Khamis, 24 Jun 2010

Shahidan enggan sahkan Asri, Juanda akan sertai UMNO

23/06/2010 7:09pm

KANGAR 23 Jun – Minat yang kini ditunjukkan golongan ulama terhadap UMNO adalah perkembangan yang sihat dalam parti, kata anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim hari ini.
Menurutnya, kira-kira 40 ulama yang berkelulusan Ph.D dijadual akan menyerahkan borang menyertai UMNO kepada Datuk Seri Mohd Najib Razak yang juga Presiden parti pada Jumaat ini termasuk dua ulama dari negeri Perlis.
Beliau bagaimanapun enggan mengesahkan sama ada dua ulama itu bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dan Mufti Perlis, Juanda Jaya.
Shahidan, bekas Menteri Besar Perlis, dan Mohd. Asri adalah dua rakan karib.
"Sama ada Dr. Mohd. Asri menyertai UMNO atau tidak pada Jumaat ini, beliau tetap kawan saya,” kata Shahidan.
Sebelum ini, media massa melaporkan bahawa Mohd. Asri akan turut menyertai UMNO Jumaat ini, namun beliau belum membuat sebarang kenyataan.
Shahidan yang juga Ketua UMNO bahagian Arau berkata, jika dua ulama Perlis itu menyertai UMNO, mereka akan dilantik menduduki jawatankuasa bahagian itu dan salah seorang daripadanya akan dilantik menjadi Pengerusi Biro Agama. – Bernama

