Isnin, 8 Jun 2009

Betul ker???

Manusia jadi hodoh di angkasa lepas

LOS ANGELES: Ahli biologi angkasa lepas Dr Lewis Dartness mendedahkan di Festival Sains Cheltenham bahawa hidup tanpa graviti akan menyebabkan pertumbuhan tulang dan otot pengunjung angkasa lepas terbantut dan lemah.

Selain itu, kekurangan kawasan diperlukan untuk bergerak di sekitar graviti rendah dan suhu terkawal bermaksud ‘angkasawan akan datang mungkin menjadi agak tembam.’

“Tanpa graviti, cecair terapung untuk berkumpul dalam tengkorak yang menyebabkan kepala kelihatan bengkak,” tambah Dr Dartness. - Agensi

sumber: Berita Harian

Selasa, 2 Jun 2009

Potensi Malaysia beli senjata China


Sistem pertahanan jarak dekat FN-6 Vshored yang dibeli oleh Malaysia dari China ini merupakan antara teknologi pertahanan canggih yang dibangunkan oleh negara berkenaan.


SEJAK kerajaan memeterai hubungan diplomatik secara rasmi dengan China pada 31 Mei 1974, banyak perkembangan berlaku dalam hubungan antara kedua-dua negara.

Apatah lagi selepas China melakukan pembaharuan dalam orientasi pasarannya yang diperkenalkan oleh Deng Xiao Peng pada 1979 hingga hubungan dagang antara dua negara ini semakin berkembang pesat saban tahun.

Walaupun China di satu pihak merupakan sebuah negara kuasa besar, namun hubungan yang terbina sejak 35 tahun lalu itu sentiasa subur dan bertambah akrab.

Apatah lagi baik Malaysia mahu pun China adalah negara yang terbuka kepada perdagangan. Ia menjadikan hubungan berkenaan terus penting untuk manfaat ekonomi.

Jumlah dagangan dua hala juga meningkat setiap tahun dan dijangka mencecah lebih RM180 bilion pada tahun ini, menjadikan China lima rakan dagang utama kita.

Tradisinya eksport Malaysia ke China adalah komoditi seperti minyak kelapa sawit, bahan kimia dan petroleum sementara import pula berupa barangan elektrik, mesin serta barangan berasaskan kimia dan tekstil.

Ternyata angka yang dicapai itu tidak mungkin akan berlaku sekiranya kedua-dua negara tidak mempunyai hubungan baik termasuk kepercayaan dalam berurus niaga.

Ini tidak menghairankan kerana hubungan dagang antara kerajaan Melayu silam dengan China terjalin beratus tahun lalu khususnya pada era Kesultanan Melayu Melaka.

Justeru ramai yang melihat, sudah sewajarnya hubungan dagang ini memasuki satu era baru dengan tidak lagi hanya terikat dengan produk tradisi sebaliknya mula mengimport kelengkapan pertahanan dari China.

Jika sebelum ini Malaysia lebih banyak terarah kepada Eropah khususnya Britain, Perancis dan Rusia, sekarang China adalah salah satu pembekal pilihan yang harus dipertimbangkan secara serius oleh kerajaan.

Lagi pun China bukanlah baru dalam bidang ini kerana sebagai sebuah kuasa besar dunia, kemampuan pertahanan negara itu boleh diibarat sebagai "duduk sama rendah, berdiri sama tinggi" dengan kuasa besar lain.

Hampir keseluruhan kelengkapan persenjataan China dikeluarkan oleh negara itu sendiri. Keupayaan mereka membangunkan senjata berteknologi moden tidak pernah diragui oleh pemerhati industri pertahanan.

Mengulas mengenainya, penganalisis pertahanan, Datuk Muhammad Hamzah berkata, antara kelebihan China ialah daripada segi harga selain teknologi lebih ke depan berbanding sesetengah negara Eropah.

Kata beliau, minda masyarakat kini perlu diubah untuk menerima China sebagai negara pembekal kelengkapan persenjataan setelah sekian lama bergantung dengan Barat.

''Jangan kita menyalah anggap kemampuan China. Ia sebenarnya diakui mempunyai teknologi yang hebat. Jika tidak tak kan mereka guna senjata keluaran sendiri untuk bersaing dengan kuasa besar lain.

''Justeru saya melihat potensi besar yang ada pada China harus dimanfaatkan segera. Banyak negara lain sebenarnya melihat China sebagai sumber persenjataan baru,'' katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau yang lebih 20 tahun terlibat dalam bidang ini berkata, daripada segi rekod, Pakistan dan Iran adalah antara negara yang banyak mendapatkan senjata daripada China selain negara Asia Barat dan Afrika.

