Rabu, 10 Mac 2010

PKR hampir ulangi sejarah kegagalan parti serpihan

Oleh: IMLAN ADABI

Kemelut dalaman, isu moral, agenda perjuangan Anwar semakin gugat keyakinan rakyat

DATUK Seri Anwar Ibrahim terpaksa mengakui secara terbuka Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini dilanda masalah, selepas merayakan kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum, 8 Mac 2008.

Jika dua tahun lalu beliau dengan lantang menyuarakan projek 16 September untuk menawan Putrajaya, kini Ketua Umum PKR itu mengakui keadaan sudah berubah dan parti serpihan Umno itu berdepan pelbagai kemelut dalaman yang boleh menggugat keyakinan rakyat.

"Ini masalah kita, ada pengajaran juga... sekarang ini Keadilan (PKR) menghadapi masalah sedikit, tetapi pengajaran yang baik," katanya ketika menyampaikan ceramah politik di Pulau Gadong, Melaka, minggu lalu.


Beliau terpaksa berkata demikian kerana tiga anggota Parlimennya � Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bayan Baru), Tan Tee Beng (Nibong Tebal) dan Mohsin Fadzil Samsuri (Bagan Serai) mengumumkan keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas. Pada 2009, dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR dan seorang DAP meninggalkan parti masing-masing menyebabkan pakatan pembangkang hilang kuasa di Perak.

Sabtu lalu pula, PKR bertindak memecat Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin kerana dikatakan melanggar dasar parti. Beberapa lagi Ahli Parlimen dan Adun dijangka bertindak keluar parti dengan pelbagai alasan.

Tindakan mereka tidak memeranjatkan kerana sebagai pertubuhan siasah yang baru, PKR belum mantap, sama ada dari segi ideologi, pengurusan kepartian dan kekuatan mental ahli berbanding apa dimiliki Umno, Pas dan DAP yang menjadi tunjang sistem berparti di negara ini.

Kemelut yang berlaku dalam PKR juga adalah ulangan dalam sejarah parti serpihan yang wujud di negara ini. PKR, seperti juga Parti Negara dan Semangat 46 adalah parti serpihan Umno, yang wujud selepas pemimpinnya tidak sebulu dengan pemimpin parti asalnya.

Parti Negara ditubuhkan beberapa bulan sebelum pilihan raya pertama negara pada 1955 oleh Datuk Onn Jaafar kerana bercanggah pendapat dalam isu menuntut kemerdekaan dari Britain. Parti Negara gagal mendapat perhatian rakyat kerana Umno yang diterajui Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj berjaya menyatupadukan � gabungan Umno, MCA dan MIC yang mewakili penduduk pelbagai kaum.

Semangat 46 pula ditubuhkan oleh Tengku Razaleigh Hamzah sebagai reaksi pengharaman Umno pada 1988. Matlamat perjuangannya untuk memulihkan Umno asal dibatalkan kewujudannya selepas pertandingan jawatan Presiden Umno antara Tengku Razaleigh dan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1987.

PKR ditubuhkan pada 1999 ekoran hukuman penjara terhadap Anwar yang dikaitkan dengan isu salah laku dan moral. PKR tidak mempunyai agenda besar selain perjuangan untuk membela nasib Anwar yang dikatakan teraniaya.

Justeru, dengan lantang, PKR muncul bersama slogan menuntut keadilan, membanteras gejala rasuah, menentang salah guna kuasa dan pencabulan sistem kehakiman negara. PKR juga dengan bangga mendabik dada sebagai jaguh pelbagai kaum. Keahliannya dibuka kepada semua kaum. Dasar parti pula dikaitkan dengan hak sama rata tanpa batasan agama dan bangsa.

Perjuangan PKR yang diyakini suci berjaya menarik perhatian ramai pada 2008 ketika Umno diterajui pimpinan lemah ketika itu. Isu kaum, demokrasi, hak sama rata ekonomi menyebabkan timbul cadangan menghapuskan Dasar Ekonomi Baru yang dikatakan menguntungkan segelintir pembesar Melayu.

