Sabtu, 27 Mac 2010
F1 - GP Austria - Grid
27/03/2010 8:40pm
MELBOURNE 27 Mac - Pemandu Red Bull, Sebastian Vettel berurutan berada di petak pertama pada permulaan sesi baru Formula Satu musim ini apabila menyambar tempat pertama pada kelayakan Grand Prix Australia, mengatasi rakan sepasukan yang juga harapan tuan rumah, Mark Weber.
Vettel mencatatkan masa satu minit 23.919 saat di sirkit Albert Park mengecewakan harapan penyokong tuan rumah untuk melihat kejayaan Webber, tetapi barisan depan dikuasai oleh Red Bull yang mempunyai kedudukan baik untuk mencipta kemenangan selepas gagal di Bahrian awal bulan ini.
"Ini tuan rumah bagi Mark tetapi tahun lalu dia berada di petak pertama di Jerman, jadi ia seperti balas dendam," kata Vettel. " Esok akan lebih kepada tugas berlumba kerana biasanya banyak perkara berlaku di sini.
"Kami gagal melakukannya tugas ini di Bahrain, jadi kami akan cuba melakukannya di sini."
Pemandu Ferrari, Fernando Alonso yang menjuara pembukaan musim di Bahrain selepas kereta Vettel mengalami masalah mekanikal misteri ketika mendahului tempat pertama GP di bawah peraturan baru pengisian semula minyak, berada di tempat ketiga ketika rakan sepasukannya, Felipe Massa kelima.
Berikut barisan perlumbaan Grand Prix Australia yang akan berlangsung esok selepas sesi kelayakan hari ini:
1. Sebastian Vettel, Germany, Red Bull.
2. Mark Webber, Australia, Red Bull.
3. Fernando Alonso, Spain, Ferrari.
4. Jenson Button, Britain, McLaren.
5. Felipe Massa, Brazil, Ferrari.
6. Nico Rosberg, Germany, Mercedes.
7. Michael Schumacher, Germany, Mercedes.
8. Rubens Barrichello, Brazil, Williams.
9. Robert Kubica, Poland, Renault.
10. Adrian Sutil, Germany, Force India.
11. Lewis Hamilton, Britain, McLaren.
12. Sebastien Buemi, Switzerland, Toro Rosso.
13. Vitantonio Liuzzi, Italy, Force India.
14. Pedro de la Rosa, Spain, Sauber.
15. Nico Hulkenberg, Germany, Williams.
16. Kamui Kobayashi, Japan, Sauber.
17. Jaime Alguersuari, Spain, Toro Rosso.
18. Vitaly Petrov, Russia, Renault.
19. Heikki Kovalainen, Finland, Lotus.
20. Jarno Trulli, Italy, Lotus.
21. Timo Glock, Germany, Virgin.
22. Lucas di Grassi, Brazil, Virgin.
23. Bruno Senna, Brazil, Hispania.
24. Karun Chandhok, India, Hispania.
Isnin, 22 Mac 2010
Masyarakat jalur lebar kena lebih berdisiplin
Oleh Kamal Ahmad
mohdkamal@bharian.com.my
2010/03/22
Teknologi maklumat untuk tingkat mutu kehidupan, bukan sebagai alat manipulasiMASYARAKAT jalur lebar – ini fenomena baru melanda kelompok lebih besar komuniti di negara kita. Ia datang membawa pelbagai perubahan dan persepsi dalam tanggapan mengenai sesuatu maklumat, kejutan, potensi mahupun bahan atau ruang untuk mengeksploitasi atau memanipulasi serta yang dianggap mengancam sahsiah atau meniris keimanan.
Perkembangan pesat ini turut menyediakan ‘medium’ atau wadah baru kepada perlakuan dinamakan jenayah siber. Perlakuan dalam alam maya itu memerlukan set perundangan untuk mengawal, menguatkuasakan dan mendakwa selain melindungi kepentingan industri, pemain serta pengguna (orang ramai).