sumber: Utusan Malaysia

Khamis, 17 Jun 2010

Kyrgysztan mangsa pertembungan AS-Rusia


RUSIA ketika ini seboleh mungkin cuba untuk mengelak daripada dikaitkan dengan rusuhan di Kyrgyzstan yang sudah pun mengorbankan lebih 100 nyawa dan mencederakan 1,000 orang yang lain. Kerana terlalu bimbang dengan tanggapan campur tangan mereka, Rusia hanya menghantar pasukan perubatan ke wilayah pergunungan di Asia Tengah tersebut.
Kyrgyzstan ketika ini sedang bermandi darah sejak meletusnya kekacauan terbaru seminggu lalu. Malah, pemimpim interim Kyrgyzstan, Roza Otunbaye-va juga berkali-kali memohon bantuan ketenteraan Rusia selepas tidak lagi mampu mengawal keadaan.
Rusuhan sudah pun merebak ke bandar kedua terbesar di negara itu, Osh yang diletakkan dalam keadaan darurat. Rusia perlu berhati-hati dalam menangani konflik di Kyrgyzstan kali ini kerana tidak mahu dilihat mengatur kerajaan Kyrgyzstan dari Moscow.
Apatah lagi penggulingan bekas Presiden negara itu, Kurmambek Bakiyez pada April lalu juga sangat jelas memperlihatkan keterlibatan Rusia. Jika keadaan itu dibiarkan berterusan, ia akan membuka peluang kepada Amerika Syarikat (AS) untuk turut campur tangan ketika negara itu sudah pun mempunyai pengaruh yang besar di Kyrgyzstan.
Sedikit gambaran itu menjelaskan realiti sebenar di Kyrgyzstan yang mana rusuhan yang sedang membunuh antara etnik Uzbek dan Kyrgyz ketika ini bukanlah untuk negara mereka. Sebaliknya untuk kepentingan kuasa-kuasa besar terutamanya AS dan Rusia.
Kerana itu tidak keterlaluan untuk disimpulkan bahawa kebimbangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) terhadap rusuhan etnik di Kyrgyzstan sebenarnya adalah keprihatinan yang sia-sia.
Rakyat negara itu akan terus didedahkan dengan sentimen yang hanya akan menguntungkan sama ada AS atau Rusia. Selain Kyrgyzstan, beberapa negara Asia Tengah sebelum ini juga menerima nasib yang serupa.
Revolusi Rose di Georgia pada November 2003 dan Revolusi Oren di Ukraine pada Disember 2004, adalah revolusi yang cuba menggulingkan pemerintahan pro Rusia oleh ejen-ejen Barat. Kyrgyzstan mula terjebak dalam muslihat ini menerusi Revolusi Tulip pada Mac 2005 yang menggulingkan Presiden, Askar Akayev.
Revolusi itu berlarutan sehingga kini kerana AS dan Rusia saling bersaing mengimbangi pengaruh mereka di negara-negara ini. Situasi menjadi lebih berat bagi Kyrgyzstan kerana negara ini merupakan transit utama kepada AS dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dalam usaha menakluk Afghanistan.
Ironinya, negara itu berada di wilayah kekuasaan Rusia. Lebih malang, Kyrgyzstan yang sangat dekat dengan perbatasan Cina turut berada dalam perhatian kuasa baru dunia itu yang tidak senang dengan sejumlah besar anggota tentera asing terutamanya AS.
Memang dari sudut sejarahnya, pertembungan blok Timur dan Barat sudah tidak lagi wujud selepas runtuhnya Kesatuan Soviet pada 1990. Namun itu tidak bermakna dua blok kuasa besar ini iaitu AS dan Rusia memperlahankan perlumbaan kekuasaan mereka terutamanya dari sudut ketenteraan dan persenjataan.
AS sangat menyedari untuk meruntuhkan pengaruh Rusia yang lebih 70 tahun berkuasa di blok Timur bukanlah sesuatu yang mudah. Meskipun negara-negara Asia Tengah dikatakan bebas daripada pengaruh Rusia, namun ia bukanlah sepenuhnya.
Negara-negara seperti Uzbekistan, Kyrgyzstan, Tajikistan, Kazakhstan dan Turkmenistan masih memperlihatkan sokongan kepada Rusia. Acap kali, negara-negara ini dilaporkan menjalani latihan perang dan meningkatkan perjanjian ketenteraan dari pelbagai sudut.
