Jumaat, 3 Julai 2009

Dah macam citer National Treasure plak

Misteri Terbongkar


RAIS Yatim menunjukkan sebatang pen bersalut emas yang merupakan sebahagian barang kemas peninggalan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dalam peti besi misteri di Memorial Tunku Abdul Rahman Putra di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 2 Julai – Misteri peti besi milik Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj akhirnya terbongkar setelah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan memutuskan untuk membukanya secara rasmi hari ini.

Setelah mengambil masa kira-kira 30 minit, peti seberat 400 paun yang berada di Memorial Tunku Abdul Rahman Putra sejak tahun 1994 itu akhirnya berjaya dibuka dengan bantuan sekumpulan pakar kunci besi.

Peti besi yang tidak diketahui kombinasi nombor keselamatannya itu bagaimanapun hanya mengandungi sebahagian barang-barang peribadi peninggalan Tunku merangkumi sembilan kotak yang berisi kira-kira 30 artifak dan barang kemas.

Artifak tersebut merangkumi butang baju lama, jam dan medal yang tertulis ‘Persatuan Menembak Kebangsaan 1970’, manakala barang kemas pula seperti pen bersalut emas, syiling bergambar wajah bekas Sultan Terengganu, gunting dan beberapa bentuk emas lain.

Rais Yatim berkata, dengan terungkap misteri peti besi itu, bermakna tidak ada sebarang dokumen penting yang ditinggalkan bekas penjajah atau pihak Tunku seperti didakwa pihak-pihak tertentu.

“Oleh itu, diharap tidak ada lagi spekulasi yang mendakwa kerajaan menyimpan atau menyembunyikan sebarang dokumen penting negara mahupun peninggalan bekas penjajah.

“Semuanya telah terjawab hari ini dan tidak lagi menjadi misteri,” katanya selepas majlis pembukaan peti besi peninggalan Bapa Kemerdekaan itu di Memorial Tunku Abdul Rahman Putra di sini hari ini.

Terdahulu, seorang pengarah filem dan dokumentari, Mansor Puteh menerusi sebuah akhbar berbahasa Inggeris baru-baru ini mendakwa kemungkinan besar terdapat dokumen penting negara yang ditinggalkan penjajah dalam peti besi tersebut.

Beliau yang mengadakan penggambaran dokumentari bertajuk Kediaman Residen, Tunku bagaimanapun berharap kerajaan dapat mendedahkan isi kandungan sebenar peti besi yang tidak pernah dibuka sejak Tunku meninggal dunia.

- Utusan Malaysia

Khamis, 2 Julai 2009

Usaha Tangga Kejayaan

Indonesia lancar roket ke angkasa lepas

JAKARTA: Indonesia berjaya melancarkan roket buatannya sendiri ke angkasa lepas hari ini, iaitu sebahagian daripada rancangan menghantar satelit ke orbit menjelang 2014, kata pegawai rasminya.

Roket RX-420 dilancarkan daripada tapak pelancaran di daerah Garut, wilayah Jawa Barat kira-kira jam 8 pagi tadi.

"Roket RX-420 berjaya dilancarkan pagi ini, Kami sangat gembira," kata jurucakap Agensi Aeronautik dan Angkasa Lepas, Elly Kuntjahyowati di sini, hari ini.

Beliau berkata, satu lagi roket yang berjaya diuji tahun lalu akan digabungkan dengan RX-420 bagi membawa satelit ke orbit menjelang 2014.


"Kami menguji roket berkenaan satu persatu," katanya. - AFP

- Berita Harian

Rusia haramkan kasino, judi

MOSCOW 1 Julai - Operasi kasino dan pusat perjudian mesin slot di seluruh Rusia mula ditutup hari ini, apabila pihak berkuasa negara ini menguatkuasakan undang-undang baru yang lebih tegas sebagai usaha melumpuhkan industri perjudian di negara tersebut.

Puluhan ribu rakyat dijangka akan hilang pekerjaan berikutan pelaksanaan undang-undang baru tersebut yang ditandatangani Presiden Vladimir Putin pada tahun 2006 dalam usaha membanteras ketagihan 'candu judi' dalam masyarakat.

"Mulai pukul 7 petang (11 malam tadi) semalam, semua dewan perjudian mula ditutup," kata salah satu notis yang dikeluarkan kepada dewan perjudian mesin slot di selatan Moscow.

Pusat-pusat kasino pula dijangka mengalih operasi atau menukar kegiatan masing-masing kepada kelab poker, sesuai dengan saranan pegawai undang-undang Rusia yang mencadangkan permainan poker yang lebih berkonsep kesukanan.

Pelaksanaan undang-undang itu turut menamatkan era kelam kabut apabila ahli perniagaan dan kegiatan gengster menjadikan kasino-kasino di tengah Moscow bagi mengaut keuntungan yang luar biasa pada tahun 1990-an.

Tugas khas melaksanakan undang-undang itu telah dikuatkuasakan di ibu kota Rusia, kata jurucakap kerajaan bagi bandar raya Moscow, Maria Sokolva kepada agensi berita Ria-Vonosti.