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pastinya menyedari perkembangan itu dan bertindak meletakkan set perundangan yang mampu memenuhi perkembangan semasa serta kerencaman dunia siber tidak bersempadan itu. Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, ketika ditemui mengakui, ada beberapa aspek perundangan perlu diteliti semula. Contoh paling kecil, terjemahan kepada istilah ‘jelek’ yang sangat subjektif. Yang lain, jika ada Akta Hasutan, kenapa ia tidak dimasukkan dalam Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.
“Satu lagi aspek ialah denda dan kadar pemenjaraan yang dikatakan tidak sama dengan undang-undang lain. Ini turut mengundang kritikan dan kita akan lihat dari segi itu. Isu lain, membabitkan aspek keterangan atau bukti yang sukar dikesan kalau terminal itu beroperasi di luar negara. Soal ini (bagai) tidak ada penyelesaian atau cara jalan keluar.
“Selepas mendengar semua kritikan ini, kami sedang meneliti satu persatu sama ada kita akan membuat pindaan atau gunakan undang-undang lain yang sedia ada,” katanya.
Ditanya mengenai potensi jenayah baru berikutan perkembangan pesat kemudahan perkhidmatan jalur lebar, beliau berkata: “Itu banyak.” Pastinya, lebih ramai warga negara ini terdedah kepada penipuan, perjudian dan pornografi kanak-kanak yang dianggap jenayah lama dalam bentuk baru.
“Yang lain, ialah transaksi jualan yang menyalahgunakan kad kredit. Hal ini, memang saya akui dan perlu kita lihat menerusi pendekatan lain,” katanya. Menjawab soalan sama ada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) akan digunakan bagi kes tertentu, beliau menyifatkannya sebagai bukan jalan keluar.
“Itu soal keselamatan negara dan ISA dalam hal ini langsung tidak boleh dilibatkan kecuali internet itu digunakan bagi tujuan subversif. Kalau subversif baru boleh (digunakan). (Tetapi) itu terserah kepada Seksyen 8 (1) atau 70 (3) Ceraian 1,” katanya.
Persoalan mengenai perundangan berkaitan jenayah siber turut melarat kepada kemungkinan jenayah siber yang mencabul atau melakukan pelanggaran terhadap Perlembagaan Persekutuan. Rais yang memiliki latar belakang perundangan, ternyata cekap mengesan isu itu dengan berkata:
“Perlanggaran itu bergantung kepada jenis perlakuan seseorang. Misalnya memperkecilkan penduduk Sabah dan Sarawak. Ini satu kesalahan tapi kalau ini berlaku, harus kita buat sistem laporan yang jelas dan SKMM mengadakan penguatkuasaan yang tegas. Itu pun satu bab sekarang kita sedang buat (teliti) dan perkukuhkan.”
Pastinya, SKMM turut meneliti perundangan dalam Kanun Keseksaan, Kanun Jenayah dan Akta Hasutan serta lain-lain berkaitan. Apatah lagi, statistik menunjukkan ada kecenderungan perlakuan menyalahi undang-undang apabila Rais memberitahu, suruhanjaya itu menerima 101 aduan berhubung kandungan laman web atau blog mengikut Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998. Sebanyak 58 aduan bagi kandungan lucah dan 43 aduan membabitkan kandungan mengancam serta jelek.
Sesungguhnya, perkhidmatan jalur lebar asas menjadi komponen penting dalam pembangunan enam juta isi rumah di seluruh negara mulai sekarang. Pastinya, ini satu cabaran dan tanggungjawab berat untuk mengembangkan perkhidmatan itu dari zon tumpuan iaitu kawasan membangun dan perbandaran ke luar bandar.
Lantas, akhirnya lahir Inisiatif Jalur Lebar Negara (NBI) sebagai antara komponen Model Ekonomi Baru yang antara lain bertujuan mewujudkan ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020. Inisiatif itu dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Dataran Merdeka, malam kelmarin, dan menjadi satu lagi infrastruktur negara untuk kemudahan warga bandar, komuniti perniagaan serta penduduk luar bandar. “Infrastruktur baru itu akan memacu kepesatan MEB,” kata Rais.
