Isnin, 3 Ogos 2009

Dari Minda Pengaran Berita Harian

Kebebasan bersuara bukan 'tiket' sertai perhimpunan haram

PERHIMPUNAN haram di ibu negara kelmarin yang kononnya untuk menekan kerajaan supaya memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) meninggalkan banyak pertanyaan. Apakah kaitan mereka yang terbabit dalam perhimpunan itu dengan ISA? Siapakah sebenarnya orang teraniaya yang mereka perjuangkan sedangkan ISA diwujudkan untuk menjaga ketenteraman awam. Adakah mereka yang ditahan di bawah akta itu ibu bapa atau keluarga mereka atau mereka langsung tidak mengenali pun mereka yang ditahan itu? Pihak berkuasa mempunyai alasan untuk menahan seseorang mengikut akta itu tanpa perlu menghebahkan alasan berbuat demikian, mungkin atas faktor keselamatan. Terikut-ikut dengan gelagat mereka yang berkepentingan, terutama bermotif politik, adalah tindakan yang kurang bijak. Perhimpunan anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Gabungan Mansuhkan ISA (GMI) dan pakatan pembangkang itu menimbul pelbagai kesan buruk. Selain kesesakan lalu lintas yang teruk, ramai peniaga mengalami kerugian.

Seperti diramalkan, perhimpunan ini tidak berjaya mencapai matlamatnya kerana pihak berkuasa akan bertindak menyuraikan mereka. Perlu diingat manakala golongan itu membantah ISA, masih ramai yang mahu ISA terus dikuatkuasakan kerana mereka tahu keamanan hari ini diperoleh daripada perlindungan undang-undang termasuk ISA. Polis terpaksa melakukan sesuatu kerana tidak mahu mereka melakukan perbuatan yang menjejaskan keselamatan seterusnya menjadi liar sehingga mencetuskan ketegangan. Tidak ada sesiapa pun boleh memberi jaminan bahawa perhimpunan itu diadakan dalam suasana aman. Dengan kata nista dan maki hamun, ia boleh menimbulkan keadaan di luar kawalan. Tambahan pula, tunjuk perasaan turut dianjurkan kumpulan menyokong ISA diketuai Majlis Gabungan NGO Pembela Negara (Magaran). Bagaimana pun, mereka bersurai selepas dinasihatkan polis. GMI dan pakatan pembangkang meneruskan bantahan menyebabkan polis terpaksa menyuraikan mereka dan menahan hampir 600 orang untuk siasatan. Sewajarnya pemimpin yang mewakili parti pembangkang bertanggungjawab terhadap apa yang terjadi kepada mereka yang terbabit dalam perhimpunan haram itu. Sukar difahami tindakan pengikut mereka ini kerana mereka sebenarnya tidak ada alasan kukuh untuk membantah ISA.

Jika selama ini mereka bebas bergerak ke mana-mana, ia adalah berikutan penguatkuasaan undang-undang. Sesiapa saja yang mempunyai kecenderungan melakukan perbuatan khianat atau subversif akan berfikir sedalam-dalamnya kerana tahu mereka boleh dikenakan tindakan mengikut ISA. Hanya mereka berniat melakukan kesalahan saja takut kepada ISA. Di Malaysia, kita menyokong sistem demokrasi melalui kebebasan bersuara. Namun, jika ia menjejaskan keselamatan dan hak orang lain untuk hidup harmoni, tindakan berkenaan wajar dihentikan. Banyak saluran lain boleh digunakan bagi mencapai matlamat yang mereka perjuangkan. Agak menghairankan, sebahagian besar yang memenuhi jalan raya adalah orang Melayu. Ia memberi kesan bahawa orang Melayulah yang bertelagah dengan kerajaan. Apakah yang kurang dalam hidup mereka hingga sanggup melakukan perbuatan bertentangan dengan undang-undang. Adalah lebih baik mereka menjadi jaguh dalam bidang lain daripada ditangkap kerana mengambil bahagian dalam perhimpunan haram.

- sumber Berita Harian

Demonstrasi jalanan gugat keharmonian negara

Oleh Manja Ismail
Berita Harian


TINDAKAN peserta perhimpunan haram cetus kekacauan serta jejas kegiatan ekonomi dan keamanan negara.