AS tidak boleh melihat perkembangan itu dengan hanya berdiam diri dan perlu melakukan sesuatu untuk mengimbangi pengaruh Rusia di wilayah-wilayah berkenaan. Selepas menunggu lebih 10 tahun, AS berpeluang memasuki blok Timur dengan menjadikan serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia (WTC), New York pada 11 September 2001 sebagai alasan.
Sebuah wilayah kecil di utara Kyrgyzstan, Manas dijadikan pangkalan utama AS dan NATO untuk memburu kumpulan Taliban yang bersembunyi di Afghanistan. Saban tahun, pangkalan ini menjadi transit kepada lebih 420,000 orang tentera AS, NATO dan sekutu mereka ke Afghanistan.
Manas juga menjadi laluan keluar masuk kepada lebih 5,000 tan kargo muatan peralatan perang. Natijahnya, Afghanistan akhirnya jatuh ke tangan AS dan ditadbir oleh kerajaan boneka Washington sehingga kini.
Selain Kyrgyzstan, AS juga berjaya mendirikan pangkalan tentera kecil lain di negara bekas Kesatuan Soviet seperti Tajikistan dan Uzbekistan bagi kepentingan perang di Asia Selatan. Secara tidak langsung AS kini sudah mula bertapak dan berpengaruh di kawasan yang menjadi kubu kuat kepada Rusia.
Rusia pula tidak mempunyai halangan daripada pembukaan pangkalan tentera itu kerana ia memberi kelebihan dari sudut membantu negara itu mengekang ancaman pejuang Islam. Sejak beberapa dekad, Rusia berdepan dengan ancaman kumpulan pemisah Islam yang dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan kumpulan serupa yang bertapak di Afghanistan.
Namun itu bukanlah bermaksud Rusia tidak memantau perkembangan AS di pangkalan tentera Manas. Sebarang keputusan membabitkan pangkalan itu banyak direncanakan oleh Moscow. Ini sedikit sebanyak menjawab persoalan mengapa rampasan kuasa yang menggulingkan Bakiyez direstui oleh Rusia.
Sedangkan Bakiyez sebelum ini adalah pemimpin yang dipercayai oleh Rusia malah merupakan salah seorang daripada ejen risikan yang dilatih oleh Rusia sendiri. Bakiyez dikatakan menjalin hubungan yang terlalu rapat dengan AS sehingga melangkaui perhatian Rusia sendiri.
Beberapa persetujuan termasuk dalam bentuk ketenteraan dicapai dengan AS tanpa pengetahuan Rusia memaksa rampasan kuasa diatur dengan menjadikan perbezaan etnik di kalangan penduduk Kyrgyzstan sebagai alasan.
AS ternyata tidak gembira dengan tindakan Rusia itu namun negara berkenaan tidak mempunyai banyak pilihan jika mahu memastikan pangkalan Manas dikekalkan. Begitu pun, AS tetap mencari jalan bagi memastikan pemimpin boneka mereka menjadi pemimpin.
Salah satunya ialah dengan menyalurkan wang kepada kumpulan-kumpulan penentang kerajaan. Sepanjang setahun lalu sahaja, AS menerusi beberapa badan berbeza menyalurkan sejumlah RM37 juta kepada Kyrgyzstan kononnya untuk membantu proses demokrasi. Bakiyez sendiri adalah contoh mudah bagaimana AS menggunakan wang untuk mempertahankan kepentingan mereka di Kyrgyzstan.
Bakiyez dikatakan bersetuju mengekalkan pangkalan Manas selepas AS sanggup menaikkan nilai sewa daripada RM54.4 juta kepada RM201.6 juta. Sedangkan sebelumnya, Bakiyez adalah individu yang paling lantang untuk menutup pangkalan tersebut.
Memang benar perbezaan etnik sedikit sebanyak memberi cabaran kepada Kyrgyzstan. Dengan bilangan etnik Uzbek dan dan Kyrgyz yang hampir seimbang, serta kehadiran beberapa suku kaum lainnya, sedikit perbezaan dalam dasar-dasar kerajaan boleh mencetuskan ketidakstabilan dalam negara.
Namun, itu tidak bermakna etnik Uzbek dan Kyrgyz tidak boleh hidup bersama-sama dan berpegang kepada satu keyakinan yang serupa. Kerana itu bukan menghairankan negara-negara kecil di Asia Tengah ini akan terus menjadi penimbal kekuasaan antara blok Barat dan Timur. Persoalannya, negara mana selepas ini?