Satu lagi cabaran SKMM dalam perkembangan ini ialah bagaimana ‘menyatukan’ 30 syarikat penyedia perkhidmatan jalur lebar. Maknanya, mewujudkan persaingan sihat, seimbang antara luar dan dalam bandar serta membebaskan entiti daripada pertindihan zon liputan.
Justeru, apakah SKMM ada kemungkinan menggabungkan mereka menjadi beberapa penyedia saja? Mengambil iktibar kejayaan penggabungan institusi perbankan selepas kegawatan ekonomi 1997-1998 supaya menjadi lebih besar dan kukuh, maka semangat sama boleh dijadikan asas penggabungan syarikat penyedia perkhidmatan berkenaan.
Kewujudan terlalu banyak pemain akhirnya mewujudkan usaha ‘membunuh’ lawan dan persaingan sihat tidak ada lagi dalam kamus perniagaan mereka. SKMM dikatakan menyedari betapa syarikat penyedia itu mengabaikan kawasan pinggir dan luar bandar serta kawasan pedalaman (terpencil). Perkhidmatan jalur lebar hanya tertumpu di bandar dan bandar raya.
Selain itu, jika ada matlamat mahu mewujudkan komuniti celik komputer dan media baru di negara ini, maka perlu ada usaha untuk mewujudkan persekitaran ‘online’ dengan kandungan bermutu. Ini perlu kaedah pendidikan dan kesedaran berteraskan ‘keperluan Malaysia’ untuk memastikan mereka mengawal diri sendiri dalam pemerolehan bahan itu.
Pastinya fasa kedua ledakan jalur lebar ini akan memberi kejutan kepada sebahagian lagi warga negara yang sebelum ini tidak terlalu ‘terdedah’ kepada dunia siber. Ia memberi kesan kepada sosial, politik dan ekonomi bergantung kepada cara perkhidmatan itu dimanfaatkan. Tahap penembusan jalur lebar itu antara lain boleh diukur melalui jumlah penggunaan telefon bimbit, penggunaan dan pemilikan komputer, aplikasinya membabitkan 10,000 sekolah selain penggunaan terhadap perkakasan multimedia lain.
Pada masa sama, apabila ada NBI dan infrastrukturnya dianggap infrastruktur negara, maka SKMM turut wajar melihat keperluan mewujudkan penanda aras berkaitan kos, kelajuan dan kualiti perkhidmatan jalur lebar yang disediakan oleh syarikat penyedia perkhidmatan itu.
“Kenapa perlu ada perbezaan ini (diskriminasi liputan antara bandar dan luar bandar)? Dan diharap semua keresahan itu dapat diredakan selepas 24 Mac ini. Kosnya mesti diturunkan,” kata Rais lagi.
Ketika ini, ada tiga kelompok harga perkhidmatan jalur lebar iaitu bawah RM50 yang disediakan lima syarikat, RM50 hingga RM100 (enam syarikat) dan melebihi RM100 (tujuh syarikat) masing-masing tertakluk kepada pada kelajuannya.
Sementara itu, antara ‘keajaiban’ yang berlaku dalam perkhidmatan ini, contohnya, majalah .myconvergence (Vol. 3 No. 2 July 2009) menyiarkan laporan mengenai sebuah syarikat operator telefon mudah alih, merekodkan statistik luar biasa 100 juta SMS sehari, selain 4.6 juta pengguna ‘caller ringback tune’, 1.9 juta pengguna MMS dan lebih 3.1 pelanggan Friend Finder.
Syarikat itu turut memiliki 4.8 juta pengguna internet mudah alih. Yang hendak diperkatakan di sini betapa web mudah alih kini tumbuh lapan kali lebih pesat berbanding web berasaskan komputer peribadi. Kini terpulang bagaimana pengguna, organisasi, komuniti perniagaan, penyedia perkhidmatan dan sektor lain boleh menyediakan bahan melalui web mudah alih kepada sasaran.
