Selasa, 16 Jun 2009

Penyalahgunaan Kuasa Media

Media Barat kecewa Ahmadinejad menang

KEMENANGAN besar Mahmoud Ahmadinejad yang dilantik semula sebagai Presiden Iran nampaknya tidak disukai Barat. Malah banyak fitnah disebarkan oleh media Barat berhubung dengan perjalanan pilihan raya yang didakwa sebagai tidak bersih dan penuh dengan penipuan.

Tujuan media Barat ialah menabur fitnah dan keraguan di kalangan masyarakat antarabangsa mengenai ketulusan pilihan raya tersebut. Sebagai contohnya, Bill Schneider, penganalisis politik kanan CNN dalam liputannya menyoal kesahihan kerajaan Iran!

Walaupun mungkin terdapat beberapa penipuan semasa proses pilihan raya, tetapi media Barat tidak berhak mempertikaikan kesahihan keseluruhan kerajaan Iran. Bagaimanakah jika kita pula mempertikaikan keseluruhan kabinet dan kerajaan Amerika Syarikat (AS) pimpinan Presiden Barack Obama!

Nampaknya kempen Kesatuan Eropah dan AS yang menabur fitnah ke atas kemenangan Hamas dalam pilihan raya Palestin akan menjalar ke Iran pula.

Sebagaimana mereka tidak menerima hakikat kemenangan Hamas dan kekalahan Fatah, mereka tidak dapat menerima kenyataan kemenangan Ahmadinejad dalam suatu proses pengundian demokrasi.

Laporan-laporan cetek yang sekadar memaparkan demonstrasi, kebakaran sampah dan tayar di jalan-jalan raya Teheran oleh penyokong reformasi yang kecewa di atas kekalahan calon mereka tidak mewakili keseluruhan pengundian rakyat Iran.

Media AS dan Barat telah membesar-besarkan peristiwa tersebut dan tindakan polis ke atas perusuh. Laporan lintas langsung wartawan BBC, John Simpson membesarkan kejadian dengan menyebut, adakah apa yang beliau lihat sekarang merupakan awal kepada revolusi menentang rejim memerintah - daripada perusuh sekitar 3,000 orang itu.

Terdapat laporan bahawa 100 orang ditahan termasuk 10 orang pemimpin dua kumpulan yang mendukungi Mir Hussein Mousavi. Pada satu ketika dilaporkan Mousavi telah ditahan tetapi dinafikan isterinya.

Para pengawai pilihan raya mengisytiharkan Ahmadinejad meraih 62.6 peratus undi hampir dua kali ganda daripada Mousavi yang mendapat 33.75 peratus undi.

Perkataan reformis atau pembaharuan yang diletakkan kepada Mousavi oleh media Barat, seorang calon yang mencabar Ahmadinejad tidak bererti beliau akan pro-Barat atau menjadi boneka Barat.

Ini juga tidak bermakna Mousavi akan menghentikan program nuklear Iran dan tunduk kepada AS dan Israel dalam semua dasar jika menang jawatan presiden. Apakah maksud reformis kepada media Barat dan kepada rakyat Iran.

Reformasi kepada warga Iran atau kepada Mousavi sendiri bermakna membaiki ekonomi Iran dan bukan berada di bawah telunjuk Barat.

Mungkin para penyokong Iran bertindak di luar batasan adalah kerana kekalahan teruk calon mereka bahkan Mousavi telah meminta penyokong bertenang tetapi corak pemaparan media Barat seolah-olah menunjukkan Mousavi adalah calon boneka Barat.

Media Barat juga tidak melaporkan cara hidup sederhana presiden Ahmadinejad yang serius menangani rasuah semasa menjadi Datuk Bandar Teheran dahulu.

Kekecewaan media Barat terutamanya AS dapat dilihat apabila AS enggan menerima kemenangan besar Ahmadinejad dalam pilihan raya Presiden Iran dan menyatakan yang ia akan menyiasat dakwaan berlakunya penipuan undi.

Sebarang harapan pentadbiran Presiden Obama untuk memperoleh keputusan serupa dengan pilihan raya Lebanon baru-baru ini yang dimenangi pakatan sederhana yang mendapat sokongan Barat, nampaknya tidak menjadi kenyataan.

"Kita sedang memantau situasi di Iran, namun kami, seperti mana semua pihak di seluruh dunia, sedang menunggu dan melihat keputusan rakyat Iran," kata Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton pada satu sidang akhbar bersama Menteri Luar Kanada, Lawrence Cannon.

