleks yang manusia hanya dapat membuat keputusan mengikut penilaian bukan saja berasaskan logik, tetapi juga perasaannya.

Ahad, 10 Oktober 2010

1001 rahsia hidupan laut


SEADRAGON PHYCODURUS EQUES.


LAUTAN merupakan satu anugerah tuhan kepada manusia yang tidak terperi indahnya dan tak tercapai dek akal akan kewujudannya.
Begitu juga dengan hidupan di dalamnya yang sehingga kini masih kekal sebagai satu misteri besar dalam kehidupan manusia.

Ketika manusia di Barat sibuk untuk mewujudkan satu jawatan tentang siapa yang bakal menjadi jurucakap bumi jika terdapat makhluk asing yang mahu membuat hubungan dengan manusia hakikatnya lautan yang terbentang luas itu pun masih jauh lagi untuk diketahui tentang kewujudan spesis yang terdapat di dalamnya.

Mungkin agak melucukan, namun hasil kajian para saintis mendapati lebih tiga perempat dari lebih sejuta spesis (mungkin lebih) yang terdapat di dalam laut masih belum diketahui kewujudannya.
Lautan yang boleh kita tafsirkan sebagai himpunan air masin yang meliputi permukaan bumi yang dibatasi oleh benua ataupun kepulauan yang besar merupakan elemen yang dominan di atas muka bumi.

Dianggarkan lautan meliputi 71 peratus dari permukaan bumi, dengan luas sekitar 361 juta kilometer persegi. Manakala isi lautan pula dianggarkan sekitar 1370 juta kilometer padu, dengan kedalaman rata-rata 3790 meter.
Berdasarkan hasil kajian rangkaian penyelidik dari Cencus of Marine Life yang didedahkan pada Selasa lepas, terdapat lebih sejuta spesies mendiami lautan dengan sekurang-kurangnya tiga perempat daripadanya masih belum dikenal pasti.

Census of Marine Life merupakan rangkaian penyelidik global di lebih 80 negara yang telah terlibat secara aktif dalam kajian saintifik selama 10 tahun tentang kepelbagaian, pergerakan dan cara hidup pelbagai jenis spesis yang terdapat di dalam laut.

Kajian tersebut yang bernilai AS$650 juta (RM2.08 bilion) itu telah berjaya menemui lebih 6,000 spesies baru dan beberapa spesies hidupan yang sebelum ini di kategorikan jarang dijumpai, tetapi sebenarnya banyak terdapat di dalam laut.

Penyelidikan tersebut melibatkan lebih 2,700 saintis, 670 institusi dan lebih 540 lawatan yang mengambil masa kira-kira 9,000 hari di laut.

Hampir 30 juta pemerhatian dilakukan ke atas 120,000 jenis spesies hidupan sepanjang kajian dijalankan.
Menurut laporan tersebut apa yang didedahkan adalah satu penemuan yang tidak pernah diperolehi sebelum ini.

Ia adalah gambaran tentang kepelbagaian, taburan dan perbezaan hidupan laut di muka bumi ini, daripada mikrob kepada paus, dari kawasan kutub berais ke kawasan tropika, daripada ombak di tepi pantai hingga ke dasar laut yang paling dalam.

Kajian itu dijalankan bagi mengenal pasti hidupan yang pernah mendiami lautan, yang tinggal di laut masa kini dan kemungkinan spesies yang boleh hidup di laut pada masa depan.
Menurut penyelidikan tersebut, sebanyak 16,764 spesies ikan berjaya dikenal pasti setakat ini, tetapi kira-kira 5,000 spesies lagi masih belum dapat ditentukan jenisnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pengendali Cencus of Marine Life, Ian Poiner berkata, penyelidik buat kali pertama dapat menentukan antara spesies yang dikenali dan yang tidak di kenali secara sistematik.

"Semua hidupan di permukaan bergantung kepada kehidupan di dalam dan dasar laut. Hidupan laut mem bekalkan separuh daripada oksigen dan banyak makanan kepada kita se lain mengawal perubahan iklim," katanya yang berasal dari Australia.

Melihat kepada kepentingan hidupan laut ini pastinya membuat kita terfikir apa perlunya manusia terlalu membazir tentang apakah benar wujudnya kehidupan di angkasa lepas.

Telah terlalu banyak wang dihabiskan untuk membuat kajian tentang perkara ini sedangkan hakikatnya hidupan di dalam laut itu sendiri masih terlalu banyak yang tidak diketahui kewujudannya.

Agak menghairankan kenapa perkara ini tidak diberikan perhatian yang lebih khusus padahal benar-benar terdapat hidupan di dalam laut yang mungkin boleh memberi kesan yang lebih dalam kehidupan manusia.
Bukan untuk menidakkan kepentingan penerokaan sains angkasa lepas namun jika ia terlalu tertumpu apakah benar wujud kehidupan di luar sana, adalah malang jika kita mengabaikan hidupan di dalam laut yang terdapat di bumi itu sendiri.