sumber: Utusan Malaysia

DAP gagal di Perak


‘RETAK menanti belah’. Itu tanggapan banyak pihak tentang masa depan DAP Perak. Realitinya pergolakan yang berlaku di dalam parti pembangkang itu bukan perkara baru. Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelapang, Datuk Hee Yit Foong bertindak keluar daripada parti tersebut.
Tindakannya itu mengundang pelbagai tuduhan negatif. Beliau terpaksa berdepan dengan cacian dan pandangan serong pengundi di kawasannya. Semua kerana mereka mudah terpengaruh dengan dakyah-dakyah yang dilemparkan.
Malah ada suatu ketika, Yit Foong dikatakan lebih suka ‘menyembunyikan diri’ kerana kurang yakin untuk berada di khalayak ramai.
Anugerah ‘Datuk’ kurniaan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah sempena hari keputeraan baginda yang ke-82 baru-baru ini juga dikaitkan dengan sikapnya yang dituduh berpaling tadah.
Masa berlalu dan hari ini, seorang lagi ADUN DAP mengambil tindakan serupa. Ironinya, alasan diberikan oleh Yit Foong lebih setahun lalu mengapa beliau nekad meninggalkan parti, tidak banyak beza dengan yang diperkatakan oleh ADUN Malim Nawar, K. Keshvinder Singh, Selasa lalu.
Kedua-duanya kecewa dengan kepemimpinan parti yang dilihat lebih cenderung berjuang atas dasar dan kepentingan peribadi semata-mata.
Kesusahan rakyat bukan lagi menjadi matlamat utama sebaliknya sibuk mengatur strategi untuk merampas kembali kuasa yang hilang.
Seperti Yit Foong, Keshvinder juga sedar bahawa janji-janjinya kepada rakyat semakin lama semakin sukar untuk ditunaikan. Apabila pucuk pimpinan parti tidak menghiraukan rakyat, tempias itu juga terpalit kepada mereka.
Justeru, langkah terbaik yang dilakukan ialah meninggalkan parti dan menjadi ADUN Bebas yang menyokong Barisan Nasional (BN).
‘‘Bukan mudah sebenarnya untuk membuat keputusan begini kerana ia melibatkan soal kepercayaan dan maruah. Kalau bukan ada alasan kukuh, tiada siapa akan bertindak membelakangkan perjuangan yang dia percaya selama ini,” kata Ketua Pemuda MCA Perak, Datuk Dr. Mah Hang Soon.
Melihat perkembangan terbaru itu, kata Hang Soon, krisis dalaman DAP Perak yang selama ini cuba dikaburi dengan baik, semakin jelas kelihatan.
“Ia umpama ‘iceberg’ apa yang kita nampak sebenarnya lebih teruk daripada itu,” katanya.
Ada juga berpendapat, isu DAP bukan perkara besar di Perak kerana parti itu tidak mampu berdiri dengan sendiri tanpa sokongan rakan-rakan parti pembangkang lain. Walaupun menang besar pada pilihan raya umum lalu, ia dikaitkan dengan kehadiran Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas.
Lebih menghantui masa depan DAP ialah sikap pemimpinnya sendiri yang ‘pilih kasih’ dan tidak tahu menghormati sensitiviti kaum-kaum lain.
‘‘Mereka fikir bila menang besar pada 2008, rakyat sokong dan mereka boleh buat apa sahaja termasuk membelakangkan institusi kesultanan.
‘‘Mereka silap kerana rakyat mahu melihat sejauh mana mereka berani bertindak selain dapat mengotakan janji-janji yang ditabur untuk memperjuangkan nasib rakyat. Nampaknya mereka gagal,” kata seorang penganalisis politik.
Beliau mengandaikan nasib DAP akan kembali seperti sebelum tsunami politik 2008.
‘‘Orang Melayu atau kaum lain tidak akan menyokong mereka lagi kerana wajah sebenar mereka sejak dulu hingga sekarang sama sahaja,” kata penganalisis itu lagi dan menjelaskan DAP sepatutnya berubah seiring dengan kemajuan negara yang dihuni oleh pelbagai kaum.
Krisis DAP Perak mula tersingkap satu persatu sebaik sahaja pakatan pembangkang kehilangan kuasa dari segi undang-undang setelah tiga ADUN iaitu dua daripada PKR dan seorang DAP (Yit Foong), keluar parti untuk menyokong BN.
Sebagai orang kurang upaya (OKU), Yit Foong dapat merasakan betapa beliau diketepikan hanya kerana kekurangan yang ada pada dirinya.
Kata-kata bahawa DAP akan membantu semua golongan masyarakat, ternyata meleset. Yit Foong cepat menyedari hal ini dan terus meninggalkan parti itu.
Sejak itu, pakatan pembangkang diketuai DAP, terus-terusan ‘menyerang’ bukan sahaja Yit Foong tetapi kerajaan negeri BN yang diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.
Pelbagai usaha dilakukan termasuk menghina Yit Foong selain mempertikaikan kerja-kerja kemasyarakatan yang dilakukan oleh Zambry.
DAP cuba mengalih pandangan rakyat dengan mengadakan demonstrasi jalanan, ‘mencemarkan’ DUN, menganjurkan‘sidang bawah pokok’ selain membelakangkan titah Sultan Perak yang mengiktiraf kerajaan negeri BN.
Tindakan-tindakan keterlaluan yang dilakukan oleh DAP, membuka pekung mereka sendiri. Rakyat mula bosan dan tidak lagi menghiraukan mereka.
Perasaan yang sama turut dikongsi oleh beberapa pemimpin pakatan pembangkang lain. Ada di kalangan mereka tidak mahu lagi campur tangan dan lebih suka mengambil sikap tunggu dan lihat.
Mungkin disebabkan terlalu lama menunggu, Keshvinder terpaksa bertindak sendirian mengikut langkah yang dirintis oleh Yit Foong.
Difahamkan, terdapat beberapa lagi ADUN pembangkang akan mengikuti jejak rakan-rakan mereka ini untuk menjadi ADUN Bebas.
‘‘Pembangkang akan tetap tuduh macam-macam walaupun kesalahan itu berpunca daripada diri mereka sendiri,” kata Ketua Pemuda UMNO Perak, Mazlin Sham Razman.
Dalam hal ini, situasi yang melingkari DAP, menguji kekuatan pakatan pembangkang secara keseluruhannya. Hakikatnya ‘ribut’ yang melanda parti itu tidak akan mampu diredakan dengan mudah tanpa perubahan drastik pucuk pimpinan.
Keadaan bertambah sukar apabila penentangan terhadap Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham dikatakan semakin hari semakin membara.
Ternyata, apa yang berlaku di negeri itu menggambarkan kegagalan mereka untuk terus menjadi pentadbir kerajaan negeri yang baik.

sumber: Utusan Malaysia

Ahad, 13 Jun 2010

Wanita, Piala Dunia dan iklan


ISTERI dan teman wanita pemain pasukan Perancis turut sama berada di stadium memberikan sokongan kepada pasangan masing-masing.


