Rabu, 11 November 2009
Google disaman AS$500,000
Keputusan mahkamah di Sao Paulo itu disiarkan semalam dalam warta kerajaan negeri di Brazil.
Menurut keputusan itu, jumlah ganti rugi boleh dinaikkan kepada AS$700,000 (RM2.38 juta) kerana kes tersebut difailkan pada Julai 2006, dan Google mungkin dikenakan denda berjumlah AS$590 (RM2006) sehari sehinggalah laman yang merujuk kepada Barrichello dikeluarkan.
Orkut milik Google mempunyai ramai peminat di Brazil, sekalipun popularitinya merosot sedikit dengan adanya versi baru Facebook berbahasa Portugis.
Mahkamah Daerah Sao Paulo yang mendengar kes sivil itu memutuskan Google terbukti bertanggungjawab terhadap penyiaran profil palsu Barrichello kerana ia mengurus laman web berkenaan dan menetapkan peraturan bagi penggunaannya.
Menurut media tempatan, terdapat lebih 300 profil palsu atas nama Barrichello dalam Orkut.
Jumlah ganti rugi itu adalah yang terbesar pernah diluluskan oleh mahkamah kerana penyiaran profil web palsu dan fitnah di Internet.
sumber: Utusan
Selasa, 10 November 2009
Perkenalkan jalur lebar guna wayar elektrik
SEMENJAK pengumuman Bajet 2010 yang diumumkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini, rakyat semakin terdedah dengan persaingan sengit para penyedia kemudahan perkhidmatan Internet broadband. Kadang kala saya sekeluarga tergelak besar melihatkan pendekatan iklan mereka yang mencuit hati.
Saya baru sahaja meneliti laporan yang dikeluarkan oleh beberapa badan penyelidikan tersohor dunia berkenaan kesan daripada kemudahan Internet broadband terhadap sesebuah negara. Perincian kajian jelas membuktikan perkhidmatan Internet broadband ataupun jalur lebar ini nyata ada impak positif yang signifikan terhadap perkembangan ekonomi dan sosial sesebuah negara.
Dalam suatu perangkaan 2008 yang dikumpulkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), pengguna Internet berdaftar di rumah adalah 85 peratus tertumpu di kawasan bandar dan 15 peratus di kawasan luar bandar.
Kesan daripada itu, masyarakat 'urban' dilihat semakin mudah memperolehi maklumat semasa dan berita terkini. Akses kini tidak terhad hanya melalui komputer sahaja, tetapi juga melalui telefon bimbit dan PDA.
Potensi ekonomi perkhidmatan jalur lebar Internet memberi kesan keuntungan besar kepada syarikat dan individu ekoran daripada peningkatan produktiviti.
Bayangkan kemampuan manusia berlipat ganda gara-gara akses jalur lebar Internet. Jualan dan pendapatan meningkat, kos perniagaan dan sara hidup berkurang sementara masa untuk satu-satu transaksi pula disingkatkan. Rangkaian informasi serta ruang networking menjadi semakin luas secara 'menegak' mahupun 'melebar'.
Suatu kajian berkaitan telah dijalankan ke atas tiga negara yakni Bangladesh dengan jumlah penduduk seramai 150 juta orang (KDNK AS$513); Thailand yang mempunyai 62 juta orang penduduk (KDNK AS$4,099) dan Serbia dengan jumlah penduduk seramai 7.4 juta (KDNK AS$7,054).
Daripada bancian 100 responden yang dilakukan ke setiap negara tersebut, 10 orang di Bangladesh, 26 orang di Thailand manakala 42 orang di Serbia adalah pengguna Internet. Dan perkembangan pesat Serbia (selepas era peperangan Bosnia-Serbia 1990-an) daripada segi KDNK ini sebenarnya adalah ekoran fokus pelaburan ke atas Internet jalur lebar.
Dalam dunia maya perbankan pula, internet sudah membuktikan ia selamat dan murah. Infrastruktur perbankan Internet juga membantu kerajaan dalam menyediakan statistik penganalisisan dengan segera ke atas polisi-polisi mikro dan makro ekonomi.
Hasil ke atas pelaburan jalur lebar Internet juga, ia secara langsung membantu menambahkan peluang pekerjaan dan merancakkan lagi pertumbuhan inisiatif-inisiatif perniagaan baru berbentuk inovasi dan membuka peluang kerjaya untuk menyelesaikan masalah pengangguran negara.