Sejarah buktikan sesuatu tuntutan, matlamat tak pernah berjaya dicapai menerusi tunjuk perasaan

SEORANG rakan petang kelmarin menelefon meluahkan kemarahannya kerana lebih dua jam terperangkap di Jalan Klang Lama menyebabkan beliau dan keluarga, yang mahu menghadiri kenduri kahwin di Kampung Pandan terpaksa berpatah balik ke Subang Jaya. Beliau mengambil jalan itu kerana mahu mengelak Lebuh Raya Persekutuan, yang menurut jangkaannya sesak berikutan banyak jalan ditutup ekoran demonstrasi membantah dan menyokong Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Akibatnya, beliau sekeluarga bukan saja tidak menghadiri majlis itu dan ketinggalan waktu Zuhur, tetapi terpaksa singgah mengisi perut di restoran mamak. Namun, bukan beliau saja yang terperangkap dalam kesesakan kelmarin apabila beberapa jalan masuk ke pusat bandar raya ditutup bagi menghalang demonstrasi itu. Antaranya Jalan Mahameru, Dataran Merdeka, Jalan Travers, Jalan Syed Putra, Jalan Kelapa Gading dan beberapa laluan sekitar Istana Negara termasuk penghujung Lebuh Raya Kuala Lumpur-Seremban berhampiran Sungai Besi.

Rakan itu masih bernasib baik kerana beliau hanya tidak dapat menghadiri kenduri dan terperangkap lebih dua jam saja. Beribu-ribu lagi warga kota, terutama yang mahu ke tempat kerja semalam terpaksa menghabiskan lebih lama daripada itu dalam kenderaan masing-masing bagi perjalanan yang hanya memakan masa 20 atau 30 minit. Itu belum termasuk mereka yang menggunakan perkhidmatan awam seperti bas, teksi dan LRT. Ramai terperangkap di tengah bandar raya apabila LRT Putra dan Star menghentikan sementara perkhidmatannya di stesen Masjid Jamek, Pasar Seni dan Bandaraya berikutan tunjuk perasaan itu. Bayangkan jika ada yang kecemasan seperti jatuh sakit, mahu bersalin atau paling ringan pun, terpaksa membuang air ketika terperangkap dalam kesesakan sedemikian. Begitu juga dengan peniaga di sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman daripada gedung beli-belah, kedai dan restoran sehinggalah pemilik gerai pasar hujung minggu yang terpaksa menanggung kerugian kerana tidak dapat berniaga.

Puncanya gara-gara ada yang percaya sesuatu tuntutan itu hanya dapat dicapai melalui demonstrasi sedemikian walaupun sejarah di negara ini membuktikan sebaliknya. Reaksi kepada rancangan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) bagi membantah undang-undang itu, Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) bersama Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) turut menganjurkan perhimpunan supaya ISA dikekalkan tetapi bersurai awal selepas diberi amaran oleh pihak berkuasa. Sehingga tengah malam semalam, 589 orang termasuk 44 remaja berusia bawah 18 tahun ditahan kerana menyertai perhimpunan haram itu. Polis juga menyiasat beberapa pemimpin pembangkang kerana disyaki mendalangi demonstrasi berkenaan.


Berdasarkan kehadiran sebahagian besar pemimpin parti Pakatan Rakyat (PR) kelmarin, perhimpunan dan perarakan GMI itu lebih bermotifkan politik daripada hasrat untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong. Jika hanya mahu menyerahkan memorandum ke Istana Negara, ia memadai untuk mereka pergi dengan beberapa kenderaan. Isu ISA juga bukan perkara baru kerana sebelum ini pun sudah ada cadangan malah daripada Perdana Menteri sendiri agar akta itu dikaji. Kerana itu, ada yang berpendapat demonstrasi kelmarin adalah strategi pembangkang untuk mengalih perhatian daripada beberapa isu yang mendedahkan kelemahan kerajaan PR seperti di Pulau Pinang dan Selangor, mendapat publisiti daripada media asing serta mencemarkan imej pentadbiran sekarang yang beberapa pembaharuannya dilihat mula memikat hati rakyat.

Bagaimanapun itu mungkin matlamat jangka pendek. Yang lebih membimbangkan jika demonstrasi seperti ini berterusan, kesan jangka panjangnya ialah pelabur asing mencari destinasi lain, manakala sektor pelancongan pasti terjejas. Apabila ini berlaku, kesannya kepada negara amat besar. Tanpa kehadiran pelaburan asing, tidak banyak projek pembangunan dan industri baru dilaksanakan menyebabkan peluang pekerjaan semakin kecil. Yang menjadi mangsa ialah ribuan lepasan universiti yang mahu mencari pekerjaan. Kelembapan pelaburan dan pelancongan juga bermakna cukai dikutip semakin sedikit, yang secara tidak langsung mengurangkan kemampuan kerajaan untuk melaksanakan projek membantu rakyat.