Anwar dan rakan mereka dalam pakatan pembangkang membuktikan suara pembangkang semakin jelas apabila menafikan kerusi dua pertiga Barisan Nasional (BN) di Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-12. Mereka juga menguasai Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Perak (kini Perak dikuasai semula BN).

Bagaimanapun PKR tetap sebuah parti serpihan yang sukar untuk meneruskan perjuangannya. Pelbagai masalah dalaman berlaku secara ketara. Isu moral bukan rahsia umum. Pemilihan calon pada pilihan raya umum lalu menimbulkan pertikaian. Jika Umno, Pas dan DAP memilih calon terbaik yang diyakini kesetiaan kepada parti, PKR pula memilih orang yang bukan sepatutnya.

Justeru, tidak menghairankan apabila barisan wakil rakyat PKR boleh dipertikai kewibawaannya. Ada bekas posmen, pesara tentera, juru gambar dan 'tauke demonstrasi' terpilih ke Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. Latar belakang politik mereka amat meragukan.

Sejarah parti serpihan berulang di atas paksi sama. Serpihan Pas seperti Berjasa dan Hamim hanya wujud seketika di atas pentas politik tanah air. Berjasa ditubuhkan oleh Datuk Muhammad Nasir dan Datuk Wan Hashim Ahmad ekoran krisis politik di Kelantan pada 1977. Hamim pula muncul selepas bekas Presiden Pas, Tan Sri Asri Muda tidak sebulu dengan ahli parti pimpinannya dan menubuhkan pertubuhan siasah baru. Kedua-dua parti itu hanya muncul tiga kali pilihan raya umum dan kemudian lenyap ditelan waktu.

DAP juga tidak terkecuali menerbitkan parti serpihan sendiri iaitu Socialist Democratic Party (SDP) pimpinan bekas Ahli Parlimen Menglembu, Fan Yew Teng. Krisis dalaman parti itu tiga dekad lalu tidak menggugat pimpinan Lim Kit Siang dan DAP. Yang lebur adalah parti serpihannya. Begitu juga di Sabah apabila Berjaya yang ditubuhkan oleh Datuk Haris Salleh hanya muncul seketika untuk menggantikan Usno. Kini kedua-duanya lenyap dan Umno bertapak kukuh di Negeri di Bawah Bayu itu.

Hampir semua parti serpihan berkubur tanpa pusara. PKR juga bakal mengulangi drama yang sama jika sindrom melompat parti gagal dibendung. Dalam hal ini, Anwar bukan sekadar memerlukan kemahiran berpidato, juga kemahiran untuk meyakinkan ahli mengenai perjuangan parti.

Parti yang tanpa sokongan ibarat kopi O tanpa gula. Ia akan pahit dan terus menjadi igauan dalam sejarah politik tanah air. Apakah Anwar juga bakal tercatat dalam sejarah sebagai bekas Timbalan Perdana Menteri yang terus kempunan menuju cita-cita siasahnya? Apakah sejarah Parti Negara, Semangat 46, SDP, Berjasa, Hamim dan Berjaya bakal berulang sekali lagi?

sumber: Berita Harian

Selasa, 9 Mac 2010

Dua tahun selepas ‘tsunami politik’ 2008

HARI ini 8 Mac 2010 genap dua tahun ‘tsunami politik’ melanda negara. Seperti tsunami yang melanda Aceh yang tempiasnya dirasai di beberapa negeri di Malaysia pada 2004, gegaran tsunami politik 8 Mac 2008 masih dirasai.