Bermula 1 Julai, kasino di Rusia mungkin hanya boleh beroperasi, jika ia berada sekurang-kurangnya 1,000 kilometer dan lebih dari Moscow.

Kawasan yang terkenal dengan zon perjudian haram di kalangan rakyat Rusia ialah di barat Kaliningrad meliputi kawasan sepanjang laut selatan Azov, daerah Altai di Siberia, dan kawasan yang jauh di pedalaman Primorye, berhampiran utara Korea dan Jepun.

Tetapi kebanyakan pengusaha industri perjudian sedang berusaha mencari kawasan baru di sana untuk memindahkan operasi mereka.

Pelaksanaan undang-udang itu akan memberi impak besar kepada Moscow, yang mempunyai 524 kasino dan dewan perjudian, dan masih terdapat 109 buah lagi kasino beroperasi di selatan bandar raya Saint Petersburg, sehinggalah undang-undang itu kuatkuasa. - AFP

-Utusan Malaysia

Komen

Tempat org... kat tempat kita.... masa pilihanraya jer bising nak tutup pusat judi n sebagainya... lepas pilihanraya.... hilang pasal pusat judi tapi sibuk naikkan pulak sewa rumah utk rakyat... bagi cina tanah sampai 999 tahun...... hai

Lagi tentang michael Jackson

Diana Ross turut dinamakan dalam wasiat Jacko

LOS ANGELES: Kejutan berlaku apabila Michael Jackson bukan saja menamakan ibunya sebagai penjaga anak-anaknya dalam surat wasiat malah penyanyi legenda, Diana Ross sebagai penama kedua.

Perkara itu terdedah selepas surat wasiat lima muka surat yang didaftarkan di Mahkamah Tinggi Daerah Los Angeles, dikemukakan di mahkamah semalam.

Ia juga menyebut pembahagian harta untuk Ross, 50, perlu ditinggalkan dalam Amanah Keluarga Michael Jackson.


Surat wasiat itu didaftarkan pada 2002 juga menyebut nilai harta Michael berjumlah lebih AS500 juta tetapi tidak jelas bagaimana angka penilaian itu dibuat.

Michael bagaimanapun dipercayai berdepan dengan masalah hutang yang bertimbun menjelang kematiannya.

Dalam surat wasiat itu, ibu Michael, Katherine Jackson dinamakan sebagai penjaga tiga anaknya manakala Ross, 65 dinamakan sebagai pengganti Katherine sekiranya emaknya meninggal dunia terlebih dulu.

Tiga rakan rapat Michael, peguam John Branca, eksekutif muzik, John McClain dan akauntan Barry Siegel — dinamakan sebagai pelaksana bersama wasiat itu.

Bagaimanapun, bapanya, Joe tidak langsung disebut dalam wasiat serta nama bekas isterinya, Debbie Rowe.

“Saya secara sengaja tidak memasukkan apa-apa hak untuk bekas isteri saya, Deborah Jean Rowe Jackson dalam wasiat ini,” kata Michael dalam wasiat bertarikh 7 Julai 2002 itu.

“Jika saya meninggal, hak penjagaan anak-anak saya diserahkan kepada emak saya, Katherine Jackson, Jika Katherine Jackson gagal atau tidak mahu menerima tanggungjawab itu, saya menamakan Diana Ross sebagai penjaga," katanya.

Isnin lalu, mahkamah membuat keputusan Katherine sebagai penjaga sementara tiga anak Michael - Prince Michael, 12, Paris, 11, dan Prince Michael II, 7. - AFP

- Berita harian

Orang mati yg glamour

Berjuta bakal saksikan upacara pengebumian Jacko

LOS ANGELES: Daripada Elvis Presley hingga Puteri Diana, upacara pengebumian ikon dan selebriti terkenal dunia pasti menarik minat jutaan orang ramai menyaksikannya dan pengebumian Michael Jackson pasti tidak terkecuali.

Lebih sejuta peminatnya dijadual memenuhi upacara pengebumian 'Raja Pop' itu - satu lagi majlis peringatan yang mendapat tempat di seluruh dunia sama seperti kematian Presley pada 1977 dan Diana, 20 tahun kemudian.

Rancangan awal bagi pengebumian Michael dijadual bermula esok (Khamis) selepas laporan menyatakan jenazahnya akan dihantar ke kediaman rantasinya, Neverland dengan disertai puluhan kenderaan pengiring.

Pada Jumaat pula, keluarganya dikatakan membenarkan orang awam memberi penghormatan kepada anaknya itu sebelum disusuli upucara khas untuk keluarga terdekatnya pada hujung minggu ini. Bagaimanapun, tarikh sebenar pengebumian Michael masih belum diketahui.

Bagaimanapun, spekulasi mula tersebar apabila keluarganya mungkin merancang mengadakan majlis memperingati kematian anaknya untuk tatapan seluruh dunia.

"Apapun yang dibuat membabitkan raja pop ini akan menarik minat umum, dari seluruh dunia," kata Robert Thompson, pakar dalam dunia pop dari sebuah university di New York.

"Ketika pengebumian Puteri Diana di United Kingdom ia mungkin agak terhad tapi untuk Michael Jackson ia tiada batas dan peraturan, tiada yang mustahil," katanya
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...