Beberapa minit kemudian, White House mengeluarkan kenyataan dua baris ayat yang memuji 'perbincangan sihat dan minat yang tercetus daripada pilihan raya ini, terutamanya di kalangan golongan muda Iran', namun menyatakan kebimbangan mengenai 'beberapa perkara yang tidak kena'.

Ahmadinejad berkata, pemilihannya semula sebagai Presiden Iran adalah 'tulus dan bebas' dan tidak boleh dipertikaikan.

Ahmadinejad mengeluarkan kenyataan itu pada sidang akhbar pertamanya sejak kerajaan mengumumkan beliau dipilih semula menjadi Presiden untuk penggal yang kedua.

Beliau turut menuduh media luar melancarkan 'perang psikologi' menentang negaranya.

Penulis ialah pensyarah Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia.

Sabtu, 13 Jun 2009

Yer ker nie

Jumpa tengkorak di Marikh




GAMBAR dalam bulatan menunjukkan objek mirip tengkorak manusia yang ditemui di Planet Marikh.SYDNEY - Seorang pemerhati objek terbang yang tidak dikenali (UFO), Michael Middleton menjadi terkenal selepas dia mendakwa terdapat tengkorak dalam gambar planet Marikh yang dirakamkan oleh Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) milik Amerika Syarikat (AS), lapor sebuah akhbar semalam.

Middleton menemui objek yang menakutkan itu dalam sekeping gambar yang dirakamkan oleh kapal angkasa kawalan jauh iaitu Spirit Space Robot milik NASA dan disiarkan di laman web agensi berkenaan baru-baru ini.

Penemuan itu berlaku selepas satu objek yang didakwa sebagai tengkorak makhluk asing dijumpai di permukaan Marikh baru-baru ini.

Warga Australia tersebut mendakwa tengkorak berwarna putih seperti tulang manusia itu kelihatan terserlah berbanding latar belakang permukaan planet itu. - Agensi


Komen : Macam dah di Photoshop kan jer... hehehehe

buku dah bertemu ruas

Raja Petra lesap tapi tinggalkan fitnah

Penulis blog, Raja Petra Raja Kamaruddin buat hal lagi. Dalam Polis Diraja Malaysia dan polis interpol sibuk menjejaki di mana dia menghilangkan diri, pengasas laman web Malaysia Today itu sempat menyiarkan klip video kononnya polis bertindak ganas ke atas seorang tahanan.

Sekarang terbukti bahawa klip video itu adalah palsu. Tetapi imej pasukan polis kita sudah tercemar.

Kalau baca komen-komen pengunjung Malaysia Today, mereka amat mempercayai apa yang didedahkan di dalam klip video itu. Bermacam-macam sumpah seranah dilemparkan terhadap pasukan polis.

Daripada satu sudut, Raja Petra nampak hebat dan berjaya membohongi peminat-peminat lamannya itu. Dia telah membangkitkan rasa marah orang ramai terhadap polis, walaupun video itu tidak benar.

Dengan tajuk klip video "Polis pukul perogol", ramai yang sudah ditipu 'hidup-hidup' oleh Raja Petra. Tanpa usul periksa kebenaran cerita dan sumber, orang buruan itu terus menyiarkan video kisah lebih daripada lima lelaki berpakaian putih dan berjaket hitam didakwa polis telah memukul dan menendang seorang lelaki yang disyaki perogol.

Alasan Raja Petra menyiarkan klip video itu kerana bosan dengan tuduhan melulu terhadap polis. Jadi dia berasa yakin klip video itu bukti keganasan polis.

Tetapi hakikatnya perbuatan dalam video itu tidak membabitkan polis kita. Seorang pengendali blog obefiend.blogspot.com telah mendedahkan hakikat yang sebenar. Menurut remaja itu, dia mendapat klip video itu di dalam You Tube. Pada 5 Jun lalu melalui e-mel, dia membohongi pihak Malaysia Today kononnya video miliknya itu gambar tentang kekejaman polis semasa penyiasatan. Tanpa usul periksa kesahihan video tersebut, mereka telah menyiarkan pada 6 Jun lalu.

Walaupun pengunjung lama web Malaysia Today telah ditipu tetapi remaja penipu itu juga telah mendedahkan perangai Raja Petra dan pasukan Malaysia Today sebagai kumpulan penipu dan penyebar fitnah.

Jelas ini satu lagi pembohongan daripada Raja Petra selepas beberapa siri penipuan yang ditulisnya di dalam Malaysia Today. Bertambahlah dokumentari dalam arkib penipuan Raja Petra.

Biasanya Raja Petra menulis bukan sebab suka-suka. Dia ada motif tertentu. Dia ada mesej tersirat yang mahu disebar kepada pembaca.