Ada beberapa ‘gegaran kecil’ yang melanda sehingga sekarang. Pertamanya tentulah gegaran di Perak sehingga BN kembali berkuasa selepas kerajaan DAP-Pas-PKR memerintah negeri itu selama hampir setahun tumbang. Ini diikuti baru-baru ini gelombang yang melanda Parti Keadilan Rakyat (PKR) apabila pemimpin, wakil rakyat dan ahli-ahli PKR pakat keluar ramai-ramai. Mereka termasuklah bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang I, Mohammad Fairus Khairuddin yang sebelum ini meletak jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Penanti. Beliau akhirnya memilih UMNO. PKR juga kehilangan empat wakil rakyat di peringkat Parlimen apabila tiga daripadanya meninggalkan parti itu untuk menjadi ahli Bebas sementara seorang lagi dipecat. Gegaran juga melanda MCA apabila sebahagian besar ahli jawatankuasa pusat (CWC) meletak jawatan bagi membolehkan satu pemilihan baru diadakan pada 28 Mac ini. Begitu juga dengan PPP yang telah mewujudkan dua kumpulan yang masing-masing mendakwa sebagai pemimpin parti itu.

Tetapi yang menariknya tentulah gegaran yang ‘menggoncang’ PKR.

Namun bukan soal keluar parti dan letak jawatan yang menjadi perhatian kerana perkara itu adalah biasa seperti dakwa pemimpin PKR dan rakan-rakan pembangkang. Kata mereka, perkara ini juga berlaku dalam UMNO dan Pas. Tetapi reaksi daripada mereka yang menganggap sebagai perkara biasa pula menjadi luar biasa. Jika dulu seorang dua keluar parti, mereka berkata, tersalah pilih calon yang tidak ‘kuat’ kerana ketika itu parti baru tercari-cari calon yang sesuai. Bak kata orang ketika itu sebagai tangkap muat, mana yang sempat dijadikan calon. Asal dapat menumbangkan Barisan Nasional (BN). Tentunya ketika menang, mereka inilah yang terbaik. Tetapi kini selepas jumlah yang keluar bertambah hari demi hari, maka alasan lain pula dicari. Serangan peribadi dilontarkan termasuk oleh rakan-rakan mereka dalam DAP dan Pas.

Seorang pemimpin kanan Pas pula berkata, mereka yang meninggalkan parti itu sudah masuk ke dalam tong sampah dan najis...busuk lagi membusukkan. Tetapi kata seorang sahabat, sampah dan najis sekarang pun boleh dikitar semula sehingga menjadi bahan yang lebih berguna daripada najis malahan digunakan pula oleh puak-puak yang menghina najis ini. Ada pula yang kata, mereka ini menjadi beban kepada parti dan macam-macam lagi asakan bagi menutup kelemahan sendiri. Hentikanlah perbuatan kelentong rakyat.

Mereka lupa seketika apabila keghairahan pimpinan pakatan pembangkang yang diterajui penasihatnya, Anwar Ibrahim menguar-uarkan akan menawan Putrajaya pada 16 September 2008. Ketika Kabinet bayangan tersebar luas, mereka lupa seketika dari mana akan datang sejumlah kerusi tambahan untuk membentuk kerajaan kalau tidak lompat parti. Ketika itu mereka yang dikatakan akan melompat kepada pakatan pembangkang tentunya bagaikan intan berlian yang bernilai tinggi bukannya sampah atau najis terbuang.

Satu lagi sikap luar biasa pembangkang ialah ketika mereka menganggap pemimpin keluar parti sebagai perkara biasa tetapi pada masa yang sama mereka mendesak pula wakil rakyat berkenaan meletak jawatan. Ada juga yang mahu sembahyang hajat. Mereka yang keluar parti itu juga dianggap pengkhianat. Begitulah sikap mereka yang hanya mementingkan politik parti sendiri. Seperti yang pernah ditulis di ruangan ini tidak lama dulu, apa yang mereka lakukan tidak boleh dilakukan oleh orang lain. Kalau mereka buat perkara itu walaupun salah hukumnya `halal’ tetapi kalau orang lain buat, itu `haram’. Tentunya masih ramai yang ingat bagaimana reaksi pemimpin pembangkang apabila ADUN Bota dari BN, Nasaruddin Hashim meninggalkan UMNO buat seketika untuk menyertai PKR.