Inilah antara contoh betapa besarnya keperluan, impak dan potensi industri ini kepada negara dan NBI mampu meraihnya
Ahad, 21 Mac 2010
Siapa sebenarnya JihadJane
| |
| RUMAH asal LaRose di Pennsylvania yang dikatakan menjadi tempat dia berhubung dengan rakan-rakan dalam kegiatan pengganas. |
TIBA-tiba nama JihadJane menggegarkan dunia. Dari segi beritanya seolah-olah digambarkan wanita yang nama asalnya Colleen LaRose ini terlalu bahaya sehingga mampu mengancam nyawa.
Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) pada 9 Mac lepas telah telah mengeluarkan satu pertuduhan mendakwa wanita berusia 46 tahun itu terlibat dalam merekrut anggota militan menerusi Internet dan bersubahat untuk membunuh seorang kartunis di Sweden Lars Vilks.
LaRose ditangkap pada Oktober 2009, beberapa jam selepas polis Ireland menangkap tujuh suspek yang dituduh berkomplot untuk membunuh Vilks kerana menghina Nabi Muhammad SAW dengan melukis karikatur beliau dengan badan seekor anjing.
Wanita yang dilahirkan di Michigan dan kemudian menetap di Pennsylvania sering menggunakan nama-nama samaran seperti ‘Fatima LaRose’ dan ‘JihadJane’ turut berhadapan tuduhan bersubahat untuk memberi bantuan penting kepada pengganas, bersubahat untuk melakukan pembunuhan di sebuah negara asing, membuat kenyataan palsu kepada pegawai kerajaan, dan cuba mencuri identiti orang lain.
LaRose juga didakwa menggunakan Internet untuk merekrut lelaki di Asia Selatan, Eropah dan AS untuk melancarkan serangan dalam masa setahun selain merekrut wanita yang memiliki pasport dan keupayaan untuk bergerak di seluruh Eropah bagi membantu gerakan jihad.
Dia dikatakan memulakan tindakan merekrut ahli pada Jun 2008. Melalui laman sosial YouTube dan beberapa laman sosial lain dengan nama samaran Jihad Jane dan Fatima LaRose, dia pernah menyatakan dirinya “sudah bersedia untuk membantu orang Muslim”.
Dia juga dikatakan pernah bertukar-tukar e-mel dengan pihak yang merancang kegiatan pengganas di Asia Tenggara dan Eropah serta memberitahu sanggup berkorban nyawa demi Islam. LaRose juga dikatakan pernah melanggan dan memasuki laman sesawang berkaitan kegiatan militan seperti RevolutionMuslim.com
Dia juga dikatakan sedang bersiap sedia untuk berpindah ke Eropah dan bersedia untuk terlibat secara aktif dalam melancarkan serangan sebelum ditangkap.
Berdasarkan pertuduhan yang dikeluarkan, LaRose dikatakan bersetuju untuk pergi ke Eropah untuk membunuh Vilks di atas arahan pihak yang mempunyai kaitan dengan kegiatan pengganas yang masih belum tidak diketahui. Malah LaRose dikatakan bersetuju untuk berkahwin dengan anggota kumpulan pengganas berkenaan bagi memudahkan operasi berkenaan.
Sehingga kini masih belum dinyatakan kumpulan pengganas mana yang dikaitkan dengan LaRose namun pihak perisikan AS tetap mengaitkan dia sebagai tali barut kumpulan pengganas.
Tindakan
Bagaimanapun bekas kekasihnya, Kurt Gorman, ketika diwawancara oleh CNN menyatakan dia tidak percaya LaRose melakukan tindakan tersebut. Menurutnya, selama mereka tinggal serumah, LaRose lebih banyak menghabiskan waktunya di rumah dan bermain permainan komputer dan bukannya melayari laman sesawang atau laman sosial lain.