Internet kini diiktiraf menjadi tulang belakang kepada ekonomi dunia. Ia bertindak sebagai katalis untuk meluaskan lagi rangkaian perniagaan, membantu secara langsung pertumbuhan perniagaan berkonsepkan 'penjenamaan'.
Dalam erti kata lain, merebut peluang ekonomi dalam perkhidmatan jalur lebar bukan sekadar memastikan akses kepada maklumat tidak terbatas kepada masyarakat, tetapi juga faktor penyumbang kepada kelestarian ekonomi negara.
Antara Mutu dan Masa Hadapan
Berdasarkan fakta-fakta di atas, kerajaan perlu mencari inisiatif untuk merancakkan lagi perkembangan penggunaan khidmat Internet jalur lebar negara. Salah satu pendekatan cepat untuk mencapai objektif ini dalam masa singkat adalah dengan memperkenalkan kemudahan broadband over powerline - di mana kemudahan Internet disediakan melalui wayar elektrik.
Dengan adanya kemudahan ini, perkhidmatan internet tersedia di setiap rumah seluruh Malaysia yang mempunyai bekalan elektrik yang dibekalkan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Sekiranya ini direalisasikan, maka aset berbilion ringgit yang dilaburkan TNB selama ini akhirnya digunakan dengan kapasiti maksimum dan memberikan pulangan balik kepada pelabur-pelabur TNB yang sebahagian besarnya adalah pemegang-pemegang Amanah Saham Nasional dan Amanah Saham Bumiputera (ASN & ASB), pencarum-pencarum KWSP dan ratus ribuan pemegang deposit Tabung Haji.
Persoalan yang belum terjawab adalah siapakah yang akan menjadi operator perkhidmatan broadband over powerline ini. Adakah ia akan melibatkan Celcom, Maxis, DiGi atau akan wujudnya pemain baru dalam pasaran?
Atau senario ini tidak akan berlaku kerana kerajaan telah berbelanja ratusan juta ringgit untuk membina rangkaian Internet yang asalnya dipegang MIMOS dan kini dimiliki oleh Telekom Malaysia Berhad (TM)?
Siapa pun yang bakal menjadi terajunya, kita berharap tidak akan wujud monopoli 'melampau' yang mengakibatkan mutu perkhidmatannya nanti sekadar 'boleh tahan'. Mestilah juga ada pemantauan kualiti secara serius.
Sekarang kita lihat, dengan adanya beberapa pemain semasa dalam industri broadband, wujud suatu persaingan sihat daripada aspek harga. Namun demikian, isu mutu pula dilihat masih menjadi perdebatan dan bicara sinis di kalangan para pengguna!
Kerajaan perlu sedar bahawa kehendak kepada mutu perkhidmatan Internet yang berkualiti kini sudah menjadi keperluan bagi setiap rakyat dan sesungguhnya ia mampu menjadi katalis trend positif pertumbuhan ekonomi Malaysia pada masa hadapan.
FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu & Pewaris Bangsa (ProWaris)
sumber: Utusan Malaysia
Sabtu, 7 November 2009
Institusi Diraja miliki keunikan tersendiri lantik Sultan
jamia@bharian.com.my
MALAYSIA, satu-satunya negara di dunia ini yang mempunyai sembilan Raja atau Sultan. Sistem Pemerintahan Raja Berdaulat itu juga dianggap sebagai lambang kesatuan, keharmonian dan keselamatan kepada seluruh rakyat. Walaupun institusi beraja di negara ini sudah wujud sejak berabad lalu, iaitu sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka, kewujudannya terus relevan sehingga sekarang dan sentimen orang Melayu terhadap Raja juga begitu kuat.
Selagi ada salasilah dan legasi Raja, alat kebesaran dan peraturan istiadat Diraja, perasaan hormat orang Melayu tetap berada pada tahap tertinggi. Raja, khususnya Yang di-Pertuan Agong menjadi rujukan terpenting apabila berlaku sebarang permasalahan rumit terutama membabitkan rakyat.
Justeru, tidak mustahil kerap kita lihat apabila rakyat tidak berpuas hati mengenai sesuatu perkara, rakyat akan berarak ke Istana. Umpamanya, isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dulu, ada kumpulan yang berarak ke Istana Negara untuk meminta Yang di-Pertuan Agong masuk campur kerana mempunyai pengaruh kuat.