Ketika itu berkatalah Menteri Besar Perak, Mohammad Nizar Jamaluddin yang meminta semua pihak termasuk pemimpin UMNO menghormati pendirian Nasaruddin untuk ‘berhijrah’.

‘‘Saya mengalu-ngalukan tindakan bijak ADUN Bota untuk sama-sama memajukan Negeri Perak,’’ begitulah manisnya kata-kata aluan menyambut wakil rakyat itu. Dan ketika ditanya sama ada perlu pilihan raya kecil, Nizar menjawab mengikut peruntukan undang-undang ianya tidak perlu kerana Nasaruddin tidak meletakkan jawatan dari menjadi ADUN.

Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat pula berkata, ‘penghijrahan’ ADUN Bota itu sebagai hukuman terhadap pemimpin UMNO yang mengecam Menteri Besar Perak selama ini.

Sambil melahirkan rasa terharu dan bersyukur, beliau berkata, fenomena ini memberi tamparan hebat kepada UMNO dan BN

‘‘Sekiranya sebelum ini angin perubahan telah berlaku kepada rakyat sehingga BN kalah teruk dalam pilihan raya umum lalu namun perkara yang sama turut berjangkit di kalangan ADUN. Perkembangan ini amat membanggakan kita dan sewajarnya kita perlu bersyukur kepada Allah di atas kurniaan yang amat besar ini,’’ kata Nik Abdul Aziz. Begitulah sambutan mesra yang diberikan apabila orang BN menyertai mereka.

Sebaliknya apabila orang PKR letak jawatan dan dipecat - tidak menyertai BN - lain pula jadinya. Mereka menuduh BN jadi dalang. Mereka ini digelar sebagai pengkhianat dan macam-macam lagi. Begitulah nasib malang orang yang tidak menyebelahi mereka.

Sebenarnya sesuatu yang baik ada ketikanya tidak perlu dicari sebaliknya dia akan datang sendiri.

Tidak perlu menjelajah sehingga ke pelosok dunia untuk mencari kerusi bagi membentuk kerajaan.

Justeru, terimalah hakikat, jika kita tidak elok, orang akan tinggalkan kita dan mencari tempat lain untuk bergantung. Dalam politik kadang-kala amat sedikit yang mempunyai semangat juang yang tinggi untuk agama bangsa dan negara. Mereka ini lebih melihat kepada peluang untuk menikmati harta rampasan perang. Inilah yang menjadi kemusnahan kepada tentera Islam dalam perang Uhud apabila mereka tewas kerana mahu mengutip harta tinggalan perang. Semoga kisah ini menjadi teladan semua.


sumber: Utusan Malaysia

Selasa, 16 Februari 2010

Dunia hilang minat terhadap minyak?


Peningkatan bilangan kenderaan yang lebih efisien, seperti kereta hibrid, dapat mengurangkan penggunaan minyak. – AP


LONDON 15 Feb. – Dunia mungkin akan hilang minat terhadap minyak mentah sebelum kehabisan sumber tersebut, sekiranya trend di barat menjadi trend global.

Permintaan minyak mentah mungkin telah sampai ke kemuncak di negara-negara maju, kata Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), mengurangkan lagi sebarang tekanan bekalan.

Namun negara-negara membangun masih memerlukan minyak mentah, kata IEA.

Lebih banyak kenderaan efisien dan peningkatan penggunaan tenaga elektrik dan gas berbanding minyak bagi segmen selain pengangkutan seperti pemanasan telah membantu mengurangkan permintaan minyak mentah di barat.

Kemelesetan ekonomi juga memainkan peranan dalam pengurangan permintaan minyak mentah.