Kejayaan penganjur demonstrasi itu mengumpul ribuan orang bukan bermakna mereka mencerminkan aspirasi sebahagian besar daripada 26 juta rakyat negara ini yang cintakan ketenangan. Mereka juga tidak boleh menjadikan demokrasi untuk mewajarkan tindakan itu kerana ia menyusahkan orang ramai serta mengganggu ketenteraman awam. Malah, tafsiran demokrasi sering berubah mengikut kepentingan dan keadaan, malah sering disalahgunakan untuk mengelirukan rakyat. Begitu juga 'fatwa' terhadap demonstrasi itu sendiri yang sering berubah walaupun daripada orang yang sama.


Contoh paling ketara tentunya oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat apabila Jumaat lalu beliau dilaporkan berkata tindakan polis tidak membenarkan demonstrasi pro dan anti-ISA sebagai tidak menghormati aspirasi rakyat dalam menuntut haknya. Katanya, tindakan itu dianggap sebagai bertentangan dengan hak asasi rakyat selaras amalan prinsip demokrasi negara berparlimen.

Kenyataan itu jelas bercanggah dengan pendirian beliau mengenai isu yang sama kira-kira lapan tahun lalu. Pada 13 April 2001, Bernama memetik Mursyidul Am Pas itu berkata, beliau tidak bersetuju dengan demonstrasi jalanan seperti dirancang untuk diadakan ketika itu. "Pas awal-awal lagi tidak bersetuju dengan demonstrasi kerana negara ini mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen. Tunjuk perasaan seperti itu berlawanan dengan sistem demokrasi yang sudah diamalkan sejak sekian lama", katanya mengulas penahanan tujuh orang aktivis reformasi mengikut ISA berikutan cadangan pihak tertentu pembangkang untuk mengadakan demonstrasi jalanan secara besar-besaran pada 14 April 2001.

- sumber Berita Harian

RM2.4j kerana muat turun lagu

ingat sebelum kena.... hahaha



BOSTON: Juri persekutuan di sini semalam mengarahkan seorang graduan Universiti Boston yang mengaku memuat turun lagu dalam talian supaya membayar RM2.4 juta kepada empat syarikat rakaman.



Joel Tenenbaum (gambar) dari Providence, Rhode Island mengaku di mahkamah, dia memuat turun dan mengedarkan 30 lagu.

Satu-satunya isu yang perlu diputuskan juri ialah menentukan berapa banyak yang perlu dibayar kepada syarikat terbabit.

Juri mengarahkan Tenenbaum membayar RM79,200 bagi setiap kesalahan selepas mendapati dia sengaja berbuat demikian.

Peguamnya, Charles Nesson sebelum ini memohon juri mengenakan bayaran minimum. Mengulas hukuman itu, Nesson menyifatkannya sebagai tidak adil.

Tenenbaum berkata, dia akan meminta supaya diisytiharkan muflis jika rayuannya ditolak.

Bagaimanapun, Persatuan Industri Rakaman Amerika mengeluarkan kenyataan mengucapkan terima kasih kepada juri kerana mengiktiraf kesan yang dihadapi aktivis muzik akibat kesan muat turun secara haram.

Bulan lalu, juri persekutuan di Minneapolis mengarahkan seorang lelaki, Jammie Thomas-Rasset, 32, membayar RM6.76 juta kerana memuat turun 24 lagu. - AP

- sumber Harian Metro

Ahad, 2 Ogos 2009

Nasib Melayu di bumi Melayu

– Dr Mohd Ridhuan Tee

JULAI 26 - Saya tidak menafikan bahawa kematian Teoh Beng Hock perlukan kepada pembelaan. Saya amat mengalu-alukan keputusan Kabinet untuk menubuhkan satu inkues dan Suruhanjaya Bebas Diraja untuk menyiasat dan menentukan punca kematian Beng Hock.

Siasatan yang telus dan rapi mesti dijalankan tanpa rasa takut agar dapat memuaskan hati semua pihak, apatah lagi pihak keluarga dan parti pembangkang yang begitu bersungguh-sungguh dalam isu ini.

