Ahad, 11 April 2010

Bendung gejala seks bebas

GEJALA seks bebas merupakan faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan masalah buang bayi kebelakangan ini sehingga mendorong kepada pelancaran kempen Kami Prihatin yang dirasmikan Khamis lalu.
Selain itu, tanggapan bahawa cinta kepada kekasih perlu dibuktikan melalui hubungan seks juga menyebabkan si gadis hamil luar nikah manakala lelaki yang terlibat mengambil sikap lepas tangan atau menghilangkan diri.
Akibat tidak sanggup untuk menanggung perasaan malu dan takut untuk berhadapan dengan keluarga si gadis yang ditinggalkan seorang diri atau pasangan yang terlanjur itu akhirnya mengambil jalan singkat dengan membuang atau membunuh bayi yang baru dilahirkan.
Dalam meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat supaya menghargai dan menyayangi bayi dan kanak-kanak, punca gejala buang bayi iaitu masalah seks bebas perlu dibendung dengan sebaik-baik mungkin.
Golongan remaja perlu diberikan kesedaran dan penerangan mengenai kepentingan untuk mengutamakan nilai-nilai moral serta kesan buruk seks bebas yang boleh membawa banyak kemudaratan seperti masalah buang bayi dan pelbagai penyakit.
Ketua Unit Kaunseling Bahagian Pembangunan Keluarga Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Dr. Khamsiah Ismail berkata, keluarga perlu menerapkan nilai-nilai murni berteraskan agama dan adat timur dari rumah di peringkat kanak-kanak lagi.
''Secara tidak formal kanak-kanak perlu diingatkan bahawa budaya bergaul bebas ditegah agama selain bukan budaya timur. Kanak-kanak perempuan perlu dididik tentang cara-cara menjaga kehormatan diri dan kanak-kanak lelaki juga perlu diajar supaya menjadi pelindung kepada perempuan dan bukannya mengambil kesempatan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambah Dr. Khamsiah, pendidikan kesihatan reproduksi juga perlu diperkenalkan di peringkat sekolah rendah lagi mengikut tahap kematangan para pelajar.
''Apabila meningkat umur remaja dan akil baligh, remaja perempuan perlu diajar tentang perkara yang boleh dilakukan dan tidak boleh dilakukan setelah mereka mengalami haid. Apa yang akan berlaku jika mereka mengadakan hubungan seks setelah mengalami haid umpamanya perlu diterangkan.
''Sesetengah remaja yang terjebak dalam seks bebas tanpa menyedari risiko bahawa mereka boleh mengandung. Ini berlaku kerana salah faham dan sebagainya. Ada yang beranggapan hanya pasangan yang berkahwin sahaja yang mampu mengandung dan bukannya remaja seperti mereka," jelasnya.
Tambah beliau, remaja perempuan juga perlu dimaklumkan mengenai hukuman yang bakal dihadapi mengikut Kanun Keseksaan jika mereka membuang bayi atau membunuh bayi dan sebagainya.
Sementara remaja lelaki, tambah Dr. Khamsiah, perlu didedahkan bahawa melakukan hubungan seks dengan remaja bawah umur adalah satu kesalahan dan mereka boleh menghadapi tindakan undang-undang seperti dipenjarakan dan sebagainya.
''Remaja lelaki dan perempuan perlu diingatkan bahawa kegiatan seks bebas boleh memusnahkan masa depan mereka dan harus dijauhi.
''Usaha membendung seks bebas bukanlah satu langkah yang mudah dan ia memerlukan pendekatan menyeluruh di semua peringkat termasuklah di rumah, sekolah dan masyarakat," katanya.
Sementara itu, Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, golongan remaja hanya akan mampu mengawal diri daripada terjebak dalam gejala negatif seperti seks bebas jika diberikan bimbingan, panduan, kesedaran dan tunjuk ajar daripada pelbagai pihak.
''Gejala seks bebas sehingga mengakibatkan hamil luar nikah sebenarnya boleh dibendung jika semua pihak memainkan peranan masing-masing dengan berkesan.
''Ibu bapa, guru-guru, masyarakat dan para pemimpin misalnya mesti melihat semula sejauh manakah mereka telah melaksanakan peranan untuk dijadikan benteng kepada remaja daripada terlibat dalam gejala negatif ini," katanya ketika dihubungi.
Tambah Rosnah, golongan agama pula mesti mendekati para remaja dan bukannya mengasingkan diri atau menyisihkan kelompok berkenaan.
''Kekuatan remaja untuk berhadapan dengan gejala negatif ini hanya boleh menjadi kenyataan dengan adanya sokongan semua pihak," katanya.

