Menurut kenyataan pemimpin MCA, Arkib Negara telah bersetuju membina memorial Tan Cheng Lock, bersebelahan memorial Tunku Abdul Rahman. Lanjutan itu, bangunan Parlimen pertama di Jalan Dato' Onn di Kuala Lumpur, akan diubahsuai menjadi memorial itu yang melibatkan kos kira-kira RM10 juta, mulai tahun depan. Menurut MCA lagi, memorial tersebut penting sebagai memperingati jasa tokoh negara yang juga presiden mereka yang pertama.
Jika benar, ingatan saya kepada Arkib Negara, agar perlu memikirkannya kembali. Saya tidak melarang, tidak juga menyokong. Tetapi ingatlah, politik Malaysia adalah berasaskan kepada politik perkauman. Cukuplah dengan memorial pemimpin nombor satu negara.
Saya bimbang nanti, semua parti etnik yang ada di negara kita, termasuk Sabah dan Sarawak mahukan memorial sama ini turut dibina, bagi mengenangkan pemimpin mereka yang tidak kurang berjasa, sesuai dengan zaman yang dilalui. Apatah lagi dari segi hak, mereka lebih berhak, sebab mereka adalah pribumi.
Kita perlu memahami, setiap pemimpin melalui zaman-zaman yang berlainan. Adalah kurang sopan jika kita mengatakan hanya sejarah detik kemerdekaan sahaja yang penting dalam menilai sumbangan seseorang ke atas tanah air. Semua sejarah perjuangan mempertahankan tanah air daripada penjajahan yang dilalui negara kita, adalah penting. Persoalan saya, apakah KPI yang digunakan dalam menilai sumbangan seseorang itu, sejarah yang sebenar, sejarah yang benar, atau sejarah yang sengaja diperbesarkan bagi tujuan tertentu?
Dalam memahami politik Malaysia, kita selalu memutar belitkan dan menyempitkan skop sejarah untuk kepentingan diri, kaum dan parti. Tujuannya tidak lain, agar tokoh kita atau bangsa kita dipandang hebat. Janganlah hanya mengenang jasa seseorang ketika detik negara mencapai kemerdekaan menjelang 31 Ogos 1957, sehingga kita lupa tokoh-tokoh yang lebih berjasa sebelum itu? Kenapa cetek sangat kita menilai dan menghayati sejarah?
Ingatlah, sejarah Tanah Melayu tidak hanya bermula pada tahun-tahun 1940-an, tetapi sejarah perjuangan kemerdekaan telah bermula sejak Tanah Melayu mula 'dijajah'. Saya agak kurang selesa menggunakan perkataan 'dijajah'. Tanah Melayu tidak dijajah secara langsung dalam konteks yang sebenar kerana institusi Raja-raja Melayu masih wujud, kecuali di Negeri-Negeri Selat. Maknanya, sejarah perjuangan tanah air bermula sebelum merdeka ratusan tahun dahulu, jauh lebih penting, kerana banyak nyawa terkorban dan darah tumpah menyembah bumi.
Ringkasnya, sejarah menentang penjajah telah bermula sebelum penghijrahan besar-besaran berlaku. Orang Melayu Islam telah lama bangkit, tetapi masih belum berjaya menghalau penjajah sepenuhnya, namun pengorbanan mereka tidak ada tolok bandingnya.
Pada saya, mereka lebih berjasa daripada yang lain. Saya minta kajilah latar belakang tokoh-tokoh seperti Tok Janggut, Dato Maharaja Lela, Mat Salleh, Dato' Bahaman, Mat Kilau dan ramai lagi sebelum itu. Kenapa bila sebut sahaja sejarah kemerdekaan tanah air, maka dalam benak kepala kita adalah muka-muka yang stereotaip setiap tahun?
Tokoh menjelang kemerdekaan yang tidak kurang hebatnya seperti Dato Onn Jaafar, Dr. Burhanuddin Helmi, Ahmad Boestamam, Mustapha Hussein dan ramai lagi jarang diperkatakan.
Pada saya, memorial mereka juga berhak didirikan, kerana mereka turut mempertaruhkan nyawa. Sedangkan detik kemerdekaan hanyalah satu proses rundingan setelah berlaku desakan, tuntutan dan perjuangan sebelum itu. Cuba kita kaji detik-detik sejarah antara tahun 1940-1948, siapakah sebenarnya pejuang kemerdekaan?
Siapakah yang menentang Malayan Union?
Adakah orang Melayu Islam, Malayan People's Anti-Japanese Army (MPAJA), MCA, MIC atau Parti Komunis Malaya?
Kadangkala saya tidak faham adakah mereka yang berada di Arkib Negara itu tahu atau tidak tanggungjawab dan ruang lingkup kerja mereka.
Memorial
Mengingati tokoh tidak semestinya dengan membina memorial. Banyak cara lain yang boleh digunakan. Sebelum itu, saya ingin ingatkan, tulislah dan fahamilah dahulu sejarah Tanah Melayu dengan baik. Jangan turut berpolitik. Hati rakyat yang mengkaji dan celik sejarah kena jaga juga.