Sebelum krisis ekonomi, Eropah Barat dan Jepun telah menunjukkan pengurangan dalam permintaan minyak mentah, tetapi Amerika Syarikat (AS) mengekalkan pertumbuhan kukuh ekoran perkembangan ekonomi dan fokus yang kurang kepada penyimpanan.

Kemelesetan ekonomi dan penggunaan sumber alternatif seperti gas asli dan arang batu mengurangkan penggunaan minyak mentah dan lebih banyak kenderaan efisien dijual.

‘‘Risiko pemulihan dengan pengurangan minyak mentah, berpotensi menyokong teori permintaan Pertubuhan Pembangunan dan Kerjasama Ekonomi (OECD) telah berada di puncak,’’ kata IEA dalam laporan bulanannya.

Ahli-ahli OECD yang dipantau IEA, mewakili 53 peratus permintaan minyak mentah dunia pada tahun ini berbanding 54 peratus pada tahun lalu.

Sementara penggunaan minyak mentah di negara-negara ekonomi baru muncul selain permintaan mendatar OECD mengganggu pertumbuhan tersebut.

Pengeluar minyak mentah melakukan apa sahaja pada 2008, apabila harga minyak mentah mencecah paras tertinggi menghampiri AS$150 (RM514.50) setong.

‘‘Dengan permintaan minyak mentah memuncak di OECD, kita akan menunda kapasiti produktif semula seperti yang berlaku pada 2008,’’ kata Harry Tchilinguirian penganalisis BNP Paribas.

Permintaan minyak mentah dunia dijangka terus tumbuh pada tahun ini dan dalam masa terdekat, diketuai oleh China dan India.

Ini bermakna kekangan terhadap bekalan tidak akan tertangguh lama.

‘‘Kita hanya menunda untuk beberapa tahun, tetapi dalam masa yang sama adalah ketidaktentuan terhadap perkembangan polisi di negara-negara bukan OECD.

‘‘Di sini, kebergantungan terhadap reformasi harga, kecekapan tenaga terhadap kenderaan dan polisi kerajaan,’’ katanya.

Permintaan minyak mentah di OECD telah menjadi kurang sensitif kepada pertumbuhan ekonomi berbanding sebelum ini dan pertukaran penggunaan bahan api bermakna kesan yang kecil terhadap penggunaan minyak untuk tujuan pemanasan pada musim sejuk.

Permintaan OECD terhadap minyak untuk tujuan pemanasan akan jatuh pada suku pertama, walaupun berhadapan dengan cuaca sejuk melampau, menurut IEA yang mengatakan sumber seperti gas, tenaga boleh diperbaharui dan tenaga nuklear menjadi pilihan.

Trend mendatar permintaan OECD dan penggunaan tinggi di pasaran membangun juga mencadangkan permintaan minyak mentah bermusim pada masa hadapan.

‘‘Secara tradisi permintaan bermusim adalah pada musim panas dan sejuk,’’ kata penganalisis Societe Generale, Mike Wittner.

‘‘Dengan peningkatan berterusan di negara-negara bukan OECD, permintaan bermusim akan berkurang,’’ katanya. – Reuters

sumber: Utusan Malaysia

Isnin, 8 Februari 2010

Krisis lelaki pertengahan usia

Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@bharian.com.my




Perubahan fizikal, seksual mula dirasai pada usia 40 tahun

LELAKI dalam lingkungan usia 40 ke 60 tahun kerap dikaitkan dengan krisis pertengahan usia. Walaupun mungkin ada yang memandangnya dari sudut negatif, ia sebenarnya sebahagian proses kematangan normal.

Semua orang akan melalui detik perubahan emosi dalam hidup. Namun, bagaimana anda menangani perubahan itu yang akan mempengaruhi hidup. Ada lelaki yang berjaya mengharunginya dengan baik.