Katanya, keyakinan kepada China juga sudah semakin meluas di kalangan negara Asia Tenggara apabila Thailand dan Indonesia sudah mula membeli aset itu dari China.

''Sedangkan kita walaupun sudah mempunyai persetujuan dari China untuk membeli senjata mereka, namun segalanya masih berada di peringkat awal.

''Kita hanya membeli sistem pertahanan udara jarak dekat jenis FN-6 VSHORADS yang dimeterai beberapa tahun lalu. Walaupun untuk satu bateri, ia tetap permulaan baik untuk penerokaan lebih lanjut,'' jelasnya.

Sejak mula membuka ekonominya, China telahmencapai kemajuan hingga banyak bandar utamanya dilihat jauh lebih moden dari sesetengah bandar raya di Eropah.

Pembangunan modal insan rakyatnya yang ditekankan kepada teknologi dan sains telah membuahkan hasil lumayan hinggakan ia menjadi antara negara paling hadapan dalam banyak perkara termasuk teknologi angkasa dan industri pembinaan kapal. Malah firma kejuruteraannya amat diakui kepakaran mereka dalam pembinaan jambatan.

Kebanyakan jambatan terpanjang di dunia sendiri berada di negara tersebut termasuk yang melibatkan aplikasi teknologi terhebat dalam sejarah kejuruteraan.

Justeru bagi Muhammad, sebarang keraguan yang timbul harus diketepikan sebaliknya semua pihak dalam bidang pertahanan harus mempunyai keyakinan kepada China.

Katanya, berdasarkan pengalaman, terdapat satu situasi unik berbanding negara pengeksport lain kerana China tidak menekankan keuntungan semata-mata dalam menjual kelengkapan pertahanan mereka.

Sebaliknya beliau berkata, melalui penjualan senjata, China melihat ia sebagai satu pengiktirafan negara pembeli terhadap keupayaan teknologi mereka. Ia sekali gus menandakan mereka diakui sebagai sebuah kuasa utama pertahanan dunia kini.

''Ini pada saya adalah batu loncatan kepada pengukuhan hubungan dua hala pada masa depan. Tiada siapa dapat nafikan kepentingan China pada masa kini dan masa depan.

''Apatah lagi tidak mustahil kuasa utama ekonomi akan beralih ke China setelah krisis kewangan global mula dilihat meruntuhkan ekonomi Barat.

''Jadi penting bagi kita mengukuhkan lagi hubungan ini pada masa depan, pembelian senjata adalah satu usaha yang akan memanfaatkan kita. Di samping memperoleh yang terbaik, kita juga akan mendapat harga kira-kira 20 peratus lebih murah,'' ujarnya.

Antara keperluan semasa bagi Malaysia ketika ini ialah sistem pertahanan udara jarak sederhana melibatkan peluru berpandu anti pesawat untuk melindungi aset strategik negara seperti pangkalan udara.

China dalam hal ini menawarkan pakej sangat kompetitif berbanding tiga negara pengeluar lain melalui KS-1A MSAM mereka yang mampu melancarkan peluru berpandu sejauh 60 kilometer.

Katanya, harganya juga lebih murah kira-kira 20 peratus selain pakej penyelenggaraan yang rendah manakala negara pengeluar lain tidak mampu mencecah jarak sejauh itu.

''Sebenarnya persetujuan secara prinsipnya telah dilakukan antara Malaysia dan China pada tahun 2004 hasil lawatan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi ke China namun ia masih belum dimuktamadkan.

''Persetujuan itu akan melibatkan perpindahan teknologi untuk FN-6 yang telah dibeli Malaysia dan ia tawaran menarik berbanding negara pengeluar lain yang agak lokek dengan perpindahan teknologi,'' ujarnya.

Bagi Muhammad, pembelian senjata dari China adalah satu agenda baik untuk dipertimbangkan kerajaan atas pelbagai faktor sama ada teknikal, kewangan, perpindahan tekonologi, politik mahu pun strategik.

''Sebenarnya pegawai tertinggi pertahanan Malaysia telah didedahkan dengan industri pertahanan China sejak dua dekad lalu. Banyak lawatan dilakukan dan mereka melihat sendiri kemampuan senjata China dari siri ujian.

''Saya percaya selain KS-1A, Malaysia juga boleh mendapatkan aset lain yang masih diperlukan seperti jet latihan dan kapal laut yang pada saya ia cukup berbaloi dengan wang yang dibelanjakan,'' ujarnya.

Sejarah menunjukkan China berbeza dengan Barat yang sentiasa cuba menjadi kuasa imperialis untuk mengawal apa yang dilihat penting untuk mereka.