Kreativiti menipu, Tronoh jadi Toronto

Oleh NORAINI ABD. RAZAKnoraini.razak@utusan.com.my

SYAWAL pun berlalu. Namun catatan sepanjang Syawal mesti masih berbekas di hati mahu pun dalam lipatan memori. Banyak cerita suka-duka sepanjang Syawal. Di pihak akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia, berakhirnya Syawal bermakna tamatlah ruangan Salam Perantauan untuk tahun ini. Alhamdulillah sambutan yang diterima terlalu memberangsangkan. Sama ada muka surat untuk ruang tersebut ditaja atau tidak, syarikat meneruskan tradisi menyiarkan ruangan itu khusus untuk rakyat Malaysia di luar negara menyampaikan salam hari raya.

Bermula dengan ucapan daripada para pelajar, ruangan tersebut dibuka kepada semua rakyat Malaysia di luar negara.

Lebih menarik perkembangan teknologi maklumat memberi peluang kepada rakyat Malaysia di mana saja untuk berbuat demikian. Sehingga hari ini emel yang diterima melimpah ruah. Mereka yang berkhidmat di pelantar minyak, di atas kapal malah nun di hujung dunia memeriahkan lagi ruangan yang diwujudkan oleh akhbar ini dengan penuh rasa ikhlas. Sehingga hari ini masih banyak emel yang diterima tidak dapat disiarkan.

Sebelum kepesatan zaman teknologi maklumat, berkotak-kotak surat dikirimkan dengan harapan gambar serta ucapan mereka dapat disiarkan di dalam ruangan tersebut. Setiap malam akan ada petugas yang menaip rapi setiap maklumat yang dihantar, sambil sesekali tersenyum melihat aksi-aksi pelajar kita di luar negara. Mereka ini tidak dibayar elaun khas untuk membuat kerja-kerja menaip, mengumpul gambar dan mengasingkan antara surat yang telah diproses dan surat yang baru diterima. Kesemuanya itu dibuat dengan rasa ikhlas. Sebab itu tiada bayaran dikenakan. Tiada syarat-syarat - satu yang dipinta pengirim juga mesti bersikap jujur dan ikhlas. Pastikan maklumat yang dikirim adalah betul.

Akhbar-akhbar lain turut berbuat demikian.

Tidak pernah terlintas di fikiran para petugas media akan ada sekumpulan manusia yang bergelar pelajar universiti akan mengambil kesempatan menggunakan ruangan tersebut untuk menipu. Tidak juga masuk akal bagi petugas media menghubungi semua universiti di luar negara untuk menentukan kesahihan gambar yang diemel. Tidak juga dibelek setiap latar belakang gambar lantaran tradisi yang diteruskan didasari oleh prinsip saling percaya-mempercayai.

Kecanggihan


Namun kecanggihan teknologi maklumat meningkatkan kreativiti manusia untuk menipu. Bukan saja menipu, si penipu berbangga dengan kreativiti songsang mereka. Itulah yang terjadi apabila sekumpulan pelajar dari Universiti Teknologi Petronas di Tronoh, Perak mengirim gambar mereka berlatarbelakangkan sebuah taman untuk disiarkan di dalam ruangan Salam Perantauan. Gambar tersebut dipilih untuk terbitan 21 September 2010. Ketika mana umat Islam menyuci diri menjalani ibadah puasa, mereka mencuci otak untuk menipu. Menerusi ICT juga penipuan itu dijaja, kononnya mereka handal kerana dapat menipu akhbar ini. Mendabik dada kononnya mereka juga pernah melakukan penipuan yang sama kepada akhbar-akhbar lain. Malah menerusi komen di blog yang memaparkan penipuan tersebut, telah ada perancangan untuk menyambung siri penipuan pada tahun hadapan.

Penipuan itu kononnya didorong rasa meluat terhadap penuntut luar negara yang menghantar gambar mereka dengan latar belakang salji untuk disiarkan di ruangan tersebut. Selamba dan bersahaja mereka berbangga diri tidak perlu bersalji dan tidak perlu ke Toronto pun, gambar mereka disiarkan di ruang Salam Perantauan.
Saya pasti kumpulan pelajar itu masih berbangga. Membaca komen-komen di dalam blog itu ramai juga yang memuji kelicikan serta kreativiti penuntut universiti di Tronoh itu menipu akhbar tempatan. Ditambah lagi dengan komen-komen yang kononnya akhbar ini menipu. Mahu diajukan pertanyaan, adakah mereka pembaca setia akhbar ini, dan apa pula penipuan yang telah dibuat sehingga penipuan yang secara terang-terangan menjadi halal di mata mereka. Ulasan-ulasan selari itu pasti menjadikan kumpulan yang menipu berasa diri mereka hebat.