sumber: Utusan Malaysia

Ahad, 4 April 2010

Gelora Hidup Duda

Cara duda lupakan seks







"PERCERAIAN dan menjadi duda adalah dugaan Allah yang paling perit," kata penyanyi Nash atau Nashrudin Elyas, 50, yang sudah dua kali hidup menduda.
Kali pertama dia menduda ialah selama 11 tahun sebelum menemui jodoh kali kedua. Kini dia menduda lagi apabila jodoh keduanya hanya bertahan selama hampir tiga tahun.
"Kalau tidak dapat ditangani dengan baik boleh membawa kepada kehidupan yang lebih jahanam. Kekuatan iman membolehkan diri menaksir dengan baik.
"Tanpanya, seorang duda itu terdedah mencari wanita bukan muhrim dan menjurus kepada perzinaan," katanya.
Pernah merasai nikmat perkahwinan dan belaian isteri, kehidupan sebagai duda begitu mencabar. Tidak hairanlah jika ada yang tersasar apabila nafsu bergelora.
Akhbar baru-baru ini melaporkan, seorang duda dibunuh kejam manakala seorang wanita yang bersamanya parah akibat ditetak dengan parang di sebuah bilik hotel di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Duda yang merupakan ahli perniagaan itu mati di tempat kejadian akibat kehilangan banyak darah.
Sehari sebelum itu, seorang duda beranak tujuh ditangkap berkhalwat dengan seorang wanita Indonesia di Alor Gajah, Melaka.
Pasukan penguat kuasa yang memeriksa pasangan tersebut kemudian mendapati, lelaki berusia 49 tahun itu turut meninggalkan dua anaknya yang berusia 6 dan 8 tahun tidur di dalam sebuah bilik di rumahnya yang berkunci.


ADA duda yang tidak dapat menahan gelora mencari 'teman sosial' untuk melampiaskan nafsu. - Gambar hiasan.



Selain itu, ada juga kisah lain tentang duda yang mungkin kini menjadi 'jejaka-jejaka terhangat di pasaran' apabila menjadi buruan gadis. Cerita perkahwinan aktres Umie Aida, supermodel Amber Chia dan aktor Imuda bagai memperkuatkan trend itu.
Berdepan godaan yang besar, lagi-lagi bergelar artis, Nash mengakui dirinya kerap diganggu oleh wanita-wanita yang menelefonnya setiap hari.
Namun, dia tidak mahu bercerita lebih tentangnya kerana menganggap biarlah ia menjadi rahsia peribadinya dan tidak menceritakan keburukan orang lain.
"Memang sebagai seorang yang pernah bergelar suami, kadang-kadang terlintas keinginan untuk melakukan hubungan seks.
Keinginan
"Itulah sebabnya saya menyibukkan diri dengan pelbagai perkara. Saya sertai banyak aktiviti NGO dan kini merupakan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) di sekolah anak saya," katanya yang nampak sibuk ketika ditemui di majlis taklimat Konvoi Nasional Buat Gaza di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.
Nash berkata, awal perceraian kali pertama memang saat-saat yang sukar dan dia lazimnya akan tidur bersama anak-anaknya yang masih kecil untuk membuang rasa kesepian.
Seorang duda beranak tiga, Hazman Mohamad Halid, 38, mengakui pernah merasai seperti hidup tidak lagi bermakna apabila bercerai dan mengambil masa yang agak lama untuk kembali membina hidup selepas 'penolakan' itu.
"Banyak perkara yang memusnahkan semangat saya untuk hidup pada waktu itu. Saya rasakan, kalau saya mati pun tidak mengapa.
"Saya telah bercerai sejak kira-kira empat tahun lepas dan saya hanya benar-benar rasa kembali pulih sejak enam bulan lalu," katanya yang merupakan jurutera perisian komputer.


HAZMAN sesekali terfikir tentang seks.