Selepas ini saya bimbang ada pihak yang menuntut supaya memorial Lim Chong Eu (Gerakan), Tan Siew Sin (MCA) diikuti dengan pemimpin-pemimpin seterusnya. Jangan asyik memandang bangsa sendiri. Gagasan 1Malaysia mahu juga kita memandang dan mengambil berat bangsa lain juga. Pemimpin parti Gerakan yang pertama seperti Syed Hussein Al-Atas, jarang disebut sumbangannya. Saya cadangkan diperbesarkan lagi memorial Tunku Abdul Rahman dan dimuat sumbangan semua tokoh dalam satu memorial, daripada membina memorial demi memorial atas nama-nama tertentu.
Cukuplah dengan memorial MPAJA yang telah didirikan tanpa persetujuan kerajaan negeri dan pusat. Tetapi tetap juga didirikan yang kini menjadi pusat penyembahan di Taman Peringatan Nilai walaupun telah dipertikaikan oleh tokoh-tokoh sejarah sebelum ini, akan peranan MPAJA dalam memperjuangkan kemerdekaan. MPAJA didakwa oleh sesetengah pihak sebagai pejuang kemerdekaan, walhal sebenarnya tidak. MPAJA adalah sayap PKM yang bercita-cita tinggi untuk menguasai Tanah Melayu apabila Jepun menyerah kalah. Wujudnya parti berhaluan kiri ini disebabkan oleh permusuhan mereka dengan Jepun, bukan soal memerdekakan Tanah Melayu.
Kita mesti ingat setiap tokoh mempunyai legenda mereka sendiri kerana mereka hidup di zaman yang berlainan. Kita tidak boleh samakan peranan Tunku dengan peranan Mahathir misalnya kerana mereka berjuang pada zaman yang berbeza. Jika itulah nilaiannya, saya boleh katakan jasa Mahathir lebih banyak daripada jasa Tunku, kerana Mahathir menjadi Perdana Menteri lebih lama daripada Tunku. Sudah tentu jasanya lebih banyak ketika memimpin negara. Kitapun sudah dapat lihat hasilnya hari ini. Apakah selepas ini kita akan bina memorial setiap Perdana Menteri dan pemimpin-pemimpin parti? Saya bimbang selepas ini negara kita dipenuhi dengan memorial.
Saya fikir sudah sampai masanya kita merancang untuk membina masa depan dengan memastikan rakyat memahami sejarah negara yang sebenar daripada bercakap untuk membina memorial.
Dengan bertambahnya memorial tidak akan menjadi kita lebih patriotik. Apa yang lebih penting adalah menyusun agenda menanamkan semangat patriotisme di kalangan rakyat. Pastikan mereka mencintai negara lebih daripada mencintai bangsa, menyayangi Bahasa Kebangsaan lebih dari bahasa sendiri, menyayangi sekolah untuk semua lebih daripada sekolah sendiri. Menyayangi pemimpin yang terkorban kerana terlalu banyak berkorban daripada pemimpin yang telah berkorban tetapi tidak terkorban.
Pada saya, semua pemimpin layak dikenang jasanya, kerana mereka bernasib baik terpilih menjadi pemimpin. Namun, kita janganlah terlalu perasan, lantas berkata: "jika tidak ada Tunku, Cheng Lock dan Sambanthan negara tidak akan merdeka". Pemimpin datang dan pergi. Patah tumbuh hilang berganti. Setiap pemimpin ada legenda dan jasanya tersendiri. Dunia dan negara akan terus bergerak dan berputar mengikut peredaran masa. Pasti ada pelapis selepas itu yang akan berjasa.
Siapa juga yang memerintah, perjuangan mesti diteruskan. Negara akan terus membangun. Kita tidak boleh statik dan jumud. Korea Utara terus ditakuti dunia walaupun kita beranggapan bahawa pemimpin mereka tidak demokratik dan ketinggalan zaman dengan fahaman komunisnya.
Benar, rakyat dan negerinya agak miskin, tetapi mereka bahagia dan berbangga dengan kehebatan teknologi nuklear dan pertahanan mereka sehingga menggerunkan Barat. Tidakkah itu ada tolak campurnya? Lemah di sana, kuat di sini. Maknanya ada kelebihan dan ada kelemahan. Pemimpin mereka tetap berjasa, walaupun mungkin dunia mengutuknya.
Hitler yang dikatakan kejam dan zalim juga tetap berjasa pada zamannya. Paling tidak, sekurang-kurangnya Hitler mengingatkan dan menyedarkan kita siapa Yahudi sebenarnya? Masih ingatkah kita kata-kata Hitler kenapa beliau bertindak membunuh Yahudi dalam bukunya Mein Kampf? Katanya: "Saya boleh bunuh semua Yahudi ketika saya berkuasa. Tetapi saya tinggalkan sedikit kepada kamu. Kenapa? supaya kamu kenal siapa Yahudi, dan mencari jawapan kenapa saya bunuh Yahudi".
Kata-kata Hitler ini amat besar ertinya kepada kita supaya belajar dan mengkaji psiki Yahudi. Kenapa Yahudi ini boleh menjadi satu bangsa yang kuat walaupun bilangannya amat sedikit. Yahudi tidak pentingkan jasa individu, tetapi Yahudi mengambil berat soal negara dan masa depan serta survival bangsa mereka. Sifat inilah yang menjadikan kekuatannya begitu menyerlah terutama dalam teknologi maklumat dan pertahanan. Kenapa kita berfikir ke arah itu?