Namun, saya merayu, semua parti berkepentingan, supaya bersabar menunggu sehingga siasatan selesaikan dijalankan. Di kala itu, kita akan mengetahui apa yang benar, apa yang salah dan siapa yang benar dan siapa yang salah. Selepas itu juga, kita boleh bercakap dan berkokok berpuas-puasnya mengenai perkara ini.

Hukumlah mereka yang bersalah, tetapi jangan jadi Tuhan sebelum sesuatu perkara dibuktikan. Saya amat takut politik mahukan jadi Tuhan yakni dengan membuat andaian pelik-pelik, yang mana hanya Tuhan sahaja yang Maha Mengetahui sebelum sesuatu perkara dibuktikan.

Dalam menganalisis isu ini, saya teramat hairan kenapa tiga parti politik Cina, MCA, Gerakan dan DAP, serta parti pembangkang Melayu yang lain begitu bersungguh-sungguh membuat pelbagai andaian dengan menuding jari kepada pihak-pihak tertentu, tanpa menunggu keputusan siasatan.

Saya tidak menafikan ada yang tidak kena dengan cara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengendalikan kes ini. Namun, tindakan menuding hari ini seolah-olah memperlihatkan mereka mahu memenangi hati orang Cina, demi kepentingan politik. Lebih-lebih lagi parti-parti komponen seperti Gerakan dan MCA yang telah mula hilang kepercayaan orang Cina.

Ketua Wanita MCA mengeluarkan kenyataan lebih ekstrem mendesak Menteri Dalam Negeri supaya anak yang dikandung oleh teman wanita Beng Hock diletakkan status anak sah taraf dan bukan anak luar nikah. Sedangkan kita semua tahu bahawa mereka belum berkahwin secara rasmi atau telah bersekedudukan tanpa nikah. Bermakna, anak itu tetap anak zina atau anak luar nikah (anak tidak sah taraf). Berapa ramai lagi anak luar nikah yang ingin kita sahkan hasil daripada hubungan luar nikah ini.

Sedarkah Ketua Wanita MCA betapa ramai gadis-gadis Melayu Islam yang menjadi mangsa (bersekedudukan dengan pasangan Islam atau bukan Islam, sama ada secara paksa atau sukarela) melahirkan anak luar nikah tanpa dibinkan kepada bapa mereka? Kenapa MCA tidak memperjuangkan nasib mereka? Kenapa MCA tidak pergi berjumpa Menteri Dalam Negeri untuk mengesahkan semua hubungan sumbang ini? Apa pun jua punca kematian Beng Hock, hubungan yang haram tetap haram, ia tidak boleh disahkan, hanya kerana insiden ini.

Jika ditakdirkan Gautama Buddha (juga Konfusius dan Lao Tzu) masih hidup, sudah tentu tindakan Ketua Wanita MCA ini akan dicela kerana ajaran Buddha (juga agama lain, terutama agama Islam) mengharamkan sama sekali perbuatan berkesedudukan (zina) tanpa nikah, apatah lagi sehingga melahirkan anak luar nikah.

Saya amat mengharapkan parti-parti politik Cina bertindak waras dan jangan terlalu ekstrem. Fikirkanlah hati orang lain jua bila mengeluarkan sesuatu kenyataan, terutama orang Melayu.

Orang Melayu tidak kurang yang menjadi mangsa seperti Beng Hock. Persoalannya, berapa ramai di kalangan kita yang bangun membela mangsa tersebut? Kenapa bila seorang Cina meninggal dunia (kita masih belum mendapat puncanya), Malaysia seolah-olah seperti macam nak kiamat atau dilanda tsunami.

Saya juga amat bersimpati dengan Beng Hock, tetapi beliau sudah ditakdirkan meninggal dunia dalam keadaan sedemikian. Mesti ada hikmah di sebaliknya. Tidak bolehkah kita tunggu hingga siasatan selesai.

Saya ingin bertanya kepada parti-parti politik Cina, akhbar-akhbar Cina dan parti-parti politik pembangkang Melayu, sejauhmanakah pembelaan dibuat sekiranya ia berlaku di kalangan orang Melayu? Misalnya, pembunuhan gadis model Mustakizah Jaafar pada 14 November

1998. Berapa ramai yang bersungguh-sungguh menunjukkan belang mereka. Apakah MCA, Gerakan dan DAP begitu bersungguh-sungguh menunjukkan pembelaan terhadap Mustakizah?