Selain daripada pemimpin UMNO dan anggota Kabinet, pasukan polis turut tercatat dalam senarai orang yang paling dibenci oleh Raja Petra.

Bukan suatu yang pelik, apabila dia menerima cerita buruk mengenai pemimpin Barisan Nasional, lebih-lebih lagi kes penyelewengan atau skandal, sepantas kilat dia akan menulis dan menyiarkan di dalam Malaysia Today.

Soal betul atau salah cerita yang disiarkannya, belakang kira. Baginya mungkin masyarakat sekarang tak suka baca cerita benar, tetapi cerita sensasi.

Atas minat pembaca sebegini, membuka peluang Raja Petra mengajak orang ramai menghentam polis.

Raja Petra dalam tulisannya mendakwa beginilah cara polis Malaysia mendapatkan pengakuan melalui soal siasat tahanan yang tidak mengaku bersalah.

Mungkin motif siaran klip video itu ada kaitan dengan kes pengakuan bersalah anaknya, Raja Azman Raja Petra di Mahkamah Majistret Shah Alam atas empat pertuduhan mencuri dan memiliki motosikal curi serta melakukan pecah rumah.

Terpulang kepada rasa hati pembaca terhadap tulisan Raja Petra. Dia pandai mereka-reka cerita karut untuk mengajak pembaca mempercayai tulisannya. Dia pintar memesongkan pembaca daripada fakta sebenar. Cerita sensasinya biasanya menggambarkan apa yang berlaku ada kaitan dengan konspirasi politik.

Apa pun, pengendali laman web itu sudah banyak membuat fitnah. Fitnah adalah tergolong perbuatan dosa besar.

Pelbagai fitnah dibuat oleh Raja Petra terhadap orang politik, ahli akademik, hakim, pegawai polis dan orang yang tidak disukainya.

Ada kala, dia tersalah pilih orang untuk dijadikan bahan kutukannya. Sebab itu dia diperintah membayar saman bernilai berjuta ringgit apabila pihak dikutuk berjaya dalam kes saman di mahkamah.

Betul kata pepatah lama, "berani buat, berani tanggung." Kini beberapa kes saman di mahkamah sedang menunggu kehadirannya.

Dua waran tangkap telah dikenakan terhadap Raja Petra selepas dia gagal menghadirkan diri di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 23 April dan 26 Mei lalu.

Mulai hari ini, hati-hati membaca Malaysia Today. Ke mana lesapnya Raja Petra?

Jumaat, 12 Jun 2009

Memahami kesan pemanasan global, perubahan iklim

Oleh Rozali Ismail

Sumber : Berita Harian

Hari Alam Sekitar Sedunia juga adalah hari di mana kita semua berfikir sejenak antaranya mengenai isu kemiskinan, pertambahan penduduk, pembangunan ekonomi, pencemaran serta perancangan untuk masa depan. Semua isu ini bukan hanya berkait antara satu sama lain, tetapi juga adalah komponen utama pembentukan konsep pembangunan lestari dan mapan yang mana menjadi objektif sejagat dewasa ini.

Justeru, sambutan ini juga sebagai tanda terima kasih kita kepada anugerah alam yang memberi tempat untuk hidupan semua. Hari ini juga seharusnya memupuk kita memberi tumpuan dan tenaga secara bersama dalam memulihara alam sekitar supaya dunia ini sentiasa bersih dan hijau.

PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan Hari Alam Sekitar Sedunia sebagai ‘hari untuk semua’ dan pelbagai aktiviti diadakan di serata dunia meliputi perarakan, pertunjukan, konsert hingga kepada penanaman pokok, kitar semula dan gotong-royong membersih kawasan semuanya untuk memupuk kesedaran dan fokus kepada isu alam sekitar.
Walaupun sudah agak lama Hari Alam Sekitar Sedunia ini diraikan, iaitu sejak 1972 masih banyak perlu dilakukan. Di seluruh dunia, pelepasan karbon hasil daripada pembakaran bahan api meningkat dengan pantas dan saintis merumuskan bahawa dunia mengalami kenaikan paras air laut, kecairan glasier serta ribut, kemarau dan banjir yang ekstrem ekoran pemanasan global.

Gesaan supaya tahap pelepasan karbon global diturunkan sebanyak 50 peratus daripada paras pada 1990 menjelang 2050. Namun banyak negara percaya ianya harus dikurangkan lebih lagi, iaitu 80 peratus bagi tempoh sama untuk kestabilan tahap CO2 dalam udara bagi pengurangan pemanasan global.