Mengkaji
Saya mengkaji serba sedikit psiki bangsa yang bongkak ini. Apabila mereka berjaya menapak di Palestin, Yahudi membangunkan teknologi dan pertahanan mereka terlebih dahulu. Sifat ini juga turut ditiru oleh negara jiran kita. Setelah mereka benar-benar kuat, barulah mereka bangunkan sumber lain. Hari ini Israel terbukti berjaya menjadi salah satu kuasa dunia. Walaupun negara ini hanya sebesar semut tetapi ditakuti negara sebesar gajah. Satu dunia memerhatikan Israel menawan kapal misi bantuan kemanusiaan ke Gaza. Siapa berani menegur Israel?
Israel telah menjadi terlalu kuat sehingga sukar untuk ditembusi. Negara semut ini sudah menjadi terlalu kuat sehingga sukar untuk dikalahkan jika berlaku peperangan.
Beranikah kita tembak kapal pejuang mereka setelah jelas mereka menceroboh kedaulatan kita? Saya kira kita akan berani jika kekuatan kita melebihi atau setara dengan Yahudi kecil ini. Tetapi kekuatan kita dengan Yahudi kecil ini amat jauh dari segi teknologi persenjataan dan pertahanan. Kapal selam mereka jarang rosak, sedangkan kapal selam kita baru beli sudah rosak. Itu belum termasuk enjin jet yang telah hilang. Bayangkan ketika peperangan benar-benar berlaku, bila mana jet pejuang mahu digerakkan, tiba-tiba enjinnya tidak dapat dihidupkan. Rupa-rupanya baru kita sedar jet tidak boleh terbang kerana enjinnya sudah hilang. Mampukah kita bertahan ketika itu?
sumber: Utusan Malaysia
Ahad, 13 Jun 2010
Jumaat, 11 Jun 2010
Rakyat dibohongi hasil perlombongan
Oleh NOR SEDEK ISMAIL
pengarang@utusan.com.my
HASIL perlombongan pasir yang bernilai RM120 juta adalah angka yang dijanjikan oleh kerajaan negeri kepada rakyat Selangor pada tahun lalu. Hasil itu diperoleh menerusi syarikat Kumpulan Semesta Sdn. Bhd., (KSSB) iaitu anak syarikat kerajaan negeri yang diberi tanggungjawab untuk kegiatan tersebut.pengarang@utusan.com.my
Janji dikukuhkan lagi dengan hebahan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang memberi gambaran indah bahawa kerajaan negeri memiliki sumber kewangan kukuh untuk membantu rakyat terutama golongan berpendapatan rendah yang masih melata di negeri ini.
Maklumat itu sentiasa dijaja kepada masyarakat bahawa banyak pembangunan akan dan sedang dilakukan kerana keuntungan itu akan disalurkan untuk menjayakan program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).
Malah antara tujuan utama KSSB ditubuhkan pada Jun 2008 adalah untuk membantu kerajaan negeri menjayakan MES sebaik sahaja pakatan pembangkang mengambil alih pemerintahan Selangor.
Hampir setahun hebahan dan janji-janji itu ditabur, tetapi hakikat sebenarnya jauh daripada realiti apabila perolehan KSSB pada 2009 hanya mencecah RM10 juta sebelum cukai.
Menurut Pengarah Eksekutifnya, Ir. Ramli Abdul Majeed, setelah ditolak cukai sebanyak RM8 juta yang menjadi milik syarikat, hanya RM1.3 juta diserahkan kepada kerajaan negeri untuk MES.
Pendedahan pada pendengaran awam yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Keupayaan Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) pada minggu lalu memang mengejutkan.
Akhirnya, tembelang kerajaan negeri terbongkar apabila dimaklumkan bahawa jika hasil RM120 juta itu masih mahu dicapai, maka KSSB perlu menggali 66 juta metrik tan pasir setahun atau menjual 5.5 juta metrik pasir sebulan.
Apa yang menghampakan rakyat, KSSB kini hanya mampu menjual 17 tan metrik pasir setahun dan royalti kepada kerajaan negeri hanya RM31 juta.
Inilah hakikat sebenar yang rakyat perlu tahu dan angka-angka itu keluar dari mulut bos KSSB sendiri yang fokusnya bisnes, tiada unsur politik atau untuk menjaga kepentingan pihak-pihak tertentu.
Ramli yang berpengalaman luas dalam bidang perlombongan dan kepakarannya diiktiraf di peringkat antarabangsa memberi gambaran menggerikan dan mungkin tidak pernah terfikir oleh sesiapa pun.
Katanya, jika 66 juta metrik tan pasir digali, akhirnya Selangor akan menjadi sebuah negeri yang memiliki lubang yang amat besar sehinggakan rakyatnya tiada tempat untuk tinggal. Bayangkanlah jika ia betul-betul berlaku.
Sebenarnya fakta inilah yang disembunyikan kepada rakyat bahawa hasil perlombongan pasir boleh mencecah RM120 juta setahun tetapi natijahnya Selangor musnah menjadi satu lompang besar.
Fakta kerajaan negeri dan KSSB itu sepatutnya membuka mata rakyat untuk menilai semula janji-janji manis kerajaan negeri. Rakyat Selangor juga menilai mengapa janji-janji itu terus ditabur walaupun tahu dan sedar bahawa ia memang tidak mampu dicapai.