Berapa ramai yang tampil berdemonstrasi dan menyerahkan memo bantahan atau mendesak supaya suruhanjaya diraja ditubuhkan. Adakah MCA, Gerakan dan DAP begitu terkehadapan dalam isu ini? Begitu juga dengan Pas dan PKR (belum wujud lagi), adakah mereka begitu bersungguh-sungguh dalam mempertahankan nasib Mustakizah? Sehingga kini, kes kematian Mustakizah masih lagi menjadi misteri.

Saya masih ingat pada November 2005, kononnya tahanan warga China telah dipaksa berbogel dan ketuk ketampi oleh seorang anggota polis wanita semasa dalam tahanan. Aksi tersebut telah dirakam dan gambarnya menghiasi dada-dada akhbar tempatan terutamanya akhbar berbahasa Cina. Dengan rasa bersalah yang teramat sangat, walaupun belum dibuktikan, kerajaan ketika itu telah mengarahkan Menteri Dalam Negeri, untuk segera terbang ke China bagi menjelaskan sebarang kekeliruan yang mungkin timbul akibat daripada kejadian tersebut.

Semua ini hasil desakan dan tindakan ekstrem MCA, Gerakan dan DAP, termasuk akhbar-akhbar Cina, serta tidak ketinggalan parti-parti pembangkang. Setelah siasatan dijalankan, ternyata gadis yang dipaksa berbogel itu bukan warga China tetapi seorang gadis Melayu. Malang sungguh menjadi orang Melayu, selepas itu, kes ini tidak lagi dibincangkan, malah menjadi senyap dan tidak dibahaskan lagi di dada-dada akhbar, terutama akhbar Cina.

Apa yang saya maksud di sini ialah bila sesuatu kejadian yang menimpa orang Melayu, tidak ramai yang berasa sensitif tetapi bila orang lain terutamanya (Cina dan India), seolah-olah hari sudah hampir kiamat seperti tidak ada isu lain yang hendak dibincangkan lagi.

Kita jarang berpolitik untuk mempertahankan apa yang benar dan apakah yang salah? Tetapi kita lebih banyak berpolitik dengan politik yang merugikan iaitu menuding jari untuk melihat siapakah yang menang

(benar), siapakah yang kalah (salah). Politik hanya untuk mencari keuntungan politik atau mendapat undi politik, sedangkan maruah agama dan bangsa tergadai. Berbaloikah dengan berpolitik sebegini? Sedangkan orang lain sentiasa mengambil kesempatan hasil dari kelemahan kita?

Kita juga jarang berpolitik melihat kepentingan semua kaum, tetapi berpolitik secara sempit mempertahankan kaum sendiri sehingga hilang rasional akal. Tujuannya tidak lain, untuk mempertahankan kuasa dan memancing undi. Masing-masing mahu menjadi jaguh kaum, dengan mengenepikan kepentingan umum. Berapa banyak surau dan masjid dirobohkan untuk tujuan pembangunan? Berapa ramai bukan Islam tampil mempertahankannya? Orang Islam masih boleh menerimanya. Itulah sikap toleransi yang amat saya kagumi.

Tetapi bila ada satu kuil atau tokong dirobohkan bagi tujuan pembangunan, satu Malaysia bagaikan nak ribut dan kelam-kabut seolah-olah telah berlaku penganiayaan terhadap orang bukan Islam.

Malaysia diperlihatkan tidak mengamalkan kebebasan beragama. Macam-macam tuduhan dibuat, tidak cukup dalam negeri, dibawa sama keluar negeri untuk menagih simpati dan memburuk-buruk tanahair sendiri. Berbaloikah?

Sedangkan kita semua sedia maklum bahawa rumah ibadat orang bukan Islam (Hindu, Buddha dan Kristian) melebihi berkali-kali ganda daripada jumlah masjid dan surau.

Jumlah kuil Hindu sahaja sudah melebihi masjid dan surau, apatah lagi jika dicampurkan dengan rumah ibadat agama Buddha dan Kristian dan lain-lain. Sedangkan semua sedia maklum bahawa orang Islam adalah penduduk majoriti dan agama Islam adalah agama rasmi negara ini.


Logik

Dari segi logik dan rasionalnya, sudah tentu kita mahu melihat bilangan surau dan masjid melebihi rumah ibarat yang lain, dengan mengambil kira sejarah dan keistimewaan Islam (Melayu) seperti yang termaktub dalam perlembagaan.