"Selama sembilan tahun saya pulang dan ada isteri di rumah, tiba-tiba terpaksa melalui semuanya sendirian. Memang sukar bagi saya," katanya.
Hazman memberitahu, sebagai seorang bekas suami, dia sering mengisi jadual dirinya dengan kesibukan agar tidak memikirkan keinginan seks.
Hipokrit
Rutin lazimnya ialah pergi ke pejabat pukul 9 pagi, sibuk di pejabat sehingga pukul 6 petang. Sampai di rumah, tidur sekejap atau dari pejabat terus ke gimnasium untuk bersenam sehingga gimnasium tutup pukul 12 malam.
Hari minggu juga dia kerap ke gimnasium atau bersiar-siar. Kata Hazman, hanya selepas bercerai baru dia berkenalan dengan gimnasium.
"Kalau asyik lepak di rumah sahaja itu yang boleh datangkan perasaan yang bukan-bukan. Semasa senaman dan work out, kita mengeluarkan tenaga yang banyak dengan cara yang positif," katanya.
Enggan bersifat hipokrit, Hazman berkata, sebagai seorang lelaki yang normal tidak kira bujang, suami orang atau duda, pasti ada sifat miangnya.
"Orang lelaki nakal-nakal sikit itu biasalah. Tapi jangan sampai melakukan zina," ujarnya enggan bercerita lanjut tentang itu.
Saat ditanya adakah godaan nafsu ketika duda lebih besar daripada ketika bujang, Hazman berkata, ia sukar ditentukan kerana situasinya berbeza mengikut usia. Tambahan pula apabila diri semakin tua, komitmen dan tanggungjawab semakin banyak.
Seorang lagi duda, Dr. Zulkornain Ahmad menyifatkan dia tidak mempunyai banyak masalah setelah bercerai kerana dirinya memang seorang yang berdikari. Lagipun, kerjayanya sebagai doktor memang sibuk.
"Kerja saya sangat sibuk. Nak layan dan rawat pesakit di Senawang, Kajang dan Puchong. Memang tak sempat hendak fikir perkara lain.
"Balik rumah sudah letih, tengah tidur pun kadang-kadang dikejutkan dengan panggilan bertugas," katanya yang dikurniakan seorang anak.
Mengakui memang ramai perempuan yang mengirim SMS mahu berkenalan dengannya, namun hatinya belum mahu berkahwin lagi.
Seorang duda berusia 41 tahun yang tidak mahu dikenali berkata, menjadi duda amat mencabar daripada pelbagai segi dan memerlukan iman yang kuat.


KEBELAKANGAN ini, beberapa insiden jenayah menyaksikan duda menjadi mangsa.



Dia yang merupakan bapa kepada lima orang anak yang telah bercerai sejak tujuh tahun lalu berkata, dia tidak terfikir untuk mengahwini wanita lain melainkan bekas isterinya.
Resah
Namun katanya ada juga sisi keseronokannya menjadi duda. "Apabila jadi duda, sudah tidak ada orang yang ambil tahu mahu pergi ke mana dan tidak ada lagi 'perintah berkurung' pada sesetengah masa," ujarnya yang memperuntukkan 15 peratus daripada gajinya setiap bulan untuk anak-anaknya.
Profesor Jabatan Psikologi, Pendidikan dan Kaunseling, Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Suradi Salim memberitahu Jurnal, lebih 80 peratus duda yang berusia 50 tahun ke atas akan berkahwin lagi.
Katanya, perkara ini berdasarkan pengalamannya berjumpa dan berbincang sendiri dengan pesakitnya daripada kalangan duda. Ini kerana duda berusia sedemikian sudah terbiasa dengan kehidupan berkeluarga.
"Mereka sudah terbiasa ada isteri yang akan menjaga mereka dari sudut keperluan seks, makan, minum, kesihatan dan sebagainya.
"Lagipun orang tua ini banyak pengalamannya selain lebih romantik dan sentimental menyebabkan wanita mudah terpikat," katanya ketawa. Jelasnya lagi, bagi duda yang berusia 20 hingga 40 pula, keinginan mereka untuk berkahwin lagi sekitar 50 peratus ke bawah.
"Namun ini hanya berdasarkan pendapat saya. Mungkin mereka ada pengalaman pahit semasa kehidupan berkeluarga menyebabkan mereka enggan berkahwin lagi," katanya.


UMIE AIDA antara selebriti yang memilih duda sebagai pasangan hidup.



Menyentuh mengenai duda yang terlibat dengan jenayah seperti rogol dan sebagainya, Suradi berpendapat jiwa duda yang bergelora dan segelintir yang mempunyai keinginan seks tinggi menyebabkan mereka mengambil tindakan sedemikian.
"Realitinya semua orang mempunyai keinginan seks lebih-lebih lagi mereka yang pernah berkahwin pasti merasai pengalaman seks. Apabila dalam jangka masa yang lama tidak melakukannya, mereka resah.
"Hasilnya apabila tidak disandarkan dengan iman yang kuat menyebabkan segelintir membuat kesilapan seperti bersekedudukan, berkhalwat malah lebih teruk mencari pelacur dan merogol," ujarnya.

sumber : Kosmo

'Seks bising' punca kena halau

2010/04/04

BERLIN: Sepasang suami isteri di Zwickau di negeri Saxony, Jerman dilaporkan ketagih membuat bising ketika melakukan hubungan seks menyebabkan mereka diarah keluar dari apartmen yang disewa pasangan itu.