Kerana pengaruh kuat dan lambang Raja itu tinggi pada mata masyarakat, maka rakyat pasti sentiasa ingin tahu mengenai perkembangan institusi berkenaan termasuk dari segi bagaimana pelantikan dibuat dan konflik antara kerabat terhadap perlantikan mereka.
Isu perebutan takhta oleh waris Sultan juga sebenarnya sudah wujud sejak zaman berzaman iaitu sebelum Tanah Melayu dijajah British. Perebutan takhta antara Raja Abdullah dan Raja Ismail di Perak, pergaduhan antara Datuk Bandar dan Datuk Kelana di Negeri Sembilan, peperangan antara Raja Mahdi dan Raja Abdullah di Selangor dan pertelingkahan antara pembesar dan Sultan Ahmad di Pahang antara yang dapat disaksikan.
Namun, dalam tradisi Melayu, sejak Kesultanan Melayu Melaka, elemen penting dalam pelantikan Raja adalah dikuasai oleh pembesar dengan ada anggota dewan dan Majlis yang memilih serta menentukan siapa Raja yang bakal memerintah negeri.
Pensyarah Jabatan Sejarah Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya (UM), Dr Ahmad Kamal Ariffin Mohd Rus, menjelaskan sebelum kedatangan British, isu pertelagahan atau konflik bagi pengganti takhta sebagai tampuk pemerintahan negeri kerap berlaku antara pewaris Sultan sehingga mengheret kepada perang saudara.
Lazimnya, puak yang bersengketa itu adalah membabitkan antara adik dan abang atau anak saudara yang tidak berpuas hati dengan pelantikan masing-masing.
“Pada zaman tradisional itu, isu pengganti Raja diselesaikan dengan peperangan apabila wujud rasa tidak puas hati. Pembesar berpecah dua dan anak Raja juga mempunyai anggota tentera sendiri yang mencetuskan peperangan antara sesama mereka bagi merebut takhta,” katanya.
Namun, selepas kedatangan British, penjajah itu yang berkuasa melantik siapa pengganti Raja sekali gus tidak lagi berlaku perang saudara.
Di Perak, contohnya, pada 1871, konflik membabitkan Sultan Abdullah dan Sultan Ismail dengan penyokongnya. Bermula ketika kemangkatan Sultan Ali, yang memerlukan Raja baru menggantikannya.
Mengikut adat penggantian di Perak, Raja Abdullah yang ketika itu adalah Raja Muda, tetapi ketika jenazah dimakamkan, Raja Abdullah dijemput untuk hadir ke upacara pemakamam, tetapi Raja Abdullah tidak hadir.
Bagaimanapun, mengikut adat Kesultanan Melayu, sebelum jenazah dimakamkan, perisytiharan pengganti perlu dibuat. Selepas sebulan tidak hadir, Pembesar termasuk Orang Besar Berempat, Ngah Ibrahim, kemudian berbincang dan bersetuju melantik Raja Bendahara, ketika itu Raja Ismail sebagai pengganti.
Berdasarkan kepada situasi itu, dapat dilihat wujud perlanggaran terhadap perlantikan itu, tetapi ia dilakukan kerana ada sebab tertentu.
Bagaimanapun, selepas 1948, situasi berubah apabila setiap negeri diarah menggubal dan mewujudkan Undang-Undang Tubuh. Di Johor sudah ada Undang-Undang Tubuh sejak 1895 lagi manakala Terengganu pada 1911 (kemudian diubah suai saja).
Ahmad Kamal Ariffin berkata, selepas Undang-undang Tubuh diwujudkan, tiada lagi pertelagahan kerana sudah ditentukan tarikh dan panduannya.
Dalam Undang-undang Tubuh itu, semua negeri mesti ada dewan masing-masing yang akan melantik siapa Raja. Jika di Perak dipanggil Dewan Negara; di Kelantan dan Terengganu (Jemaah Pangkuan Negeri), Selangor dan Johor (Dewan Diraja), Negeri Sembilan (Undang Luak).
Dalam Undang-undang Tubuh itu, boleh dikatakan semua negeri mesti ada Dewan Diraja. Dewan itu yang menentukan penentu siapa Raja, walaupun Raja yang memerintah itu ada pengaruh besar untuk beritahu dewan siapa yang patut dilantik.
Bagaimanapun, Dewan Diraja (di kalangan pembesar) mesti bermesyuarat terlebih dulu untuk mendapat persetujuan semua.