Selain LaRose seorang lagi wanita AS Jamie Paulin-Ramirez, 31, turut ditahan kerana dikatakan mempunyai pertalian dalam perancangan tersebut. Ramirez adalah antara tujuh orang yang ditahan di Ireland kerana disyaki terlibat dalam komplot pengganas antarabangsa.
Polis Ireland berkata antara suspek yang ditahan di Ireland ialah seorang lelaki Algeria yang menjadi orang utama dihubungi oleh LaRose selain dua warga Algeria, seorang rakyat Croatia, seorang dari Palestin dan seorang warga Libya.
Ramirez telah mengumumkan dia memeluk agama Islam pada 11 September tahun lepas sebelum meninggalkan rumahnya di pekan Leadville, Colorado untuk mengahwini seorang lelaki Islam di New York yang dikenali melalui laman web.
Akhbar Wall Street Journal (WSJ) yang menemu bual ibu Ramirez, Christine Holcomb di Colorado melaporkan ibunya benar-benar terkejut dengan penglibatan anaknya itu.
“Saya marah dengan dia sekarang, saya rasa macam hendak mencekik dia. Namun saya juga risau mengenai dirinya, saya sayang dengan anak saya,” kata Holcomb.
Melihat kepada peristiwa ini pastinya ramai yang akan berpandangan bahawa pihak pengganas semakin bijak mengeksploitasi wanita Barat untuk tujuan keganasan. Dengan kelebihan wanita sebegini yang berambut perang, berwarna biru dan paling penting berasal dari Barat, mereka pasti dilihat memudahkan urusan yang sebelum ini terhalang seperti membekal bahan letupan mahupun membawa dokumen penting. Pastinya pergerakan mereka lebih bebas dan tidak terbatas seperti orang Islam lain yang kini berdepan dengan pelbagai halangan terutama ketika pemeriksaan di lapangan terbang.
Namun ia juga dilihat sebagai satu lagi usaha untuk memburuk-burukkan Islam apatah lagi di kalangan wanita Barat semakin ramai mereka mula tertarik dengan Islam. Jika benar JihadJane terlibat dalam komplot merancang keganasan pastinya ia satu kesilapan akibat dari dakyah songsang oleh mereka yang menyeleweng dari ajaran Islam. Ini kerana Islam tidak pernah mengajar dan menyuruh umatnya bertindak ganas. Tapi dalam soal lukisan kartun yang menghina Nabi Muhammad SAW oleh kartunis Sweden, pastinya provokasi sebegini mampu meningkatkan kemarahan di kalangan kita.
Peristiwa ini pastinya membuatkan kita semakin mual dengan tindak-tanduk Barat terhadap Islam. Apa saja mengenai Islam pastinya penilaian yang diberikan oleh Barat adalah sangat negatif. Itulah gambaran Barat terhadap Islam sejak sekian lama dan ia semakin memburuk selepas peristiwa 11 September 2001.
Apa sahaja yang berkaitan dengan Islam akan dikategorikan sebagai salah dan buruk. Mereka akan sentiasa melabel Islam sebagai agama yang radikal dan ketinggalan zaman hanya kerana kita tidak mahu mengikut kehendak perubahan dan kemajuan yang ditaja mereka.
Mengambil contoh pengharaman pemakaian purdah bagi wanita Islam oleh kerajaan Perancis ia akhirnya akan dilabel sebagai bertentangan dengan hak asasi manusia walaupun hakikatnya ia adalah hak bagi wanita berkenaan untuk memakainya.