Malah rekod hubungan China dengan negara dunia ketiga, negara Islam serta Asia yang lain cukup menunjukkan satu suasana keselesaan untuk Malaysia meningkatkan pembelian aset pertahanan dari negara itu.

Maka pembelian kelengkapan pertahanan dari China adalah satu pilihan yang dilihat sebagai amat strategik untuk Malaysia selain efektif daripada segi kos.

PENULIS ialah wartawan eksekutif Utusan Malaysia

Isnin, 1 Jun 2009

Nasib Ikan Paus

55 ikan paus terdampar mati ditembak


SUKARELAWAN menyertai operasi menyelamat sekumpulan paus yang terdampar di pantai Kommitjie, Afrika Selatan kelmarin.


CAPE TOWN - Pihak berkuasa Afrika Selatan terpaksa menembak mati berpuluh-puluh ekor paus yang terdampar di sebuah pantai di negara berkenaan setelah mamalia itu gagal diselamatkan.

Sebanyak 55 ekor paus terdampar di perairan cetek pantai Kommitjie, dekat Tajung Pengharapan awal pagi kelmarin sekali gus mencetuskan operasi menyelamat secara besar-besaran.

Beratus-ratus penduduk tempatan memberanikan diri melawan ombak besar untuk cuba menolak mamalia gergasi itu dari kawasan cetek dan kembali ke tengah laut.

Mereka dibantu pasukan polis, bomba, tentera laut, unit bantuan bencana alam dan beberapa pakar menyelam selain enam jentolak bagi menggerakkan ikan-ikan paus berukuran kira-kira tiga meter itu ke perairan lebih dalam.

Namun, para sukarelawan itu hampa selepas ikan-ikan paus itu kembali semula ke pantai dan didapati berada dalam keadaan yang amat lesu.

"Saya sedih tetapi pihak berkuasa mengambil tindakan yang betul," kata seorang sukarelawan.

"Ia bagi menamatkan penderitaan kumpulan paus itu setelah kami gagal menyelamatkan haiwan tersebut," tambahnya.

Pihak berkuasa menembak 35 ekor paus tersebut manakala bakinya mati akibat keletihan. - AP

Beza perjuangan di Gaza dan Kilinochchi

Oleh AZMI HASSAN

AHLI Parlimen Klang, Charles Santiago pada satu forum anjuran Majlis Peguam menuduh Malaysia mengamalkan sikap pilih kasih dalam isu Palestin dan Tamil di Sri Lanka. Pandangan tersebut timbul ekoran kenyataan Menteri Luar, Datuk Anifah Aman bahawa Malaysia tidak mencampuri urusan dalaman negara lain ketika diminta mengulas mengenai isu Sri Lanka.

"Jika pendirian Malaysia tidak mencampuri masalah dalaman negara lain, maka Malaysia juga tidak boleh mengeluarkan kenyataan mengenai isu Myanmar dan Palestin. Malaysia mengamalkan pilih kasih dengan memberi layanan berbeza ke atas masyarakat Tamil di Sri Lanka dan rakyat Palestin," tegas Santiago.

Tuduhan itu sangat serius dan berat kerana konflik di Sri Lanka melibatkan nyawa orang awam yang tidak berdosa, tidak kira daripada golongan Sinhala atau Tamil. Santiago juga perlu ingat selain itu, ramai juga rakyat Sri Lanka yang beragama Islam turut menjadi korban.

Tetapi apabila beliau cuba mengaitkan isu etnik Tamil di Sri Lanka dengan perjuangan rakyat Palestin, maka perbandingan itu jelas begitu dangkal dan mempunyai agenda tidak jujur.

Dangkal kerana cuba menuduh Malaysia menyokong Palestin kerana agama Islam tetapi menutup mata ke atas Sri Lanka kerana tiada kaitan dengan Islam.

Sememangnya tuduhan Santiago tersebut langsung tidak berasas kerana rakyat Thai yang beragama Islam di Pattani, Narathiwat dan Yala juga menghadapi masalah serupa seperti etnik Tamil di Sri Lanka. Pendirian Malaysia mengenai masalah selatan Thai adalah begitu jelas dan sama dengan pendirian ke atas konflik Sri Lanka.

Begitu juga dengan masalah rakyat Islam Filipina di selatan Mindanao. Ia tidak jauh beza seperti yang dialami oleh etnik Tamil di Sri Lanka. Pendirian Malaysia juga konsisten mengenai isu selatan Mindanao.

Perlu diingat kekuatan ketenteraan antara dua pihak yang bertelagah di Sri Lanka adalah sama. Kekejaman sama ada oleh tentera kerajaan Sri Lanka (SLA) atau gerila Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) tidak banyak beza.