Bagaimanapun, tidak dinafikan bagi sesetengah lelaki, krisis pertengahan usia sangat merumitkan hingga membawa kepada tekanan perasaan atau mungkin perceraian.


Pakar Perunding Psikiatri Pusat Perubatan Universiti Malaya, Dr Muhamad Muhsin Ahmad Zahari, berkata jika wanita mengalami putus haid, lelaki pula kerap tersepit dalam permasalahan di usia pertengahan.

Ada penyelidik yang melihatnya sebagai andropaus, namun bagi Dr Muhsin ia sebenarnya lebih kepada keupayaan seseorang lelaki itu untuk menangani masalah yang dihadapinya.

Dr Muhamad Muhsin

“Perkara paling asas ialah menjaga pemakanan dan bersenam, selain berada dalam persekitaran yang positif,” katanya.

Kata Dr Muhsin, lelaki dengan emosi yang tidak stabil mula berfikiran negatif, membandingkan kejayaan dirinya dengan rakan, sekali gus memberi tekanan dan mula berasakan kehidupannya akan berakhir tanpa sebarang pencapaian.

Keadaan ini diburukkan lagi dengan perubahan hormon yang mempengaruhi bukan saja fizikal tetapi keinginan seksual dan dihimpit permasalahan peribadi dengan pasangan.

“Hormon testosteron bukan saja mempengaruhi keinginan seksual, tetapi apabila parasnya menurun ia juga menjejaskan pemikiran dan tubuh badan,” katanya.

Dr Muhsin berkata, krisis pertengahan umur di kalangan lelaki juga boleh dilihat pada perubahan fisiologi. Menghampiri usia 40 tahun hormon testosteron menyebabkan perubahan fizikal yang boleh dilihat, antaranya jika dulu tegap tetapi sekarang sudah gemuk dan buncit. Fungsi seksual juga berkurangan sekali gus mempengaruhi sosiologi.

Perubahan biologi dilalui oleh semua orang lelaki dan wanita tetapi perubahan itu tidak sama. Ia berkait dengan isu paling asas, menjaga pemakanan dan mengawal berat badan dan berada dalam suasana persekitaran yang kondusif.

Ada kala tekanan perasaan pada pekerjaan ditambah dengan masalah kesihatan akan menyebabkan lelaki hilang kawalan dalam hidupnya. Ada juga lelaki yang berkeinginan memulakan hubungan baru kerana melihat kehidupan sosialnya yang semakin stabil dan anak-anak juga sudah meningkat dewasa.

Dr Muhsin berkata, lelaki yang berdepan dengan krisis pertengahan umur kerap tidak menyedari masalah sebenar. Isteri atau ahli keluarga yang rapat boleh membantunya. Perubahan sikap dan mood boleh memberi petunjuk masalah sebenar dialami.

Jika ia dikaitkan dengan masalah andropaus, ia perlu dirujuk kepada doktor. Mengambil terapi gantian hormon antara rawatan yang ditawarkan perubatan Barat. Namun, keupayaan mengawal diri, bersenam dan menjaga kesihatan adalah antara langkah paling asas dan utama.

INFO: Simptom lelaki alami krisis pertengahan usia

  • Berasakan tidak bahagia dengan hidupnya atau gaya hidupnya

  • Bosan dengan mereka yang berada di sekelilingnya dan bidang yang dulu menarik minatnya.

  • Mempersoalkan pilihan yang tidak dibuat dalam hidup dan mengapa mereka tidak memilih sebaliknya

  • Marah pada pasangan dan rasa terikat dengannya

  • Tidak berupaya membuat keputusan hala tuju hidup mereka

  • Keinginan menjalin perhubungan baru.
  • Sabtu, 6 Februari 2010

    Zambry melepasi ujian awal

    JIKA boleh diukur berdasarkan carta, Perak tentunya mengungguli kedudukan sepanjang tahun lalu apabila berlaku peristiwa-peristiwa menggemparkan membabitkan tindakan-tindakan politik luar biasa.