Mengikut tradisi pembesar adalah penentu. Tidak semestinya seseorang anak Sultan menjadi pewaris Sultan.
Sebagai contoh, di Negeri Sembilan, mereka ada Undang Luak (empat luak yang menentukan), iaitu Undang Luak Johol, Undang Luak Rembau, Undang Luak Seri Menanti dan Undang Luak Sungai Ujong.
“Undang-undang di Negeri Sembilan tidak pernah menyatakan Tengku Mahkota mesti menjadi Sultan, sebaliknya Undang Luak yang menentukan. Siapa yang memikat akan dipilih termasuk mengutamakan pelbagai kriteria yang patut ada sebagai Raja,” katanya.
Ahmad Kamal Ariffin menambah dalam tradisi Melayu, orang yang menjadi Sultan mesti ada syarat, iaitu mempunyai calon yang sesuai, pembesar, ada alat kebesaran yang menjadi lambang penentuan dalam pelantikan Sultan.
Alat kebesaran itu ketika ingin menabalkan Sultan, dia mempunyai alat kebesaran seperti gong dan keris sebagai lambang Raja yang sah dengan setiap negeri ada alat kebesaran masing-masing.
“Yang menjadikan seseorang itu Raja bukan dirinya, tetapi adalah institusinya. Institusi itu adalah adat, alat kebesaran dan pembesar. Pola pelakuan yang menjadikan beliau Raja. Ia tidak semesti anak Raja yang memerintah ketika itu, sebaliknya boleh jadi anak saudaranya, selagi ia kerabat Diraja,” katanya.
Dari segi konsep perlembagaan, rakyat tidak berhak mempertikai siapa yang bakal menjadi Raja dengan memberikan sepenuhnya Undang-Undang Tubuh untuk penentu siapa pengganti Raja.
Sesungguhnya institusi Diraja mempunyai keunikan tersendiri dengan Perak dan Negeri Sembilan dianggap paling unik dari segi penentu pelantikan Raja.
sumber: Berita Harian
Tidak wajar kaitkan taklik dengan lompat parti
Beliau berkata, hal berkaitan penceraian bukan perkara mainan kerana ia boleh membawa kemudaratan kepada keluarga yang tidak berdosa dan boleh dianggap satu penganiayaan serta zalim.
"Saya nasihatkan pihak yang mengeluarkan kenyataan seumpama itu untuk ambil perhatian, dibimbangi perkara berkenaan akan jadi satu bahan permainan oleh masyarakat pula nanti," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan sebuah akhbar hari ini bahawa wakil rakyat Pas dikatakan telah melafaz taklik menceraikan isteri masing-masing dengan talak tiga jika mereka melompat parti sebagai tanda kesetiaan terhadap parti.
Jamil Khir berkata, menurut Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ke-71, cadangan memasukkan lafaz taklik sekiranya suami ingin berpoligami tidak perlu dilaksanakan.
Katanya, berdasarkan perkara itu sudah tentu penggunaan taklik tidak sesuai dalam urusan berkaitan lompat atau keluar parti.
"Ia adalah alasan paling longggar, tidak relevan atau munasabah," katanya.
sumber: Berita Harian
Rabu, 4 November 2009
Toyota akan tinggalkan F1
TOKYO: Toyota Motor akan meninggalkan Formula Satu (F1) dalam usaha mengurangkan kos ketika syarikat automotif Jepun itu bertungkus lumus menghadapi kesan kegawatan ekonomi global, lapor akhbar Mainichi Shimbun hari ini.
"Toyota akan mengadakan mesyuarat luar biasa lembaga hari ini untuk membuat keputusan rasmi berhubung penarikan diri itu dan Presiden Akio Toyoda akan mengumumkannya pada satu sidang media di Tokyo," lapor akhbar itu tanpa menyatakan sumber berita itu.
Pengeluar terbesar kereta dunia itu enggan mengulas laporan berkenaan.
Akhbar itu melaporkan Toyota juga mungkin menimbang untuk menjual pasukan F1 itu.
Toyota menyertai F1 pada 2002 dan mengakhiri musim perlumbaan kali ini di tangga kelima dalam kategori pengeluar.
Jika penarikan diri Toyota disahkan, ini bermakna tiada syarikat Jepun terbabit dalam perlumbaan itu.
Honda sebelum ini menjual pasukan F1 selepas ia bertarung dengan kesan kegawatan ekonomi global. - AFP
sumber: Utusan Malaysia