Begitulah tingginya harapan diletakkan kepada KSSB tetapi apakan daya, ia umpama hajat ingin memeluk gunung tetapi tangan tak sampai.
sumber: Utusan Malaysia
Memperkasa Melayu hadapi tuntutan, asakan
Oleh RUSLAN KASIM
PADA zaman Sultan Mahmud mangkat dijulang, permasalahan orang Melayu tidak begitu kompleks. Kehidupan mereka seadanya. Sembang-sembang politik tidaklah mendalam dan mendasar. Kehidupan harian sangat sederhana dan berligar di sekitar empat penjuru tiang halaman rumah masing-masing. Tetapi, orang Melayu tahu menilai maruah dan harga diri. Tidak ada yang lebih dipelihara melainkan soal maruah, harga diri dan air muka. Maruah adalah segala-galanya bagi bangsa Melayu.
Banyak peristiwa 'amuk Melayu' berlaku sejak tahun 1944 yang dipimpin oleh Kiyai Salleh sehinggalah kes Natrah pada awal tahun 1950-an di Singapura dan tragedi berdarah 13 Mei 1969 membuktikan pemilikan bangsa Melayu pantang diusik atau diganggu gugat oleh sesiapapun, apatah lagi daripada anasir-anasir luar lingkungan bangsa Melayu sendiri.
Soal agama dengan segala bidang dan institusinya, bahasa, hak-hak yang terkanun dan tidak terkanun, institusi Raja yang berdaulat, norma-norma sosial bangsa Melayu yang begitu halus mengakar pada adat dan budayanya serta perkara-perkara lain yang dianggap sinonim dengan persoalan maruah bangsa tidak boleh dilanggar dan dipalit oleh sesiapapun.
Kesemua perkara ini juga termaktub kemas di dalam Watikah Wasiat Raja-Raja Melayu yang dimeterai pada 31 Ogos 1957.
Pada peringkat awal kemasukan kaum- kaum pendatang ke Tanah Melayu dahulu, tidak banyak berlaku pergeseran kaum dan pencerobohan hak-hak orang Melayu kerana mereka tahu menjaga batas dan menghormati orang-orang Melayu.
Ia wujud mungkin kerana pada waktu itu mereka terpaksa menumpukan perhatian kepada soal-soal asasi seperti mendapatkan tempat tinggal, mengembangkan perniagaan dan terbukanya peluang dominasi ekonomi di wilayah baru (tentunya dengan perancangan dan bantuan pihak Inggeris), masalah kewarganegaraan, akomodasi dalam arus politik perdana Tanah Melayu, ketakutan mereka untuk pulang ke China akibat suasana politik di sana yang lebih menekan dan tidak menentu membuatkan mereka melihat Tanah Melayu lubuk yang lebih selesa bagi mengaut untung.
Namun, senario itu berubah setelah mereka memperoleh hak kerakyatan, pegangan ekuiti dan pemilikan sumber ekonomi yang semakin mencengkam, perkara-perkara tersurat dalam Perlembagaan yang boleh diberikan tafsiran semula dan dieksploitasi untuk lebih menghimpit orang Melayu serta beberapa perkara lain membuka ruang untuk mereka menangguk di air yang keruh.
Agenda menggoncang sendi-sendi bangsa Melayu dapat dilihat pada gelagat Lee Kuan Yew dan disemarakkan lagi dengan kenyataan Dr. Tan Chee Koon (pada waktu itu beliau memimpin Parti Buruh) yang mengkritik kerajaan tentang rancangan pendidikan dan sikap berat sebelah yang kononnya memberi kelebihan kepada anak-anak Melayu, tentang Maktab Mara dan sebagainya. Pendekatan yang agak komunal dengan mengemukakan statistik yang tidak tepat (perbandingan di antara pelajar Melayu dengan bukan Melayu dalam kursus-kursus profesional di IPTA ) bukan saja boleh menimbulkan dan membakar semangat kebencian antara kaum, bahkan ia boleh juga disifatkan sebagai jenayah politik yang sangat merbahaya pada waktu itu.
Khir Johari yang pada masa itu menerajui Kementerian Pelajaran menjawab tuduhan dan tohmahan tersebut dengan kata-kata beliau, "Sebahagian besar daripada mahasiswa Universiti Malaya dan Maktab Teknik adalah keturunan Cina dan tiap-tiap orang mendapat subsidi daripada kerajaan. Begitulah juga dengan Sekolah Tinggi Chung Ling Pulau Pinang yang mempunyai 3,500 orang murid dan 100 peratus terdiri daripada murid-murid Cina yang mendapat bantuan penuh dari kerajaan. Sekolah-sekolah lain seperti Victoria Institution, St. John, MBS di Kuala Lumpur, St. Michael dan ACS di Ipoh dan Penang Free School, kebanyakan muridnya terdiri daripada murid-murid Cina".
Sementara itu, Tunku Abdul Rahman yang sangat kecewa dengan sikap kaum imigran yang menyerlahkan tindak-tanduk seperti 'kacang lupakan kulit' pula memberikan kenyataan berikut: "Membina universiti Cina bererti menegakkan sesuatu yang sentiasa mengingatkan orang-orang Cina akan sifat Cina mereka dan bukan sebagai orang-orang Malaysia." Namun seperti biasa, jawapan dan kenyataan itu bagi mereka tidak cukup kuat untuk tidak mengizinkan kaum mereka menentukan dasar pelajaran sendiri.