''JIKA England menang Piala Dunia, mereka akan jadi negara pertama memenanginya dengan pengurus asing, pertama memenangi Piala Dunia di Afrika, negara Eropah pertama berbuat demikian di luar benua mereka sendiri!" Seandainya anda menyangka itu petikan dalam majalah bola sepak, anda tidak salah tetapi kurang tepat. Ia saya petik daripada seorang rakan. Beliau tidak perlu tahu menyepak bola pun untuk menyatakan data tersebut. Beliau secara ringkasnya, adalah seorang wanita.
Dalam kebanyakan kes, unsur cauvinis lelaki akan terserlah dalam dunia bola sepak. Seandainya ada kalangan rakan wanita yang berminat hendak turut serta dalam perbualan bola sepak, mereka dianggap hanya meminati personaliti tertentu. Wanita juga dirumuskan tidak tahu mengenai bola sepak tulen seperti taktik serangan, penalti yang tidak menjadi atau terjahan kad merah yang sekadar kad kuning. Maka wanita selalu tidak dianggap serius dalam membicarakan bola sepak.
Dan bila sebut personaliti tertentu, ia merujuk kepada selebriti bola sepak terkenal seperti David Beckham dan paling terkini, Christiano Ronaldo dan Fernando Torres. Tatkala peminat lelaki memuja mereka ini atas ketajaman sepakan yang menghasilkan gol, peminat wanita diperlekeh sebagai sekadar memuja selebriti berkenaan semata-mata. Mungkin disebabkan penampilan kacak, bergaya atau bentuk fizikal badan yang menggoda perasaan. Kalaulah peminat wanita itu tahu betapa masamnya bau pemain berkenaan selepas tamat permainan, mungkin ketaksuban tidak melimpah-ruah.
Namun, sejak kebelakangan ini, ramai wanita mampu membuktikan mereka juga memiliki pengetahuan yang sama tahap dengan peminat lelaki.
Cuba tanya siapa nama penjaga gol pasukan Uruguay atau mengapa Sepanyol jadi pasukan pilihan utama untuk memenangi Piala Dunia 2010 atau kenapa Theo Walcott tidak dipilih menyertai skuad England, rakan wanita anda pasti boleh menjawabnya.
Dalam erti kata lain, peminat wanita juga mengikuti perkembangan dunia bola sepak, mungkin kerap menonton perlawanan Liga Perdana Inggeris dan ada yang mengisytiharkan kesetiaan terhadap kelab-kelab tertentu. Malah ada yang berbulan lebih awal membeli dan menayangkan baju negara yang disokongnya di pejabat!
Trend
Juga bukan satu pemandangan yang janggal melihat wanita menjadi sebahagian penonton perlawanan bola sepak di restoran atau kelab yang menayangkan perlawanan pada skrin-skrin besar yang kini menjadi trend.
Cuba lihat perutusan yang tersiar dalam facebook. Anda tentu setuju bahawa bilangan yang bercerita mengenai pasukan pilihan mereka dalam Piala Dunia ini sama ramai dengan rakan-rakan wanita anda.
Cerita seorang rakan lama memang mencuit hati. Beliau melahirkan anak beberapa jam selepas perlawanan akhir antara Perancis dan Brazil pada 1998. Semasa di dewan bedah, beliau menanya doktor, pasukan mana yang menang? Doktor jawab Perancis. Hampa. Dia menyokong Brazil ketika itu. ''Tambah sakit hati, kawan-kawan yang datang melawat cadangkan anak bongsu saya dinamakan Zidane, ada ke patut?," tulisnya dalam facebook. Kali ini, khabarnya beliau menyokong Fernando Torres dan rakan-rakan dari Sepanyol.
Semakin meningkatnya minat kaum wanita terhadap sukan nombor satu dunia ini, mendorong pemusatan fokus pengiklan diperluaskan kepada mereka juga dan tidak semata-mata kepada kaum lelaki. Kalau tidak, mana ada peminat lelaki akan peduli pada iklan yang menggunakan beruang biru sebagai watak utamanya. Atau wanita menjadi pemain gantian dalam permainan futsal yang rupa-rupanya iklan syampu.
Dalam konteks iklan, sama seperti temasya Sukan Olimpik, pertandingan akhir Piala Dunia yang bermula Jumaat lalu, adalah lubuk emas bagi para pengiklan. Bukan sahaja pengeluar barangan sukan berasak-asak mengeluarkan barangan sempena Piala Dunia tetapi juga meluas kepada pengeluar televisyen dan stesen televisyen satelit berbayar yang sibuk menjual pakej baru Definisi Tinggi (HD) walaupun yang ada HD tidak sampai 10 saluran. Tidak mengapa. Demi hendak menonton Piala Dunia dari pelbagai sudut kamera di seluruh stadium, daftar sajalah.