Kedua-dua pihak secara terang mencabuli hak asasi manusia. Dalam konflik tersebut sukar untuk ditentukan secara sahih pihak mana yang lebih kejam.

Tetapi jika hendak dibandingkan kekuatan tentera rejim Israel (IDF) dengan pejuang Hamas, ia sangat berbeza. Tidak adil membandingkan kekuatan IDF dengan Hamas. Apabila kekuatan tidak seimbang, maka sudah pasti kekejaman akan dilakukan oleh pihak yang kuat.

Pencerobohan IDF ke atas rakyat Palestin di Genting Gaza pada Disember lepas jelas mempamerkan kekejaman pihak yang lebih kuat terhadap mereka yang lemah. Dalam hal ini masyarakat tidak sangsi bahawa rejim Israel telah berlaku kejam terhadap rakyat Palestin.

Apabila Malaysia mengatakan konflik di Sri Lanka adalah isu dalaman negara itu, ia adalah tepat. Konflik di sana tidak melibatkan negara lain secara langsung. Ia berbeza dengan isu Palestin.

Konflik itu bukan sahaja menjadikan Asia Barat tidak stabil, malah seluruh dunia merasai kesan daripadanya.

Perlu juga diberi perhatian bahawa Israel dipercayai mempunyai senjata nuklear dan akibat daripada doktrin pertahanan, negara lain seperti Iran juga mempunyai cita-cita untuk menyaingi kekuatan rejim Yahudi.

Oleh itu, isu Palestin perlu diberi keutamaan bukan kerana Israel adalah sekutu kuat Amerika Syarikat atau rakyat Palestin itu beragama Islam, tetapi kerana ia berkait rapat dengan isu kestabilan dunia.

Perlu juga diingat bahawa sebelum operasi besar-besaran oleh tentera kerajaan Sri Lanka, etnik Tamil negara itu tidak berada dalam keadaan yang begitu mengaibkan seperti apa yang dialami oleh rakyat Palestin di Gaza. Wilayah itu dianggap sebagai "penjara terbuka paling besar di dunia".

Etnik Tamil di bawah LTTE pula bebas bergerak dan wilayah utara di Sri Lanka itu pada dasarnya tidak bergantung kepada bantuan luar.

Ia berbeza dengan rakyat Palestin yang sebahagian besarnya bergantung kepada bantuan luar. Infrastruktur sama ada di Gaza atau Tebing Barat adalah jauh lebih daif daripada apa yang dimiliki oleh etnik Tamil di utara Sri Lanka.

Pendek kata bandar Kilinochchi yang dianggap ibu kota etnik Tamil Sri Lanka adalah jauh lebih berdikari berbanding dengan Gaza City atau pun Ramallah.

Jadi, pendirian Malaysia adalah selari dengan pendirian masyarakat antarabangsa. Dalam persidangan Majlis Hak Asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu baru-baru ini, masyarakat antarabangsa telah memberi sokongan kepada Sri Lanka. Mereka berikrar untuk bersama-sama Colombo membantu mangsa konflik tersebut.

Resolusi yang dicapai pada akhir persidangan tersebut antara lain memuji kaedah Sri Lanka menangani konflik tersebut. Sepanjang konflik antara Colombo dan LTTE itu, PBB tidak mengeluarkan walau satu pun resolusi.

Tetapi secara analoginya rejim Israel adalah negara yang paling lazim mengingkari resolusi PBB walaupun begitu banyak resolusi dikeluarkan terhadapnya.

Sekali lagi ditegaskan bahawa usaha untuk meraih simpati terhadap etnik Tamil di Sri Lanka dengan membandingkannya dengan perjuangan rakyat Palestin bukan sahaja dangkal malah tidak logik dan sarat dengan agenda tersembunyi.

Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Lelaki menyeludup penjara, di penjara

TEXARKANA, Arkansas 31 Mei – Biasanya cerita yang didengar ialah banduan melarikan diri dari penjara tetapi seorang lelaki ditangkap semasa cuba memecah masuk ke penjara Miller County, untuk mengedar dadah dan rokok.

Semasa ditangkap pada pertengahan tahun lalu, Bobby Finley, 20, sedang memotong pagar kawat dan didapati memiliki dadah jenis kokain dan ganja serta rokok. Khamis lalu, dia dijatuhkan penjara berjumlah 19 tahun atas lima pertuduhan dan akan berjalan serentak.

Timbalan Pendakwa Raya, Carlton Jones berkata, kes seumpamanya benar-benar menghairankan. ‘‘Selama 19 tahun bertugas sebagai pendakwa, anda fikir anda sudah melihat semuanya - sehingga anda melihat kes sebegini,” katanya . – AP

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...