Selepas terkeluarnya Singapura dari Tanah Melayu, pergolakan politik semakin kritikal khususnya setelah pihak pembangkang yang diterajui oleh beberapa parti politik bukan Melayu mendapat kejayaan di luar dugaan semasa Pilihan Raya Umum 1969 hingga akhirnya membawa kepada berlakunya tragedi berdarah 13hb Mei, 1969 akibat reaksi keterlaluan dan di luar batas kesopanan yang ditunjukkan oleh para pengikut mereka.
Setelah PAP menutup bukunya di Malaysia, DAP mengambil alih tugas sacred mission PAP dalam meneruskan perjuangan meleburkan benteng dan meranapkan kewibawaan bangsa Melayu dengan melontarkan gagasan Malaysian Malaysianya untuk mewujudkan padang yang 'sama rata'.
Persoalannya apakah perubahan sikap dan pendirian kaum imigran terhadap orang Melayu itu menjadi bertambah baik dan usaha pemupukan perpaduan kaum meningkat? Apa yang nyata ialah asakan dan tuntutan mereka semakin menjadi-jadi serta menampakkan kegilaan yang sukar dibendung, apatah lagi warna perkauman DAP terutamanya, yang amat pekat itu kini dicairkan oleh penglibatan dan sokongan sebilangan orang Melayu yang lupa di mana bumi dipijak dan tempat langit dijunjung.
PENULIS ialah Ketua Penerangan
Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara
sumber: Utusan Malaysia
Ahad, 6 Jun 2010
Bangsa cerdik tapi dibenci dunia
Untung Sabut Timbul
PADA tahun 2004 ketika menyaksikan Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) yang memberikan kemenangan George W. Bush, penulis ditanya oleh seorang Yahudi yang duduk sebelah dalam satu jamuan makan malam.
Dia bertanya mengapakah orang Malaysia yang berada jauh dari Palestin dan tidak pernah bermusuh dengan Yahudi tetapi amat benci pada Israel.
Penulis jawab bahawa rakyat Palestin telah dirampas tanah mereka dan dinafikan hak mereka sebagai negara berdaulat dan merdeka.
Dia berhujah kembali bahawa apa kena mengena rakyat Palestin dengan Malaysia yang duduk jauh dan tidak menjejaskan kehidupan dan keamanan rakyat negara ini.
Penulis berhujah kembali bahawa walaupun Palestin itu jauh dari segi geografi tetapi dekat di hati rakyat Malaysia. Jauh dan dekat sesuatu bangsa dengan bangsa yang lain bukannya kerana kedudukan geografi tetapi kerana ikatan emosi yang lain.
Ikatan antara rakyat Palestin dengan Malaysia bukan hanya soal agama. Palestin sudah dianggap bangsa saudara kepada Malaysia, tidak kira anutan agama.
Selain daripada agama, lebih penting lagi ialah Palestin telah menjadi bangsa tertindas dan teraniaya. Rakyat Malaysia dalam semangat kemanusiaan tentunya menyebelahi Palestin.
Orang Amerika itu kemudian mengheret penulis untuk berdebat mengenai isu Palestin yang dikaitkan dengan perkauman anti-Yahudi.
Sebagai orang Melayu tentunya penulis menyebelahi Palestin. Tetapi sebagai peminat intelektual Barat, penulis menyatakan kekaguman terhadap orang Yahudi yang dapat menghasilkan banyak karya pemikiran hebat hingga mencorak tamadun dunia sejak dari dahulu lagi.
Tentunya berbeza dunia hari ini tanpa pemikiran-pemikiran Karl Marx, Sigmund Freud, Albert Einstein dan banyak lagi tokoh pelbagai bidang akademik, kesusasteraan sains dan malah perfileman.
Antara tokoh Yahudi yang penulis kagumi ialah Noam Chomsky, seorang ahli linguistik. Tetapi pemikiran politiknya yang menolak Zionisme, Israel dan Amerika Syarikat menunjukkan bahawa perjuangan pembebasan Palestin adalah fahaman kemanusiaan, dan tidak berkaitan mengenai bangsa dan agama semata-mata.
sejarah dunia
Bangsa Yahudi walaupun bilangannya kecil tetapi berpengaruh besar dalam sejarah dunia. Mereka memberi sumbangan intelektual bukan saja kepada tamadun Barat tetapi juga Islam.
Tetapi selepas Perang Dunia Kedua, Yahudi muncul sebagai bangsa yang merampas dan menindas bangsa Palestin di atas fahaman Zionisme.
Bagi orang Melayu sejak dari dahulu, Baitulmakdis yang tidak ramai menjejakinya adalah hampir dalam jiwa bangsa. Seperti Mekah dan Madinah, Baitulmakdis juga dianggap bukan saja kota suci tetapi sebahagian daripada jiwa bangsa. Di rumah-rumah orang Melayu, antara gambar masjid yang sering digantung di dinding ialah Kubah Al-Sakhrah di Masjid Al-Aqsa.
Dalam hal ini, penulis teringat kepada seorang warga Palestin yang berhijrah ke sini dan berkahwin dengan rakyat Malaysia. Beliau menghadiahkan dua gambar Masjid Al-Aqsa yang besar dan cantik untuk digantung di dinding rumah penulis dan bapa penulis.