Pada Piala Dunia 2006 di Jerman, pemain negara tersebut iaitu Miroslav Klose memenangi Anugerah Kasut Emas setelah muncul sebagai penjaring terbanyak dengan lima gol.
Kali ini, sekurang-kurangnya empat superstar iaitu Fernando Torres, Lionel Messi, Cristiano Ronaldo dan Wayne Rooney akan cuba memenangi 'kasut' paling mahal di dunia itu.
Tetapi hakikatnya, kasut sebenar yang paling mahal adalah but yang mereka pakai semasa bertarung di atas padang.
Mereka ditaja oleh dua syarikat pengeluar but utama dunia iaitu Nike dari Amerika Syarikat dan adidas dari Jerman. Mereka berempat mewakili pasukan yang dianggap 'pasukan pilihan' yang menjadi taruhan kedua-dua pengeluar but berkenaan. Torres, Ronaldo dan Rooney ditaja oleh Nike manakala Messi oleh adidas. Bayangkan jika di perlawanan akhir Sepanyol bertemu England, Nike sebenarnya yang memenangi Piala Dunia.
Dengan pasaran global bagi kasut sukan dianggarkan bernilai AS$12 bilion (RM39.6 bilion), Nike dan adidas bakal mempamerkan produk-produk mereka pada Piala Dunia ini yang dianggar bakal ditonton sekurang-kurangnya oleh 20 bilion penonton selama sebulan.
Menurut satu laporan, adidas sebagai satu daripada penaja rasmi Piala Dunia FIFA ini, mengunjurkan jualan sehingga AS$1.8 bilion (RM5.94 bilion) tahun ini.
Memiliki Messi sebagai 'duta' adalah satu kelebihan adidas. Dinobatkan sebagai pemain terbaik FIFA tahun ini, beliau telah membantu Barcelona mencapai kejayaan luar biasa dan akan memakai but terbaru adidas iaitu F50i, yang dijual pada harga AS$180 (RM594 atau mungkin lebih mahal bergantung kepada cukai negara itu).
Tertumpu
Di pihak Nike pula, ia memiliki Ronaldo, kapten pasukan Portugal dan Rooney, penyerang harapan England. Teras kepada kempen pengiklanan Nike bagaimanapun, tertumpu kepada iklan televisyen berjudul Write The Future, arahan Alenjandro Gonzalez Inarritu, yang pernah mengarah filem terkenal seperti Babel dan 21 Gramms.
Ditayangkan di 32 negara, iklan selama tiga minit itu turut memaparkan watak animasi Homer Simpson dan telah menarik lebih lima juta 'penonton' dalam saluran YouTube dalam tempoh empat hari saja, menurut Nike.
Nike mencatatkan jualan produk bola sepak globalnya kira-kira AS$11 bilion (RM33 bilion) tahun lalu. Ia membantu Nike menjana perolehan sebanyak AS$18 bilion (RM59.4 bilion) pada 2009, kira-kira AS$5 bilion (RM16.5 bilion) lebih lagi berbanding adidas.
Dari segi baju jersi pula, Nike akan membekalkan jersi untuk pasukan Brazil, Belanda dan Portugal manakala England setia dengan syarikat Britain iaitu Umbro dan adidas pula menaja Jerman, Sepanyol, Argentina, Perancis dan Afrika Selatan serta Puma untuk Itali.
Dari aspek ini, mereka berdepan dengan masalah baju jersi cetak rompak. Di Malaysia, baju seumpamanya mudah diperolehi di pasar-pasar malam pada harga RM60 sepasang. Hendak murah lagi, anda boleh melawat sempadan utara Semenanjung yang menawarkan harga sekitar RM28 hingga RM35 sahaja. Tatkala sudah ada kesedaran mengenai masalah cetak rompak dalam industri elektronik, gejala serupa dalam industri fabrik nampaknya belum ada apa-apa tindakan.
Hebatnya temasya Piala Dunia ini, FIFA sebagai badan pentadbir utama dunia bola sepak di planet Bumi ini dijangka meraih pulangan sebanyak AS$3.2 bilion (RM10.56 bilion), terutamanya menerusi hak penyiaran televisyen dan urus niaga penajaan.
Piala Dunia 2010 ini akan menetapkan penanda aras bagi acara sukan global ke banyak paras baru, lapor Sports Market Insight yang membuat unjuran. ''Bukan sahaja ia akan menjadi acara yang benar-benar bertaraf global diadakan di Afrika, ia juga dijangka memecahkan banyak rekod sebelum ini dari segi perolehan hak penyiaran, liputan media, kualiti penyiaran dan hasil penajaan''.
Anda bagaimana? Sudah memiliki jersi pasukan anda? Saya memiliki baju dengan nama di belakang bahu: Fernando Torres dan Steven Gerrard. Ketahuilah bahawa sokongan saya ini tiada kena mengena dengan isu ketampanan mereka atau kasut yang mereka pakai.