Bagaimana pula ibu-bapa, para pensyarah dan pihak penaja biasiswa mereka? Adakah mereka juga berbangga? Wakil akhbar ini ada menghubungi UTP. Dia diberitahu satu mesyuarat telah diadakan berhubung penipuan tersebut. Sambil menyebut juga betapa mereka mengharapkan penipuan itu tidak disedari oleh Utusan Malaysia. Sememangnya akhbar ini tidak sedar berlakunya penipuan. Bukan kerana merelakan diri ditipu tetapi sebaliknya didorong oleh rasa percaya dan yakin betapa tidak mungkinnya ruangan tradisi ini pun menjadi mangsa penipuan kreatif. Siapa yang dapat membezakan latar belakang gambar tersebut? Bukankah musim bunga di Toronta juga sarat dengan kehijauan sama seperti bumi Tronoh yang tidak pernah dilanda salji?

Pihak UTP ada menyebut perihal kesal dengan kejadian tersebut dan meminta maaf serta berjanji akan mengambil tindakan terhadap pelajar yang terlibat sebagai pengajaran. Saya percaya siri penipuan ini tidak akan berhenti tahun ini. Lantaran mereka yang menggunakan kreativiti otak untuk menipu akan menggunakan pelbagai cara untuk memuaskan kehendak mereka. Kumpulan ini juga tahu pihak akhbar tidak akan mampu untuk menentukan kesahihan gambar yang diemel. Untuk menghubungi universiti yang dinamakan adalah mustahil. Mustahil juga bagi pihak pengurusan universiti di luar negara mahu memberi kerjasama segera mengenal pasti gambar-gambar tersebut

Mengapakah hujah-hujah pendek akal dilontarkan oleh pelajar yang kini menuntut di peringkat universiti. Atau keterujaan untuk menipu telah membataskan akal fikiran mereka sehingga tidak boleh membezakan antara yang logik dan tidak masuk akal.

Inilah masanya untuk kita menoleh ke belakang. Melihat apa yang kurang dalam sistem pembentukan sahsiah remaja sebagai modal insan yang diperlukan untuk membangunkan negara. Isu penipuan gambar untuk ruang Salam Perantauan tidak boleh dilihat remeh. Fikirkan jumlah pembaca yang turut ditipu dan tertipu. Teknologi untuk menipu, teknologi juga dedahkan penipuan.

Selasa, 21 September 2010

Tiga raya gamit perantau kembali ke Kelantan

Oleh: Imlan Adabi
2010/09/21


ADA tiga raya menyebabkan ramai perantau Kelantan kembali ke negeri Cik Siti Wan Kembang, iaitu Aidilfitri, Aidiladha dan pilihan raya. Pada Aidilfitri 2009, hampir 200,000 anak Kelantan kembali ke Tanah Serendah Sekebun Bunga untuk bertemu dengan keluarga dan persekitaran Pantai Timur yang lebih nyaman menghadap Laut China Selatan.

Mereka sebahagian besarnya mencari rezeki di Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang. Mereka tentunya pulang untuk mengimbau tanah Darulnaim yang kaya dengan keunikan seni, khazanah budaya dan tradisi pondok yang lama bertapak. Tentunya juga mereka dapat membandingkan kehidupan di perantauan dengan suasana masih tradisional di Kelantan. Di sesetengah tempat di Kelantan, perayaan Aidiladha lebih meriah berbanding Aidilfitri. Selain majlis korban dan aqiqah, Aidiladha yang lebih dikenali Hari Raya Haji disambut dengan selawat dan salam di samping majlis kenduri yang meriah. Di beberapa tempat pula, musim perayaan turut dihiasi majlis ceramah politik kerana dianggap detik terbaik untuk mengalukan perantau pada musim perayaan.

Bagi kebanyakan anak Kelantan yang terkenal dengan kemesraan di kalangan rakan senegeri, semangat kekitaan akan lebih menebal jika sama-sama dapat bertutur
dan beramah mesra dengan loghat tersendiri.

Ada dongeng yang mendakwa semangat kekitaan menebal kerana penduduk Kelantan tidak mempunyai darah Indonesia seperti negeri lain di Malaysia. Hampir tidak ada keturunan Jawa, Bugis, Aceh, Minang dan Banjar yang menjadi darah daging di Kelantan.
Mereka banyak mempunyai darah campuran Siam, Pakistan, Kemboja dan Arab menyebabkan tingkah laku dan keperibadian sedikit berbeza dengan penduduk negeri lain. Sebanyak 95 peratus daripada 1,313,014 penduduknya berbangsa Melayu dan beragama Islam.