Generasi demi generasi orang Melayu akan diajar mengenai isu Palestin hinggakan mereka seolah-olah saudara sebangsa. Tidak hairanlah mengapa ada seorang bapa saudara penulis yang bernama Yasir. Mungkin datuk penulis menamakannya sempena Yasser Arafat.
Tetapi adiknya, Jamaluddin Elias yang merasa menjadi mangsa tahanan Israel apabila berlaku serangan ke atas kapal Mavi Marmara minggu lalu. Maka akhirnya kekejaman negara Zionis itu sampai juga kepada sanak saudara sendiri.
Beliau yang dijangka pulang pagi ini adalah rakan sepermainan penulis semasa kecil di kampung tetapi tidak selalu dapat bertemu dan berbicara dengannya.
Ternyata beliau berpengalaman luas dalam kerja-kerja bantuan kemanusiaan khususnya semasa tsunami Aceh dan gempa bumi yang berlaku ekoran daripadanya.
Dua minggu lalu, agak terkejut apabila menerima sms daripadanya bahawa beliau dipilih menyertai konvoi bantuan ke Gaza bagi mewakili Yayasan Amal Malaysia di mana beliau ialah Timbalan Pengerusinya. Apa yang boleh dilakukan hanyalah memanjatkan doa agar beliau selamat sambil memikirkan mengenai isterinya dan sepuluh orang anak-anaknya.
Hati hanya lega apabila kemudiannya diberitahu bahawa mereka telah sampai ke Jordan.
Di Jordan, penulis dapat menghubunginya melalui telefon dan beliau menceritakan pengalamannya di atas kapal Mavi Marmara ketika diserbu komando Israel. Betapa tiba-tiba angin kencang yang menolak ke tepi gas komando Israel yang dilemparkan ke atas dek kapal.
Jamaluddin juga menceritakan bagaimana wang RM50,000 untuk digunakan di Gaza yang diletakkan di tempat barang hilang apabila Mavi Marmara ditawan oleh komando Israel itu.
Pastinya apabila dia balik nanti, akan diceritakan kisahnya kepada rakyat Malaysia. Bukan dia saja tetapi juga semua rakyat Malaysia yang mengalami peristiwa mencemaskan di Laut Mediterranean itu.
Maka dapat dibayangkan juga banyak mereka yang terlibat dengan misi flotila itu kembali ke negara masing-masing dan menceritakan pengalaman mereka mengenai keganasan Israel. Bukan saja dari kalangan orang Islam tetapi bukan Islam.
Kalau dilihat taktik rejim Tel Aviv, mereka cenderong menjadikan Palestin sebagai isu agama. Perjuangan pembebasan Palestin digambarkan sebagai keganasan yang dikaitkan dengan agama.
Tetapi misi flotila bantuan untuk Gaza ini menyaksikan penglibatan rakyat dari banyak negara bukan Islam. Palestin telah menjadi bangsa semua manusia.
Dalam hal ini, Yahudi sebagai bangsa cerdik sepatutnya sedar bahawa Zionisme dan Israel tiada tempat dalam kamus kemanusiaan.
sumber: Utusan Malaysia
Hati-hati dalam melayan kawan
Oleh Dr. Mohd Ridhuan Tee
PEMUDA MCA menyifatkan Majlis Perundingan Melayu (MPM) sebagai primitif atas pandangannya terhadap Model Ekonomi Baru (MEB) minggu lalu. Saya nasihatkan sayap pemuda ini supaya menegurkan pemimpinnya terlebih dahulu, sama ada salah laku moralnya itu primitif atau tidak. Siapakah yang sebenarnya primitif?
Sebenarnya ramai lagi yang terlibat dalam salah laku moral, tetapi nasib masih menyebelahi mereka. Belum ada kamera yang menyintai. Kerana pada mereka berzina itu perkara biasa dan tidak berdosa, asal niat baik untuk berkahwin. Jika yang telah berkahwin, sanggup menyimpan mistress, secara sembunyi dan rahsia, takut diketahui orang. Saya amat bersimpati dengan nasib wanita, mereka sanggup diperalatkan untuk memenuhi nafsu serakah mereka yang mahu menghalalkan zina. Isu sebegini sebolehnya akan ditutup kerana boleh merosakkan imej parti seperti mana yang telah berlaku.
Kini, cara mudah untuk melonjakkan imej parti dengan menyalahkan Perkasa dan MPM, menuduh mereka ultra Melayu termasuk akhbar Utusan Malaysia. Secara tidak langsung memberi isyarat kepada UMNO agar lebih longgar dan terbuka. Jangan terlalu melayan tuntutan orang Melayu seperti Perkasa dan MPM. Saya tidak kata semua tuntutan yang dikemukakan oleh Perkasa dan MPM itu mesti diterima Perdana Menteri, tetapi ia mempunyai asas-asas yang kukuh. Bagi mereka yang tidak ultra kiasu, mungkin menganggap tuntutan Perkasa dan MPM perkara biasa, dalam lingkungan hak mereka, di bumi mereka. Tetapi bagi yang ultra kiasu, mereka terasa terancam dan tergugat, walaupun sebenarnya itu bukanlah ancaman ataupun gugatan.
Apakah salah orang Melayu mempertahankan kepentingannya? Adakah MCA, Gerakan, MIC dan parti ultra kiasu tidak mempertahankan bangsa mereka juga? Bila Melayu mempertahankan kepentingan mereka digelar rasis.