Kita mungkin melakukan yang terbaik dalam memperbaiki dan memulihara alam sekitar yang rapuh ini, tetapi masih belum berjaya dalam mengekang pemusnahan alam sekitar, begitu juga mencari jalan ke arah pembangunan lestari dan mapan.

Tema ‘Dunia Memerlukan Kita - Bersatu Mengawal Perubahan Iklim’ atau dalam bahasa Inggerisnya ‘Your Planet Needs You - Unite to Combat Climate Change’ memang bertepatan sekali, menyarankan bahawa peningkatan suhu purata dunia menyebabkan kesan ketara ke atas bekalan air, ekosistem, makanan, susur pantai dan kesihatan sejagat.

Kita seharusnya memperkuatkan komitmen untuk menangani isu alam sekitar seperti memberi kuasa kepada warga semua menjadi ejen pengawasan pembangunan, mempromosi kefahaman bahawa masyarakat memainkan peranan utama dalam pemuliharaan alam sekitar serta membentuk satu perkongsian yang memupuk ke arah pengekalan alam sekitar lestari untuk generasi akan datang.

Sesungguhnya amat susah untuk memulihara dan menilai alam sekitar tanpa mengira elemen pemusnahannya. Saban tahun, jumlah pencemaran kilang menyebabkan penurunan kualiti air. Sekurang-kurangnya 70,000 jenis bahan kimia digunakan di seluruh dunia dan di antara 200 hingga 400 jenis bahan toksik mencemari sungai dan terusan di seluruh dunia. Dianggarkan juga 1,000 jenis bahan kimia baru diperkenalkan setiap tahun! Masalah pencemaran air menjadi ketara dengan pembuangan sisa pertanian dan keadaan ini adalah antara punca pencemaran air di kebanyakan negara.

Semua sedia maklum bahawa kekurangan air bersih adalah akibat pencemaran, lebih guna dan pengurusan yang lemah, sekali gus menyebabkan pengurangan kuantiti dan kualiti air sedia ada.

Di Asia, adalah penempatan bagi lebih separuh penduduk dunia, dijangka menghadapi masalah kekurangan air bersih berikutan pembangunan bandar dan pertambahan penduduk. Catatan juga menunjukkan bahawa sumber bekalan air bersih menyusut lebih pantas daripada penambahannya. Seumpamanya penggunaan air sebanyak 3,920 meter padu air setahun memberi tekanan ketara kepada sumber air bersih.

Anggaran pertambahan penduduk seramai 500 juta orang di Asia dalam tempoh 10 tahun akan menyebabkan peningkatan kepada penggunaan air. Ditambah lagi dengan kesan perubahan iklim, pakar bersetuju bahawa pengurangan had pencapaian kepada air bersih boleh menjurus kepada kepincangan pengeluaran makanan, kehilangan nyawa, migrasi sempadan dan peningkatan ketidakstabilan ekonomi serta geopolitikal. Keadaan keselamatan di kawasan ini sudah tentu tergugat berikutan semua masalah ini.

Dari sudut teknologi, kerajaan dan industri air mempunyai peluang yang besar dalam penggunaan teknologi sedia ada serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) ke arah pembangunan lestari. Pencapaian dalam bidang analisis kimia untuk perawatan air sebagai contohnya, sudah mendatangkan hasil untuk perawatan sungai dan tasik di negara maju. Penemuan teknologi baru juga berjaya menghasilkan sumber baru daripada sisa terpakai, seterusnya menyumbang kepada kitaran alam sekitar yang lestari.

Memahami semua masalah dan akibat daripada perubahan iklim mestilah dilihat secara global. Oleh itu, penyelesaian yang ada memerlukan penduduk dunia berganding bahu dalam memastikan aktiviti yang dilakukan lebih mesra alam dan mampu menyediakan persekitaran yang lestari dan mapan untuk generasi akan datang.

Tan Sri Rozali Ismail ialah Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Holdings Berhad

bangga tak??

DATUK Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Naim Nasir (empat dari kiri) bersama Pengurus Besar Majlis Tindakan Pelancongan Johor, A Jabar Md Tahir bergambar bersama kereta 'Jealous Ahura - Mazda RX7' yang telah diubahsuai dari segi reka ciptanya oleh anak Johor yang akan diberikan pengiktirafan oleh 'House Of Kolor' sebagai 'The 6th Best Car in The World' di Sydney Australia. Kereta ini akan menyertai pameran Permotoran Antarabangsa Meguir's Motor Ex, Sydney, Australia pada 10-15 Julai 2009. - Foto NSTP
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...