Justeru, tidak hairanlah segelintir penduduk Kelantan boleh mendakwa mereka lebih Melayu daripada penduduk negeri lain kerana kaum India dan Cina hanya lima peratus. Keadaan ini juga mendorong dua parti politik Melayu yang dominan UMNO dan PAS bersaing hebat sejak 1955 untuk merebut pengaruh dan menguasai massa. Berjaya mentadbir Kelantan dikaitkan sebagai kejayaan merebut hati pengundi Melayu.

PAS sudah menguasai Kelantan selama 20 tahun sejak 1990. Perkembangan mutakhir juga memihak kepada PAS. Cara hidup beberapa tokoh UMNO negeri masih menjadi bualan hangat kerana kehidupan yang berbeza dengan kebanyakan rakyat di Pantai Timur.

PAS pula dikaitkan dengan imej ulama walaupun tidak semesti ahli dan pemimpinnya alim serta menghayati cara hidup Islam. Imej ketayap, janggut dan jubah sering dijadikan model Islam walaupun takrif keimanan tiada kaitan dengan peribadi luaran seseorang.

Walaupun pimpinan PAS Kelantan kerap dihamburkan dengan pelbagai isu termasuk nepotisme dan korup, ia tidak pernah didakwa di mahkamah. Ada pihak yang berasakan isu politik Kelantan banyak digembur oleh media massa, sedangkan hakikat di Kota Bharu tidak ada pergolakan besar. Penduduk Kelantan juga pernah memilih PAS mentadbir Kelantan selama 18 tahun dan kecundang pada pilihan raya khas 1978, selepas MAGERAN (Majlis Gerakan Negara) diisytiharkan pada 1977 ekoran rusuhan terhadap kumpulan 20 pimpinan Tan Sri Asri Muda.

Kelantan yang mempunyai keluasan 14,922 kilometer persegi dianggap negeri termiskin di Semenanjung. Kadar kemiskinan kekal 20 peratus sejak lapan tahun lalu.

Pertumbuhan penduduk pula menurun 0.9 peratus iaitu amat kecil berbanding Selangor yang mencatat 6.1 peratus. Bagaimanapun imej agama meletakkan Negeri Serambi Makkah dipandang tinggi.

Kelantan dipercayai di antara negeri yang mula mewujudkan sistem pondok. Pondok pertama didirikan pada 1820 oleh Abdul Samad Abdullah (Tok Pulai Chondong), diikuti Pondok Tok Bachok (1900), Pondok Haji Abdul Malik Tumpat (1907), Pondok Haji Yusuf Pulau Ubi, Geting Tumpat (1908), Pondok Kubang Pasu Kota Bharu (1900), Pondok Sungai Budor, Pondok Kampung Banggol, Pondok Tuan Padang dan Pondok Tok Semian yang diasaskan oleh Wan Abdul Samad Mohd Salleh atau lebih dikenali Tuan Tabal.

Antara pondok yang mendapat sambutan `dan mempunyai murid yang ramai selepas 1930 ialah Pondok Terusan Pasir Tumbuh yang ditubuhkan pada 1954, Pondok Bunut Payung, Pondok Lubuk Tapah, Pondok Sungai Durian dan Pondok Kubang Bemban. Sekolah Pondok Terusan di Pasir Tumbuh Kota Bharu melahirkan Tok Guru Kenali -- ilmuwan Islam yang terkenal di dunia Melayu.

Tradisi pondok juga berjaya melahirkan kader PAS yang sehingga kini amat sukar dirempuh oleh jentera UMNO. Lokasi pondok yang bertebaran di Kelantan memudahkan gerakan massa mempengaruhi pemikiran rakyat. Justeru, tidak menghairankan setiap kali menjelang pilihan raya umum, banyak bas disewa khas untuk membawa pulang perantau ke kampung halaman masing-masing. Mereka juga merayakan demokrasi di Kelantan walaupun mencari rezeki di tempat lain.

Tanpa sedar ada segelintir yang merasakan Kelantan tempat sesuai untuk mencari ketenangan dan membuat keputusan di peti undi, tetapi terus kekal mencari
rezeki di tempat lain.

Mereka mungkin mewah di tempat lain, namun membuat keputusan pulang ke Kelantan menjelang Aidilfitri, Aidiladha dan Pilihan Raya Umum.

Tentunya Kelantan mempunyai tarikan luar biasa yang menyebabkan loghat Kelantan semakin berleluasa di beberapa negeri lain. Kelantan juga akan terus kekal dengan opera politik yang kaya drama dan intrignya. Tentunya Kelantan akan terus mencatat sejarah dengan keunikan siasah yang luar biasa.

sumber: Berita Harian
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...