Namun, bila parti-parti ultra kiasu ini bercakap kepentingan mereka, adakah itu tidak rasis? Jika tidak percaya, cuba ikuti perbincangan dan perbahasan mesyuarat agung mereka. Adakah tidak ada agenda bangsa dibincangkan?
Pada saya, semua bangsa berhak untuk membincangkan agenda bangsa masing-masing sebab itulah politik perkauman Malaysia yang telah bersarang sekian lama. Namun, apa yang selalu saya tekankan, bila mana berlaku pertembungan antara agenda bangsa dengan agenda negara, sudah tentu agenda negara nasional atau agenda Malaysia perlu diutamakan, bukan tertakluk kepada politik perkauman yang sempit.
Rasis masih boleh diterima tetapi jangan memandang rendah kepada bangsa lain sehingga membawa kepada etnosentrik. Saya melihat ada trend yang memandang rendah kepada bangsa lain. Bila sesuatu bangsa itu pandang rendah, biasanya budaya dan bahasa sesuatu bangsa itu turut terpalit sama. Lihat sahaja buletin parti-parti komponen BN, misalnya The Guardian dan berita online mereka. Berita-
berita mereka tidak langsung menggunakan bahasa Melayu sebagai pengantar tetapi lebih memilih bahasa Inggeris. Jika adapun artikel bahasa Melayu, ia hanya untuk melepaskan batuk di tangga. Saban kali saya membaca buletin ini. Saya minta orang Islam dan UMNO baca sama untuk mengetahui adalah mereka ini tidak rasis atau mungkin etnosentrik?
Begitu juga dengan buletin parti-parti politik yang lain. Adakah sebenar parti-
parti komponen ini mahu mendidik ahli-ahli mereka lebih fasih berbahasa Inggeris daripada bahasa Melayu? Sudah tentu dalam konteks di negara kita berasaskan gagasan 1Malaysia dan perlembagaan persekutuan, bahasa Melayu mesti diutamakan berbanding bahasa lain. Bahasa lain boleh diamalkan tetapi kepentingannya jangan sampai menenggelamkan kepentingan nasional. Ini kerana bahasa kebangsaan adalah bahasa asas bernegara dan asas perpaduan.
MPM hanya mahukan pembelaan ke atas orang Melayu dijaga sama ada dari sudut politik, ekonomi dan sosial. Saya tidak nampak tindakan tersebut primitif? Primitif bermakna kuno dan tidak bertamadun. Persoalannya, adalah kita terlalu bertamadun? Cuba senaraikan ciri-ciri masyarakat yang tidak primitif. Masyarakat yang tidak primitif akan sentiasa menjaga maruah diri. Mereka tidak akan sanggup merosakkan harga diri atau menganiaya orang lain. Jika kita tidak mahu ia berlaku kepada ahli keluarga kita, begitu juga kepada orang lain.
Desakan
MPM mahukan pemilikan ekuiti atau kekayaan negara berasaskan kepada formula mengikut pecahan penduduk antara Islam, bumiputera dan bukan Islam. Pada saya, desakan ini tidaklah terlalu esktrim. Lagipun desakan ini tidak lagi dapat mengubah penguasaan lebih 70 peratus ekuiti yang telah ada pada orang bukan Melayu. Saya tidak fikir kerajaan akan menarik balik penguasaan selebihnya untuk diberikan kepada orang Melayu. Ekuiti tersebut akan terus kekal untuk generasi mereka. Cuma hari ini, MPM mendesak supaya ditambah dan dibantu orang Islam dan bumiputera kerana mereka masih ketinggalan, walaupun tidak dinafikan ada juga orang bukan Melayu yang ketinggalan.
Strategi MPM ini bukanlah strategi baru. Ia telah diguna pakai oleh parti komponen bukan Melayu dalam BN dan ultra kiasu sejak dahulu lagi. Mereka akan menuntut semaksima yang mungkin atau seultra yang mungkin. Mereka tahu, kerajaan tidak akan memenuhi tuntutan itu ekstrim itu sepenuhnya, tetapi pada masa sama mereka sudah dapat mengagak bahawa kerajaan akan mempertimbangkan juga akhirnya berasaskan semangat 1Malaysia. Jika tidak diberi banyak, akan beri sedikit. Pemberian sedikit sebenarnya adalah satu kejayaan yang paling besar.
Lihat sahaja rombakan kecil kabinet baru-baru ini. Sebenarnya ia adalah kejayaan besar kepada parti MCA yang kejayaan mereka disokong oleh orang Melayu selama ini. Saya tidak fikir orang Melayu Singapura dilayan dan dipercayai dengan sebegitu baik sebagaimana kita yang terlalu bersangka baik. Jawatan-jawatan penting yang mereka minta selama ini dipenuhi oleh PM atas dasar semangat 1Malaysia. Itupun belum ada kepastian bila pilihan raya nanti mereka akan mengundi BN. Cuma janganlah mengambil kesempatan di atas jawatan yang diberikan. Harap-harap Malaysia tidak terus terkenal sebagai pengeksport dan penternak khinzir terbesar di Asia selepas jawatan-jawatan penting diberikan. Negara kita tidak terkenal sebagai pengeksport lembu walaupun yang menggunakannya lebih besar.