sumber: Utusan Malaysia

Subsidi masih diperlukan golongan sasar

2010/06/13

Makmal rasionalisasi elok kajian terperinci dasar dilaksana mampu beri kesejahteraan rakyat

KERAJAAN nampaknya cenderung secara bersungguh-sungguh sama ada untuk menarik atau menstruktur semula kemudahan subsidi yang sudah dilaksanakan sejak puluhan tahun sebelum ini. Banyak justifikasi yang diberi bagi menghalalkan tindakan berkenaan. Malah, sudah diwujudkan satu makmal khusus bagi menilai kemudahan itu yang dikenali sebagai Makmal Rasionalisasi Subsidi.

Tujuan makmal berkenaan diwujudkan adalah bagi mengkaji mekanisme terbaik mengenai pelaksanaan penyaluran subsidi, merangkumi bahan petroleum, makanan dan infrastruktur lain. Hasil kajian itu akan digunakan oleh kerajaan dalam menentukan dasar pemberian subsidi negara pada masa depan.

Makmal berkenaan diletak di bawah Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) di Jabatan Perdana Menteri yang diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala.

Bagaimanapun, perlu diingatkan, membuat analisis, kita perlu membezakan antara subsidi, hadiah, bantuan dan ihsan seperti ia diagihkan kerana persekitaran ekonomi, sosio dan politik negara ini adalah sama sekali berbeza dengan negara maju. Malah tradisi ini sudah menjadi tunjang kepada pentadbiran Barisan Nasional (BN) sejak sekian lama.

Pentadbiran era 1Malaysia juga sudah memulakan slogan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Persoalan pokok di sini adakah usaha menstruktur, mengurang atau menarik subsidi itu benar-benar menepati slogan berkenaan. Itu adalah perspektif politik sebelum kupasan kepada fasa selanjutnya mengenai impak ekonomi dan kemampuan rakyat menyerap akibat daripada tindakan berkenaan.

Kita juga jangan lupa di negara maju subsidi masih dipraktikkan. Malah lebih buruk lagi kerana subsidi di sana adalah pada perkara yang tidak produktif dan hanya berbentuk kebajikan. Ini sama sekali berbeza dengan apa dipraktikkan Malaysia yang nampaknya sudah jauh ke depan daripada mereka.

Di negara kita hampir semua jenis subsidi adalah terhadap perkara yang produktif. Sebagai contoh subsidi dalam bidang pelajaran adalah bagi meningkatkan kualiti pendidikan, tahap kemahiran rakyat supaya mampu bersaing pada peringkat lokal dan global tanpa mengira latar belakang keluarga, keturunan dan agama. Ia memberikan peluang bersaing secara sama rata kepada setiap warga negaranya.
Subsidi dalam sektor agro bagi meningkatkan produktiviti supaya negara dapat bersaing bagi mengekalkan bekalan serta kualiti komoditinya dan mengurangkan kebergantungan keperluan asas makanan agar tidak terlalu mengharapkan kepada bahan diimport.

Subsidi lain dalam sektor pembuatan, bahan pengeluaran dan petroleum adalah bertujuan mengawal harga barangan keperluan supaya mampu dibeli rakyat dan tidak meningkatkan kadar inflasi supaya mampu memberikan kesejahteraan kepada rakyat seluruhnya.

Walaupun jumlah subsidi negara kini sudah meningkat kepada 15.3 peratus lebih tinggi daripada jumlah perbelanjaan kerajaan berbanding pada tahun sebelumnya, jumlah itu mampu membantu golongan sasarannya, malah pada masa sama berupaya membantu menjana ekonomi negara.

Masalah utama dihadapi ketika ini ialah proses pengagihan subsidi itu sendiri tidak menggunakan mekanisme yang berstruktur sehingga memungkinkan berlaku kebocoran atau ketidakcekapan. Ia dibuktikan dengan jelas oleh media yang sering melaporkan pelbagai tangkapan berlaku sama ada terhadap penyeludup, penyalahgunaan permit, malah spekulator yang menyimpan stok untuk tujuan dijual sama ada dengan harga yang lebih tinggi atau menunggu harga dinaikkan.