Nampak sangat hak asasi yang diuar-uarkan Barat hanya umpama senjata kepada Barat untuk melarang sesuatu yang bertentangan dengan kehendak mereka. Tapi jika wanita itu mahu berpakaian menjolok mata atau pun sehingga ke tahap berbogel sekalipun semua itu dibenar malah akan dipertahankan semata-mata kerana ia selari dengan hak asasi manusia. Itulah double standart yang diamalkan oleh Barat setiap kali ia melibatkan Islam. Sampai bila perkara ini akan berterusan hanya mereka yang boleh menentukan itupun jika mereka mahu berubah. Namun ini tidak bermaksud kita perlu terpengaruh dengan provokasi mereka yang akhirnya jika terlalu terikut-ikut hanya akan memudaratkan dan merendahkan martabat diri.
sumber: Utusan Malaysia
Putar alam
Manakan tidak, dalam pendedahannya itu, Anwar mendakwa Yang di-Pertuan Agong memperkenankan beliau sebagai Perdana Menteri jika rancangan 16 September menjadi kenyataan.
Anwar turut mengaitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyokong beliau ketika itu. Bekas Panglima ATM, Abdul Aziz Zainal menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai taktik kotor Anwar.
Berbohong apatah lagi menjaja nama Yang di-Pertuan Agong dan ATM adalah sesuatu yang amat serius. Kerana mengejar tampuk kuasa, Anwar sanggup berbuat apa sahaja. Ia tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang yang bergelar pemimpin. Kalau di negara Barat, pemimpin yang berbohong ditolak mudah oleh rakyat. Pemimpin mesti berintegriti.
Tetapi Awang tidak terkejut dengan pendedahan itu. Cerita-cerita sebegitu, telah lama Awang dengar daripada rakan-rakan seperjuangan Anwar dalam PKR yang bertindak meninggalkan beliau.
Menurut mereka, Anwar seorang putar alam atau bermaksud suka berbohong. Salah seorang daripada puluhan bekas pemimpin PKR yang tahu sangat perihal Anwar ialah S. Nalakaruppan. Beliau tahu hal luar dan dalam tentang Anwar. Bertanyalah juga kepada Ezam Mohd. Noor, Anuar Shaari dan ramai lagi tentang pembohongan serta pembawaan bahaya Anwar.
Banyak persoalan berlegar tentang beliau, kata mereka. Ada tertanya-tanya tentang kekayaan Anwar selain musykil pihak manakah yang membiayai aktiviti parti. Ada pula yang musykil pendirian Anwar berkaitan gejala seks sejenis.
Orang yang putar alam, sangat licik dan tidak mudah mengalah. Agama dan bangsa juga sanggup dipertaruhkan. Jika melakukan kesalahan besar termasuk dari segi moral, dia akan memperlihatkan seolah-olah dia adalah mangsa. Kajilah sejarah para pemimpin dan personaliti yang putar alam. Mereka mungkin 'berjaya' buat seketika tetapi semuanya berakhir dengan penghinaan yang amat dahsyat pada kaca mata masyarakat.
Dalam pendedahan Zahrain, nampaknya penjelasan dan jawapan Anwar mengenai hal itu tidak menyakinkan. Malah Zahrain mencabar wakil rakyat PKR bersumpah menafikan ketua pembangkang itu banyak berbohong ketika menggerakkan misi 16 September.
Awang tidak fikir mereka akan bersumpah kerana takut ditimpa bala kerana apa yang dikatakan oleh Zahrain memang benar. (Beberapa wakil rakyat BN yang cuba dipancing oleh Anwar turut mengesahkan perkara itu termasuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi dan Lajim Ukin.) Untuk mengharapkan Anwar bersumpah, beliau pasti tidak berani. Sama keadaannya keengganan beliau bersumpah laknat atau muhabalah sebagaimana dilakukan oleh Saiful Azlan Bukhari yang mendakwa diliwat oleh Anwar.
Terbaru, beliau berada di London dengan terus memfitnah UMNO bersikap rasis dan menjadi punca kepada ketegangan agama serta kaum. Khabarnya, Anwar akan menemui beberapa pihak dan pemimpin termasuk bekas Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Al Gore bagi mendapat simpati dan campur tangan bagi kes mahkamahnya. (Sejak dipecat daripada kerajaan lebih 10 tahun lalu, beliau sentiasa menagih sokongan luar kononnya atas nama demokrasi dan kebebasan).