Tetapi adakah ia berlaku? Jawapannya, tidak. Realiti yang jelas adalah, kita mempunyai patung yang tertinggi dan terbesar di dunia, walaupun penduduknya hanya berjumlah lebih kurang 10 peratus. Beginilah nasib Melayu di bumi Melayu. Terlalu menjaga hati orang, sehingga hati sendiri terguris tiada siapa yang tahu atau mungkin orang lain tak ingin ambil tahu, sebab tidak berkaitan atau tidak menguntungkan.

Saya juga teramat ingin mendengar kenyataan daripada orang bukan Melayu (parti politik Cina dan India) tentang pembelaan nasib umat Islam Cina Uighur yang dibunuh secara terancang oleh kerajaan China. Kenapa mereka tidak bersuara menentang tindakan ganas ini?

Hanya kerana orang Cina itu beragama Islam, maka ia menjadi senyap. Bayangkanlah kalau yang terlibat itu adalah Cina yang tidak Islam, sudah tentu mereka akan melompat-lompat.

Begitu juga isu apabila adalah orang Cina/India yang bertindak keluar daripada Islam yakni Murtad atau orang Melayu murtad, berapa ramai bukan Melayu yang tampil ke hadapan memberitahu mereka supaya janganlah murtad.

Berapa ramai kalangan mereka yang memujuk mereka yang mahu murtad agar jangan murtad, hormatilah agama Islam seperti yang termaktub dalam perlembagaan dan jagalah hati orang Melayu Islam. Apa yang selalu kita dengar ialah mereka akan mengapi-apikan lagi mereka yang ingin murtad untuk terus murtad dan mempertahankannya bermati-matian setelah mereka murtad.

Mereka mengatakan ini adalah hak asasi manusia. Tetapi bila mana tiba isu berkaitan Islam, maka semua hak asasi itu hilang entah ke mana. Yang dicari hanya ketidakadilan Islam, ketidakadilan mahkamah syariah dan bermacam-macam lagi.

Ini tidak termasuk lagi isu perebutan mayat saudara baru yang meninggal. Apa yang saya tahu, kita selalu mengalah berhadapan dengan golongan ekstrem ini. Paling menyedihkan, mereka langsung tidak bersyukur apabila kita beralah.

Tetapi apabila mereka tidak mendapat apa yang mereka hajatkan, setelah undang-undang menyebelahi kita, maka kita (agama Islam dan mahkamah syariah) akan dikecam habis-habisan.

Justeru, sudah sampainya kita berpolitik secara matang dengan meletakkan kepentingan semua kaum di hadapan bertunjangkan kepada perlembagaan, berbanding politik etnik (kaum) yang sempit.

Dalam isu Beng Hock ini, bersabar dan tunggulah sehingga siasatan selesai. Jangan membuat andaian dan mengapi-apikan isu ini, kerana ia tidak menguntungkan sesiapa. Yang pergi tetap telah pergi, hidup ini perlu diteruskan. Jadikanlah ia sebagai suatu ikhtibar untuk kita menerokai atau berpolitik dengan lebih baik seperti mana Allah SWT berfirman dalam al-Quran, jadikanlah sesuatu kejadian yang berlaku sebagai pengajaran, wahai orang-orang yang mempunyai pandangan. – Mingguan Malaysia

artikel di copy dari http://www.malaysianinsider.com

welcome back Schumacher

Schumacher kena cergas

FRANKFURT - Michael Schumacher berharap kecederaan leher yang dialaminya dalam kemalangan motosikal Februari lalu tidak menghalangnya ketika dia cuba untuk membuat kemunculan semula dalam Formula Satu (F1).

Sehari selepas pengumuman untuk menamatkan persaraan dan menjadi pengganti sementara pelumba Ferrari yang cedera Felipe Massa, aksi semula Schumacher dalam F1 itu hanya perlu menunggu ujian kecergasan dan lain-lain pemeriksaan kesihatan yang mengambil masa beberapa hari, kata doktor pelumba itu Johannes Peil kelmarin.

"Sekiranya Michael tidak berusaha keras, semua ini tidak akan menjadi kenyataan,'' kata Peil.

Schumacher disifatkan sebagai salah seorang pelumba paling cergas sehinggalah dia bersara pada penghujung 2006.

Peil berkata, juara dunia tujuh kali itu secara berterusan bersenam di kediamannya, khususnya untuk kecergasan otot leher.