Saya kadang kala hairan kenapa desakan dan tuntutan ini menjadikan kerajaan merasa tergugat, dan mula melonggarkan dan membuka polisi, agar semua dapat merasainya secara adil dan saksama yakni sama rata dan sama rasa. Elok juga berikan tumpuan sama ke atas nasib bumiputera di Sabah dan Sarawak yang agak ketinggalan. Saya yakin mereka akan terus memberikan sokongan.
Berbanding di Semenanjung, bila tiba pilihan raya, mereka yang merasai semua nikmat yang telah dibuka itu, belum tentu terus mengundi UMNO atau BN. Seperti yang selalu saya sebut, Islam boleh memberikan keadilan kepada bukan Islam, tetapi keadilan itu bukan hanya dalam bentuk sama rata dan sama rasa. Asal-usul, sejarah dan perlembagaan sesebuah negara bangsa mesti diambil kira.
Mendalami
Sepatutnya UMNO perlu mendalami dan mengamati segala tuntutan tersebut, walaupun Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13 akan datang adalah sesuatu yang kritikal untuk UMNO. Saya mencadangkan lebih baik UMNO bertegas dari sekarang. Jika kalah pun, kalah dengan bermaruah. Itu lebih baik daripada kalah, tetapi pada masa yang sama hilang maruah dan kepercayaan. Masa masih ada lagi, belum terlambat untuk berubah.
UMNO perlu membuat penilaian diri. Tuntutan-tuntutan yang dibuat oleh MPM hendaklah diteliti. Begitu juga dengan parti-parti dan NGO-NGO lain. Jika boleh, buatlah perbandingan dengan negara-negara lain. Adakah negara lain langsung tidak ada dasar afirmatif seperti negara-negara barat dan timur. Apakah Amerika Syarikat begitu baik dalam menguruskan negara mereka sehingga langsung tidak ada dasar afirmatif sebagaimana terma rujukan kumpulan ultra kiasu ini? Setelah membaca buku Huntington, barulah saya memahami kedudukan AS sebenarnya. Justeru, saya ingatkan ultra kiasu, supaya kurangkan kelentong, banyakkan fakta.
UMNO tidaklah perlu terlalu bimbang takut akan kehilangan banyak kerusi pada pilihan raya akan datang. Berani kerana benar, takut kerana salah. Jika ditakdirkan BN gagal menambah kerusi dalam PRU 13 dan hanya mendapat 50 peratus kerusi misalnya, ketika itu siapakah yang bakal menjadi pemimpin negara ini?
Saya merasakan ketika itu peranan PAS akan menjadi faktor penentu. Saya tidak fikir PAS akan memberikan laluan kepada pemimpin parti ultra kiasu untuk menjadi Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri. Kecuali jika sekutu kuat ultra kiasu yang kini memerintah Selangor menang. Saya yakin di hati PAS masih ada UMNO, bukan yang lain. Lihatlah apabila ultra kiasu memerintah Singapura, adakah mereka memberi laluan atau melantik orang Melayu menjadi Timbalan Perdana Menteri, walaupun mereka lebih dari layak untuk menduduki jawatan tersebut termasuk jawatan nombor satu.
Mungkin hari ini PAS masih ada pilihan. Saya yakin satu hari nanti PAS mungkin tidak ada pilihan. PAS perlu memilih satu antara dua. Saya yakin percikannya juga turut dirasai oleh parti ultra kiasu dan sekutunya. Mereka masih ragu-ragu apakah PAS akan terus menjadi rakan yang setia kepada mereka. Pada saya, mungkin sekarang ya. Tetapi belum tentu lagi untuk pada masa akan datang.
Saya amat yakin, parti ultra kiasu ini pun tidak percaya sepenuhnya kepada PAS. Cuma mereka tidak ada pilihan buat masa ini. Jika ada pilihan sudah lama mereka tendang PAS keluar daripada pakatan. Saya ingin mengingatkan PAS supaya berhati-hati. Jika cita-cita PAS untuk mendirikan negara Islam, rakan mereka bukan ultra kiasu, tetapi UMNO. Sebenarnya di kalangan rakyat marhaen UMNO, terlalu ramai yang mahukan Islam dan negara Islam. Cuma buat masa kini, belum lagi menjadi realiti sepenuhnya walaupun telah diisytiharkan. Bukan kerana UMNO tidak mahukan Islam, mereka mahu, tetapi masih ada segelintir yang belum faham.
InsyaAllah akan tiba masanya mereka akan faham. Jangan putus asa. Sama juga seperti PAS, mereka pun masih belum berupaya dan belum berjaya untuk memberikan kefahaman kepada rakan sekutunya. Mungkin alasan PAS bahawa UMNO yang memerintah kerajaan pusat yang menghalang mereka untuk membentuk negara Islam di Kelantan. Tetapi jika dilihat secara lebih telus, sebenarnya pun PAS masih belum bersedia. PAS masih tidak mampu untuk menegur Menteri Besar Selangor untuk melaksanakan Islam di Selangor.
Kenapa? Ini disebabkan oleh perlaksanaan Islam memerlukan masa. Kajian yang rapi. Tenaga kerja yang pakar dan sebagainya. Banyak bukti menunjukkan negara Islam yang cuba melaksanakan Islam gagal dari segi perlaksanaan kerana kekurangan sumber dan kepakaran.
sumber : Utusan Malaysia
Langgan:
Catatan (Atom)