Akhbar harian Bild melaporkan, jiran pasangan terbabit membuat aduan mengenai bunyi bising ketika mereka melakukan aktiviti berkenaan yang menyebabkan ramai penduduk terganggu pada waktu malam.
Bunyi bising yang kerap dan berterusan daripada jeritan dan suara mengerang boleh kedengaran di seluruh rumah dan ia menjadi gangguan yang sudah tidak dapat diterima lagi, kata pemilik rumah berkenaan.
Michael Krug, 25, dan pasangannya, Nicole Khn, 25 bersama dua anak kecil mereka diminta keluar dari apartmen itu pada pertengahan April, lapor akhbar.

Kami sebenarnya menikmati seks yang lebih baik dan bertahan lebih lama, kata Khn kepada Bild.

Pasangan itu kini sudah menemui tempat baru untuk disewa yang mempunyai dinding lebih tebal berbanding flat sekarang. Agensi

sumber: Berita Harian

Kentut jadi senjata banduan

2010/04/04
MALMO: Seorang banduan di penjara Sweden diberi amaran selepas sering kentut sebagai cara menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap pentadbir pusat tahanan itu dan sistem perundangan.

Pengawal di penjara Kirseberg menuduh banduan yang tidak dinamakan itu sengaja kentut untuk memprotes terhadap corak kehidupan pusat tahanannya.
Motif perbuatan banduan terbabit dianggap berpunca daripada satu sesi bermain pakau dengan banduan lain, beberapa minggu lalu.
Saya sakit perut ketika bermain pakau tetapi tidak mahu buang angin di situ juga. Jadi, saya kentut dekat pengawal, kata banduan berusia 21 tahun itu kepada pegawai.

Apabila ditanya mengenai perbuatannya dalam satu sesi soal jawab, banduan itu mendakwa, kentutnya mungkin berbunyi tetapi tiada bau.

Wardar penjara, Anders Eriksson, percaya perbuatan melepaskan angin berulang kali itu adalah serangan terhadap petugas pusat tahanan itu. - Agensi

sumber: Berita Harian

Sabtu, 3 April 2010

GP Malaysia - Grid

03/04/2010 6:33pm

SEPANG 3 April - Pelumba Australia, Mark Webber berjaya mengawal kenderaan pada sirkit basah dan digenangi air akibat ribut tropika untuk memulakan perlumbaan Grand Prix Malaysia di petak pertama, esok.
Pelumba berusia 33 tahun itu mencipta masa terpantas di Litar Antarabangsa Sepang iaitu satu minit 49.327 saat untuk memulakan perlumbaan di petak pertama, iaitu kali kedua dalam kariernya mengatasi pelumba Jerman, Nico Rosberg dari pasukan Mercedes.
Rakan sepasukan Webber dari Red Bull, Sebastian Vettel dari Jerman menduduki petak ketiga mengatasi dua lagi pemandu Jerman, Adrian Sutil dari pasukan Force India dan pelumba baru, Nico Hulkenberg dari pasukan Williams.
Berikut kedudukan pasukan pada Grand Prix Malaysia selepas sesi kelayakan petang ini:
1. Mark Webber (AUS/Red Bull-Renault)
2. Nico Rosberg (GER/Mercedes)
3. Sebastian Vettel (GER/Red Bull-Renault)
4. Adrian Sutil (GER/Force India-Mercedes)
5. Nico Hülkenberg (GER/Williams-Cosworth)
6. Robert Kubica (POL/Renault)
7. Rubens Barrichello (BRA/Williams-Cosworth)
8. Michael Schumacher (GER/Mercedes)
9. Kamui Kobayashi (JPN/Sauber-Ferrari)
10. Vitantonio Liuzzi (ITA/Force India-Mercedes)
11. Vitaly Petrov (RUS/Renault)
12. Pedro de la Rosa (ESP/Sauber-Ferrari)
13. Sébastien Buemi (SWI/Toro Rosso-Ferrari)
14. Jaime Alguersuari (ESP/Toro Rosso-Ferrari)
15. Heikki Kovalainen (FIN/Lotus-Cosworth)
16. Timo Glock (GER/Virgin-Cosworth)
17. Jenson Button (GBR/McLaren-Mercedes)
18. Jarno Trulli (ITA/Lotus-Cosworth)
19. Fernando Alonso (ESP/Ferrari)
20. Lewis Hamilton (GBR/McLaren-Mercedes)
21. Felipe Massa (BRA/Ferrari)
22. Karun Chandhok (IND/Hispania-Cosworth)
23. Bruno Senna (BRA/Hispania-Cosworth)
24. Lucas Di Grassi (BRA/Virgin-Cosworth)

 sumber: Utusan Malaysia
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...