Februari lalu, Schumacher terlibat dalam kemalangan motosikal, namun kecederaan leher yang dialami tidak diperjelaskan secara terperinci.

Otot leher amat penting bagi pelumba F1 apabila berdepan kuasa G ketika berlumba.

Ketika Schumacher, 40, berharap untuk beraksi pada perlumbaan seterusnya di Grand Prix Eropah, Valencia 23 Ogos ini, pelumba itu dan Ferrari menolak sebarang peluang untuk menambah rekod 91 kemenangan setakat ini dalam 250 perlumbaan.

''Saya harap dia meningkatkan fizikalnya dan lulus ujian terutama untuk otot leher.

''Mulai hari ini, seluruh pasukan bekerja untuk persediaan kepulangannya. Esok (hari ini) dia akan mengadakan ujian pertama di litar,'' kata presiden Ferrari, Luca di Montezemolo di Rome.

Montezemolo berkata, Schumacher kesuntukan masa untuk membiasakan diri dengan kereta Ferrari dan teknologi baru KERS, juga litar di Valencia yang telah diubah suai sejak Schumacher bersara serta sesi ujian yang digantung untuk menjimatkan kos.

''Ini semua akan menjadi masalah besar, sekurang-kurangnya pada perlumbaan pertama kerana dia mendapati dirinya berada di litar yang tidak pernah dia beraksi.

''Atau memandu kereta yang tidak pernah dipandunya serta teknologi baru yang tidak diketahuinya.

''Agak malang, tetapi inilah harga yang terpaksa kami bayar,'' kata Montezemolo.

Bekas juara dunia Niki Lauda bersetuju dengan pandangan Montezemolo.

"Dia tidak mengetahui Litar Valencia, dia tidak tahu mengenai kereta, dia tidak dibenarkan melakukan ujian memandu.

''Semua ini keadaan yang sukar berbanding cabaran daripada para pencabarnya. Ferrari juga tidak mempunyai kereta yang terbaik,'' kata Lauda.

Berkhidmat sebagai penasihat untuk Ferrari sejak bersara, Schumacher tahu betapa sukarnya untuk menghasilkan kereta yang kompetitif pada saingan tahun ini.

Selepas menang kategori pengeluar tahun lalu, pasukan Itali itu kini di tangga ketiga, 74 mata di belakang pendahulu Brawn GP.

"Tahun lalu kami bergelut untuk kejuaraan pasukan sehingga ke perlumbaan terakhir, yang mana ini menyebabkan proses pembangunan kereta sedikit sukar.

"Ia membuatkan kami terpaksa membangunkan kereta untuk musim 2008 dan pada masa yang sama, kami membangunkan kereta baru.

Keputusan Schumacher mengambil alih tempat Massa mencetuskan tumpuan media dan ia disifatkan berita yang dialu-alukan dalam F1.

Ini kerana sukan permotoran perdana itu dikejutkan dengan pelbagai isu termasuk penarikan dua pengeluar utama dalam tempoh tidak sampai setahun.

Honda menarik diri tahun lalu dan BMW mengumumkan ia menarik diri dari aksi musim depan, beberapa jam sebelum Schumacher membuat keputusan tampil semula di litar.

Pasukan-pasukan yang beraksi dalam siri perlumbaan itu juga bersengketa dengan penganjur mengenai usul had pengurusan kos dan lain-lain peraturan sejak kebelakangan ini.

Rating televisyen perlumbaan itu menurun di Jerman, iaitu salah satu pasaran utama sukan tersebut.

''Ini merupakan perkara terbaik yang boleh berlaku dalam F1 dan ia amat baik untuk siri perlumbaan ini,'' kata ketua sukan permotoran Mercedes, Norbert Haug.

Sementara itu, Massa telah diberi ingatan oleh doktor bahawa dia mungkin tidak dapat berlumba lagi namun pemandu Brazil itu masih mengharap.

"Semalam, buat kali kedua saya melawat Felipe dan saya melihat dia bertambah baik. Saya harap Felipe akan kembali tidak lama lagi.

''Dengan kehadiran Michael, saya rasa dia akan membantu sukan ini kembali popular selepas polemik yang tidak berguna dan kontroversi yang tiada kaitan dengan sukan ini.

''Ayuh kita berharap dia kembali dengan kemenangan, bersama-sama Kimi Raikkonen,'' kata Montezemolo. - AP

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...