Kini, Anwar sedar bukti pasukan pendakwaan kuat. Peluang untuk beliau menang di mahkamah agak sukar. Apatah lagi sokongan rakyat terhadapnya berkaitan kes tersebut, merudum teruk. Rakyat tidak mahu lagi terheret dengan isu moralnya. Ternyata Anwar makin terdesak. Kegiatan lobi beliau di luar negara diperhebatkan termasuk menerusi rakannya seperti Raja Petra Raja Kamaruddin yang kini bersembunyi di United Kingdom. Anwar turut mendapat khidmat nasihat strategis dari Amerika Syarikat (AS) berketurunan Pakistan, Aasil Kazi Ahmad. Aasil juga telah meninggalkan Malaysia, baru-baru ini apabila kegiatan beliau diketahui.
Awang sedih, tidak pernah berlaku dalam sejarah moden negara, ada pemimpin yang ghairah mendapatkan campur tangan luar bagi tujuan survival politik. Maka Awang boleh faham mengapa ramai yang melihat Anwar sebagai pengkhianat. Cabarannya apa lagi yang kita tidak tahu, yang perlakuan pengkhianatan itu mungkin lebih besar.
Orang seperti Anwar tidak kisah jika negaranya hancur sekalipun, asalkan matlamatnya tercapai. Menyelamatkan diri daripada kes salah laku seksnya adalah misi utama. Sebab itu, beliau tiada keberanian untuk bersumpah demi kebenaran.
Siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama mencuri. Anwar telahpun mencuri harga diri rakyat serta kedaulatan negara.
Persoalannya mahukah kita merelakan seorang putar alam dan menghadapi krisis moral terus diangkat menjadi pemimpin? Nauzubillahsumber: Utusan Malaysia
Anwar licik perguna nama pemimpin BN kecewa
Oleh Ahmad Naim Tahir
ahmadnaim@bharian.com.my
2010/03/21
Pendedahan oleh Ahli Parlimen Bayan Baru bukti penipuan, taktik kotor penasihat PKR
ISNIN lalu, ketika Dewan Rakyat kembali bersidang untuk Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-12, semua mata bertumpu kepada empat bekas Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bertukar status mereka sebagai wakil rakyat Bebas.
Setiap seorang mempunyai kisah tersendiri di sebalik pertukaran status itu, tiga membuat keputusan keluar parti dan seorang lagi dipecat, tetapi perubahan status tidak menghalang mereka daripada duduk selesa di kerusi masing-masing di Blok F.
Dua hari selepas itu, tiba giliran wakil pertama kumpulan Ahli Parlimen Bebas untuk membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, lalu kelihatan sesusuk tubuh besar bangun bersiap untuk memulakan perbahasannya. Kelibat lelaki bercermin mata dan bersuara garau itu memang ditunggu-tunggu kerana beliau ialah Datuk Seri Mohamed Zahrain Hashim, Ahli Parlimen Bayan Baru merangkap orang kuat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meninggalkan PKR kerana kecewa dengan apa yang berlaku dalam parti itu.
Suasana dalam Dewan Rakyat yang dingin menjadi ‘panas’ apabila Zahrain mula membicarakan perangai bekas ‘bosnya’, satu demi satu ‘peluru’ dilepaskan sehinggakan Anwar membuat keputusan meninggalkan Dewan.
Jika ramai menganggap pendedahan Zahrain mengenai Rancangan 16 September 2008 – pelan tidak menjadi yang dirancang Penasihat PKR untuk menawan Putrajaya – sebagai menggemparkan, sebenarnya ada kisah lebih gempar didedahkan Ahli Parlimen Bayan Baru itu keesokannya.