    Kekecohan perjalanan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menyaksikan pelbagai 'drama' dimainkan oleh parti pembangkang, adalah peristiwa besar yang berterusan mewarnai suasana tersebut.

    Ada yang melihat tindakan pembangkang itu sedikit sebanyak berjaya mempengaruhi sentimen rakyat apabila di peringkat awalnya, mereka turut terheret untuk melakukan tunjuk perasaan. Namun ramai yang berpendapat, usaha pihak terbabit hanya sebagai 'membuka pekung di dada' di mana akhirnya rakyat sendiri dapat menilai sikap dan perwatakan sebenar pembangkang.

    Hari ini, genap setahun Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir mengharungi segala cabaran dan dugaan sebagai Menteri Besar Perak. Apa yang pasti, tiada lagi berlaku tunjuk perasaan membabitkan rakyat menolak pentadbirannya.

    Malah, setiap kali turun padang untuk menyertai aktiviti kemasyarakatan, kehadiran Zambry disambut baik. Pelbagai perancangan ekonomi dan sosial dirancang sebaik mungkin demi memastikan janji-janji memenuhi kesejahteraan rakyat dicapai. Hakikatnya, walaupun diasak dengan pelbagai tuduhan serta tohmahan, Zambry tetap dengan sikapnya yang tenang dan sederhana.

    ''Tak kisah apa mereka nak cakap. Kalau layan, tak habis-habis. Saya nak buat kerja," antara kata-kata biasa yang diucapkan setiap kali diajukan pertanyaan tentang dakwaan-dakwaan pembangkang.

    Pun begitu, kesederhanaan Zambry bukan bermakna beliau menerima apa sahaja keadaan yang dilaluinya. Jika ia berkaitan dengan soal kerja, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor ini cukup tegas.

    ''Tempoh setahun sebenarnya sangat singkat untuk kita menilai kemampuan seseorang itu, apa pun Zambry berjaya meletakkan dirinya sebagai pemimpin masa depan," kata pakar politik, Prof. Dr. Mohamed Mustafa Ishak ketika dihubungi baru-baru ini.

    Kemampuan Zambry berdepan dan menerap segala tekanan politik di sekelilingnya, disifatkan sebagai suatu kemampuan yang luar biasa.

    ''Ini adalah krisis paling hebat dalam konteks Perak. Zambry telah buktikan tampil dengan gaya kepimpinan tersendiri. Nampak kebijaksanaan beliau yang bertenang menghadapi krisis," katanya.

    Pun begitu, kata Mohamed Mustafa, sebagai individu yang diangkat menjadi ketua dalam suasana berlaku krisis, tentunya Zambry tidak terlepas daripada berhadapan dengan masalah dalaman parti sendiri.

    ''Maknanya little Napolean yang masih wujud di beberapa tempat di Perak terutama di kalangan ketua bahagian UMNO sendiri. Mereka patut sedar, masa 'bermaharajalela' di tempat masing-masing sudah berlalu. UMNO sekarang tidak kuat lagi seperti dulu. Mereka mesti ikut rentak politik semasa," katanya.

    Keadaan itu, jika dibiar berlarutan, bukan sahaja akan menjejaskan kepimpinan kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi oleh UMNO malah menyukarkan usaha untuk menarik keyakinan rakyat.

    ''Apa yang berlaku pada 2008 sepatutnya menyedarkan para pemimpin Perak akibat perpecahan sesama sendiri. Mereka ini harus tampil membantu Zambry memperbaiki setiap kelemahan dan menjayakan aspirasi pucuk pimpinan," katanya.

    Walaupun Zambry dilihat berjaya mengharungi ujian fasa pertama pentadbirannya, namun ia seharusnya menjadi suatu anjakan untuk mencapai kejayaan lebih besar.

    sumber: Utusan Malaysia

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...