Perbuatan berkenaan amat tidak bermoral sehingga inisiatif kerajaan dalam membantu warganya tidak mencapai golongan sasaran. Oleh kerana itu, banyak pemimpin negara termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi turut menyarankan sama ada subsidi ini ditarik, dikurangkan atau distruktur semula.

Malah, ada yang memberikan idea yang lebih ekstrem supaya semua subsidi berkenaan dimansuhkan terus dan kononnya kerajaan dapat menjimatkan berbilion wang untuk digunakan bagi aktiviti lain yang mendatangkan lebih manfaat kepada rakyat.

Idea berkenaan turut diberi perhatian serius oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan yang meneliti keperluan subsidi petroleum. Bagaimanapun, pada 4 Mac lalu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan bercadang membatalkan pelaksanaan penstrukturan subsidi petroleum selepas menerima pandangan dan maklum balas daripada pelbagai pihak.

Pelbagai pendapat diberikan ketika ini sama ada mempunyai justifikasi tidak tepat dan tidak kurang pula yang hanya menggunakan emosi dan teori. Tanpa menggunakan sumber yang mempunyai kredibiliti serta hanya bersandarkan teori dangkal serta sokongan statistik yang dipungut secara rambang sudah tentu keputusan besar yang bakal diambil oleh kerajaan akan mengundang risiko tinggi, malah mungkin bakal mengundang malapetaka jika tidak diuruskan dengan berhemah.

Sumber analisis yang dijadikan kajian untuk makmal yang ditubuhkan itu juga sepatutnya perlu melalui satu proses yang teliti kerana kalau dapatan yang dirumus tidak memberikan keputusan tepat ia akan menghasilkan tindakan yang tidak tepat juga.

Kajian berbentuk ilmiah menggunakan angka tunjuk yang silap juga sudah tentu memberikan gambaran yang khilaf yang mana akhirnya niat baik kerajaan akan dimanipulasikan pihak tidak bertanggungjawab. Tentu kita tidak mahu melihat impak yang dahsyat berlaku dalam tempoh terdekat ini.

Paling malang, pengumpulan maklumat dan tindak balas diperoleh daripada kumpulan sasar yang salah dan penyertaan orang salah dalam kumpulan berkenaan juga melahirkan keputusan yang salah. Oleh itu, kita mendapat kesimpulan yang pramatang hingga ke tahap menyamakan ekonomi negara akan menjadi seperti Greece yang akan bankrap dalam tempoh sembilan tahun dari sekarang sekiranya dasar subsidi yang ada diteruskan.

Kumpulan pengguna, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang produktif, pemikir politik yang polemik nampaknya tidak diberikan wadah dalam menyatakan pendapat mereka. Malah budaya intelektual seakan-akan hanya bertumpu kepada sekumpulan ahli fikir dan teknokrat tukang angguk yang rapat hubungan dengan ahli politik dan pentadbir semata-mata.

Ini bukan perkembangan baik dalam mencanai wacana yang begitu besar impaknya, malah menjadi penentu kesinambungan kerajaan yang ada sekarang. Percayalah, legasi lebih 50 tahun ini mungkin sudah tiba pada penghujungnya meskipun banyak retorik dijual sebagai bumbu penyedap mata dan halwa telinga.

Sekiranya kepercayaan rakyat terhadap kemampuan pemimpin dan parti pemerintah menjaga kebajikan mereka terhakis sedikit saja lagi dengan permainan menarik subsidi yang terlebih jual itu, maka tentu kekhuatiran sejarawan dan budayawan negara ini bakal menjadi kenyataan.

Apakah nilai beberapa bilion itu terlalu besar untuk dikongsikan dengan seluruh rakyat jelata tanpa mengira kasta, bangsa dan agama jika dibandingkan dengan pelaksanaan projek mega bermotifkan ekonomi yang tentunya menelan belanja berkali ganda dengan angka berkenaan?

Pemikir ekonomi tidak perlu terlalu taksub kepada angka tunjuk konvensional semata-mata. Ini kerana pendapatan perkapita sebenarnya bukan sesuatu yang boleh dibandingkan dengan kuasa beli pengguna yang semakin merudum.

Penulis adalah Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia

sumber: Berita Harian 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...