Lapan nama Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) disebutnya diumpan pembangkang bagi menjayakan rancangan 16 September itu, menggemparkan kerana beberapa nama penting turut berada dalam senarai itu seperti Tengku Razaleigh Hamzah, Dr Mohd Puad Zarkashi dan Datuk Seri Anifah Aman.
"Dengan tegas dan tanpa ada riak getar pada suaranya, Zahrain menegaskan nama Ahli Parlimen BN yang didedahkan itu sebenarnya datang daripada mulut Anwar sendiri yang memaklumkan demikian kepada beliau dan pemimpin PKR lain”
Turut disenaraikannya ialah Datuk Bung Moktar Radin (Kinabatangan); Datuk Seri Abdul Ghafur Salleh (Kalabakan), Datuk Seri Tengku Azlan Abu Bakar (Jerantut), Datuk Chua Sooi Bui (Tawau) dan Datuk Eric Majimbun (Sepanggar) yang menjadi wakil rakyat Bebas selepas Parti Maju Sabah (SAPP) keluar BN pada 17 September 2008.
Tumpuan kemudian beralih kepada lapan individu itu, apa reaksi mereka terhadap pendedahan yang dibuat Zahrain. Ada yang menjawab, ada juga membisu dan ada yang memberi tarikh tertentu untuk menceritakan apa sebenarnya yang berlaku.
Mohd Puad yang juga Timbalan Menteri Pelajaran dipujuk menandatangani surat menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri yang kononnya bakal dipersembahkan kepada Tuanku Mizan.
Sambil mengakui itu bukan kali pertama beliau dipujuk, Ahli Parlimen Batu Pahat itu bersyukur kerana diberikan hidayah Allah untuk memilih keputusan terbaik selepas melakukan solat sunat Istikharah.
Namun, Tengku Razaleigh menyifatkan senarai Anwar itu adalah cerita dongeng atau gosip politik semata-mata – atau dalam erti lain, penipuan.
Zahrain mempertahankan tindakannya, malah berani bersumpah dan mencabar pemimpin PKR lain supaya membuat kenyataan bahawa pendedahannya berhubung rancangan ‘16 September’ itu adalah satu pembohongan.
Dengan tegas dan tanpa ada riak getar pada suaranya, beliau menegaskan nama Ahli Parlimen BN yang didedahkan itu sebenarnya datang daripada mulut Anwar sendiri yang memaklumkan demikian kepada beliau dan pemimpin PKR lain.
“Saya hanya mendedahkan apa yang diberitahu Anwar,” katanya.
Mohd Puad yakin Zahrain tidak berbohong kerana perbualannya dengan Anwar juga diketahui oleh Ahli Parlimen Bayan Baru itu dan percaya ia didedahkan oleh Penasihat PKR itu.
Sambil mengakui terkejut namanya disebut kerana tidak pernah memaklumkan kepada mana-mana pihak berhubung tawaran diterimanya, Ketua Umno Bahagian Batu Pahat itu berkata, pendedahan Zahrain sewajarnya dibalas dengan ucapan terima kasih.
“Dia berjaya membongkar rahsia penting mengenai penipuan dan taktik kotor Anwar yang bukan saja menipu rakyat, tetapi juga pemimpin PKR sehingga menyebabkan empat Ahli Parlimen parti itu bertindak keluar parti.
“Zahrain tidak berbohong, sebaliknya yang berbohong adalah Anwar yang licik meyakinkan pemimpin lain bahawa beliau mampu menumbangkan kerajaan BN dan menjadi Perdana Menteri,” katanya.
Beliau juga yakin Anwar turut mengambil kesempatan menggunakan nama Tengku Razaleigh kerana pemimpin itu pernah mengadakan pertemuan dengan Ahli Parlimen BN yang tidak berpuas hati dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Nama Anifah pula digunakan kerana semata-mata Menteri Luar itu tidak puas hati dengan layanan kerajaan terhadap Ahli Parlimen BN di Sabah dan Sarawak, manakala Ghapur kerana pemimpin itu menolak jawatan Timbalan Menteri.
sumber: Berita Harian